AcaraBeritaBuku

Malaysia Negara Maritim: Pendekatan Bersepadu

Kongsi di

Kuala Terengganu, 28 Julai – Satu Seminar Maritim peringkat  Kebangsaan telah berjaya dilaksanakan di Auditorium INOS, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), hari ini.

Seminar Maritim Kebangsaan (SMK 2022) yang bertemakan ‘Malaysia Negara Maritim: Pendekatan Bersepadu’ ini adalah sebagai pendahuluan kepada National Maritime Conference (NMC) 2023 yang bakal dilaksanakan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA’23) nanti.

Pada asasnya, objektif SMK 2022 ini adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada ahli akademik  dan pelajar dalam bidang maritim di Malaysia untuk berkongsi dan bertukar amalan dan pengetahuan untuk kebaikan bersama.

Seminar sehari ini adalah anjuran bersama Pusat Strategi Maritim dan Sejarah, Tentera Laut Diraja Malaysia (PUSMAS TLDM), Institut Oseanografi Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu dan Jabatan Hal Ehwal Maritim, Kementerian Luar Negeri (KLN).

Buat julung kalinya SMK diadakan di pantai timur Malaysia. 

Ianya  bertujuan untuk membentuk   kesedaran terhadap isu-isu yang berkaitan dengan hal ehwal maritim di samping meningkatkan kerjasama di antara agensi pemegang taruh yang hadir, sesuai dengan konsep Whole of Government yang diadaptasi Kerajaan Malaysia.

Laksamana Muda Dato’ Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Wilayah Laut 1 dalam ucapan penutupnya antara lain menyebut, SMK 2022 ini dilaksanakan bagi mengangkat agenda dan martabat Malaysia sebagai sebuah negara maritim.

Agenda ini mula diangkat semula sejak NMC 2019 sehinga kembali mendapat perhatian khusus di dalam  penghasilan Kertas Putih Pertahanan.

Antara panelis yang telah berkongsi pengalaman dan pendapat dalam SMK 2022 ini ialah Laksamana Pertama Yusne bin Mokhtar mewakili TLDM yang telah bercakap mengenai topik “Keselamatan Maritim”, Professor Wan Izatul Asma binti Wan Talaat mewakili UMT berkongsi mengenai “Tadbir Urus Lautan” manakala Tuan Shaharuddin bin Onn dari Kementerian Luar Negeri telah menjelaskan tentang dasar dan polisi hubungan antarabangsa dalam hal ehwal maritim negara.

Hadirin SMK 2022 di Auditorium INOS, UMT.

Pelancaran Buku

Semasa SMK 2022 ini juga satu Majlis Pelancaran Buku “Malaysia A Maritime Nation Agenda: Charting The Passage” telah dilancarkan secara bersama oleh Profesor Dr Marinah binti Mohd Ariffin, Timbalan Naib Canselor UMT yang mewakili Naib Canselor UMT dan Laksamana Muda Dato’ Zulhelmy bin Ithnain, Panglima Wilayah Laut 1.

Menurut  Laksda Dato Zulhelmi, secara dasarnya buku ini mengupas mengenai isu-isu maritim yang ditulis oleh ahli akademik dan pemegang taruh hal ehwal maritim.

Buku ini dihasilkan dengan kerjasama PUSMAS TLDM dan Institut Oseanografi Sekitaran, Universiti Malaysia Terengganu (INOS-UMT) dan ia merupakan manifestasi kejayaan NMC 2019 yang telah dianjurkan semasa LIMA’19.

Selain itu PUSMAS TLDM dengan kerjasama UMT juga kini dalam proses menerbitkan  buku edisi kedua yang bertema “Steering The Course” yang dirancang utk dilancarkan semasa NMC 2023 kelak.

Barisan panelis SMK 2022

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.