EksklusifOperasi

PATI SEMAKIN BERANI!

Kongsi di

Dalam sebulan ada saja Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) ditahan oleh pihak berkuasa samada mereka cuba menceroboh melalui jalan laut maupun jalan darat.

Kes terbaharu kelmarin, lapan orang PATI telah ditahan di Perairan Johor Selatan.Tujuh lelaki dan seorang wanita dipercayai warga Indonesia dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an didakwa atas tuduhan menceroboh perairan negara melalui jalan laut yang tidak diwartakan.

Sebuah bot yang mencurigakan dikesan oleh Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) dari perairan Batam, Indonesia dan disyaki  menuju ke perairan Teluk Ramunia, Johor.

Area Control Centre (ACC) Johor menyalurkan maklumat pencerobohan kepada KD GEMPITA yang sedang melakukan rutin patroli di lapangan untuk tindakan lanjut.  FCB 1123 TLDM seterusnya diatur gerak untuk melakukan penjejakan dan pemintasan ke atas bot curiga tersebut dan berjaya menahan di lokasi 2.5 batu nautika selatan Tanjung Ayam.

Kesemua PATI yang diberkas diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.

GARISAN SEMPADAN SENTIASA TERANCAM

Sempadan laut dan darat negara sentiasa menerima ancaman.  Meski pun ancaman tersebut merupakan aktiviti rentas sempadan, namun ianya tidak boleh dipandang ringan kerana rekod tangkapan PATI berlaku  beberapa kes setiap bulan bagi menggambarkan keseriusannya aktiviti tersebut. 

Kes-kes yang direkodkan sebelum ini modus operandi-nya hampir sama dimana  dalam bulan Mei lalu sembilan orang PATI Indonesia ditahan di Teluk Ramunia, Johor.

Melalui sempadan darat pasukan di bawah Briged Ke-6 Infantri beberapa kali membuat penahanan PATI rakyat Thai, Myanmar dan lain-lain dalam jumlah yang agak ramai yang merangkumi wanita dan kanak-kanak di sektor OP BENTENG Durian Burung, Bukit Kayu Hitam dan lain-lain.

Kata pujian sememangnya layak diucapkan kepada anggota penguatkuasaan kita kerana kejayaan demi kejayaan yang dicapai namun tidak mustahil masih ada yang dapat membolosi kawalan yang dilakukan kerana sempadan laut dan darat itu sangat luas berbanding dengan jumlah aset dan  keanggotaan yang berkawal.

PENAMPAN

Bagi meringankan beban penguatkuasaan dan ketirisan hasil cukai dan lain-lain kerugian kepada negara, adalah tidak keterlaluan jika penulis katakan bahawa di garisan sempadan negara perlu ditampan dengan sistem penampan kekal seperti tembok atau seumpamanya.

Di kebanyakan kawasan-kawasan sempadan darat, tanah-tanah di sempadan itu dimiliki oleh individu-individu yang mana adakalanya menyukarkan penguatkuasaan pasukan keselamatan yang bertugas kerana dikatakan boleh mengganggu privasi tuan tanah itu sendiri. 

Dibimbangi situasi ini akan memberi ruang kepada aktiviti-aktiviti penyeludupan barang dan manusia melalui tanah-tanah persendirian yang bersempadan. Justeru pihak kerajaan perlu membuat penebusan tanah-tanah sedemikian dan menggazetkan sebagai tanah kerajaan yang dijadikan kawasan larangan. 

Sumber foto: TLDM

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.