KomunitiSejarah

Nostalgia – Skuad 69 PDRM

Kongsi di

Mungkin ramai dalam kalangan pembaca sedikit keliru dengan nama panggilan Skuad 69 Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan panggilan yang bunyinya kedengaran agak serupa iaitu VAT 69.

Seperti umum sedia maklum, VAT 69 merupakan nama panggilan bagi pasukan elit 69 Komando yang keanggotaan asalnya dipilih daripada Pasukan Polis Hutan (PPH) atau kini Pasukan Gerakan Am (PGA).

Calon-calon pelatih yang melepasi tapisan kelayakan seterusnya mengikut latihan lasak penuh cabaran sebelum benar-benar layak untuk menyertai unit elit ini sekali gus menyarung beret warna ‘sand brown’.

Justeru, apa pula bezanya dengan Skuad 69 PDRM atau ringkasnya Skuad 69? Skuad 69 merupakan panggilan umum bagi semua anggota PDRM yang diambil menyertai pasukan ini pada tahun 1969.

Ia merupakan pengambilan besar-besaran PDRM ketika itu di mana hampir kesemua rekrut ambilan ini kemudian dihantar bertugas bagi mengisi keanggotaan batalion-batalion baharu di dalam PPH.

Skuad 69 yang pengambilannya lebih 8,000 orang para belia ini merupakan pengambilan besar-besaran PDRM ketika itu bertujuan bagi pembesaran PPH. Kerajaan ketika itu melihat perlunya PPH diperbesarkan berikutan ancaman pengganas komunis.

Ini kerana tahun 1968 – 69 merupakan kebangkitan semula operasi subversif PKM apabila melancarkan Darurat Kedua atau Insurgensi.

Menoleh kembali, Darurat Kedua atau Insurgensi bermula pada 1968 apabila PKM menyusun kembali unit-unit penggempurnya bagi melancarkan kebangkitan semua selepas ‘stand down’ kerana tewas semasa Darurat 1948 – 1960.

Bibit kebangkitan ideologi komunisme ini sedikit sebanyak turut mencetuskan peristiwa berdarah rusuhan 13 Mei 1969 yang turut dipercayai melibatkan pengaruh pengganas komunis untuk mencetuskan huru-hara di dalam negara.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah membesarkan pasukan tentera termasuklah polis, dan ini menyaksikan pembesaran batalion-batalion infantri PPH di seluruh Semenanjung ketika itu.

Pengaruh era Pop Yeh-yeh jelas kelihatan menerusi pakaian, gaya rambut dan gaya berfoto anggota PPH Skuad 69. (Gambar milik RF 51491 Ahmad Yahya)

Pelbagai Latar Belakang

Ambilan Skuad 69 terdiri daripada pemuda-pemuda pelbagai latar belakang dari desa yang jauh di pedalaman hinggalan belia kota yang sedang rancak dengan pengaruh A-Go-Go dan Pop Yeh-yeh.

Keganasan komunis yang kerap dilaporkan di dada-dada akhbar ketika itu selain pengalaman peribadi kesusahan hidup di kampung berpunca daripada perintah berkurung angkara komunis menyaksikan matlamat para belia ini menyertai PDRM hanya satu, iaitu untuk menyahut seruan pertiwi memerangi musuh tanahair, pengganas komunis.

Selain belia Melayu, ada juga dalam kalangan ambilan ini terdiri daripada belia-belia berketurunan Cina, India, Sikh dan Serani.

Difahamkan, semasa proses ambilan besar-besaran secara berperingkat-peringkat ini, ada dalam kalangan pelatih yang diambil dengan syarat akademik yang minimum. Bagaimanapun, mereka ini menepati kriteria daripada segi fizikal untuk menjadi anggota polis selain lasak.

Oleh kerana jumlah pengambilan yang besar, latihan asas kepolisan para rekrut ini yang dijalankan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur terpaksa dipendekkan kepada tiga bulan berbanding enam bulan sepertimana sepatutnya.

Ini kerana ketika itu pihak kerajaan memerlukan kerahan tenaga segera untuk ditugaskan di Kawasan-kawasan berisiko.

Pada masa, kerja-kerja membina kem-kem baru PPH turut berjalan rancak di mana pihak JKR ketika itu diminta membina kem termasuk rumah kelamin anggota menggunakan kaedah paling mudah dan segera.

Sebaik menamatkan latihan asas, para pelatih kemudian terus dihantar menjalani latihan asas PPH atau latihan infantri serta peperangan hutan di Ulu Kinta, Perak iaitu Sekolah Latihan PPH (SLPPH).

Para pelatih ini yang masih hijau dalam dunia kepolisan dihantar menaiki keretapi dari Kuala Lumpur dan berhenti di Stesen Keretapi Tanjung Rambutan, Ipoh.

Dari sana, mereka mengusung beg kit dan kelengkapan tiba dengan dugaan yang bakal menanti di kem Ulu Kinta.

Pintu gerbang Markas Briged Utara PGA hari ini, iaitu laluan masuk rekrut-rekrut PPH Skuad 69 sebaik melangkah ke alam latihan perang selepas tamat latihan di Depoh Polis KL.

Masalah Tempat Penginapan

Di sana, baki tiga bulan latihan yang diikuti para pelatih dikerjakan habis-habisan oleh para jurulatih di SLPPH yang kebanyakannya merupakan veteran-veteran PPH yang berpengalaman ketika menghadapi komunis semasa Darurat serta Konfrontasi dengan tentera Indonesia.

Selain menempatkan SLPPH, kem Ulu Kinta turut menempatkan Batalion 1 dan 2 PPH.

Jumlah para pelatih yang ramai iaitu kira-kira 1,000 bagi setiap sesi latihan di Ulu Kinta ini bagaimanapun telah menimbulkan masalah tempat penginapan bagi pihak kem kerana kemudahan yang ada tidak mencukupi.

Bagi mengatasi perkara tersebut, pihak kem mengambil langkah bijak apabila mengagihkan para pelatih kepada tiga kumpulan berbeza.

Mereka terpaksa ditempatkan di tiga lokasi berbeza iaitu di berek di dalam kem Ulu Kinta, di dalam khemah di dalam kawasan latihan hutan berdekatan kem atau di kem Lapangan Terbang Ipoh atau ketika itu dikenali sebagai aerodrome.

Setiap kumpulan ini akan dipindahkan secara giliran mengikut jenis latihan yang sedang mereka ikuti.

Begitulah rutin para rekrut sehingga mereka tamat latihan dan ditukarkan ke dalam batalion-batalion PPH yang baru ditubuhkan ketika itu. Era Insurgensi menyaksikan tenaga muda Skuad 69 menjadi tunjang utama PPH ketika itu.

Tempoh latihan selama tiga bulan di SLPPH bagaimanapun hanya pendedahan asas para pelatih terhadap ilmu medan perang kerana ‘latihan’ sebenar anggota muda ini hanya terdedah sebaik melaporkan diri di batalion masing-masing.

Semasa di batalion, anggota-anggota baharu ini sekali lagi mengikuti latihan ulang kaji, kali ini di bawah pengawasan dan pimpinan anggota veteran di batalion (mengikut platun masing-masing).

Dua anggota PPH Skuad 69 bersama senjata SLR dalam operasi di belantara. (Gambar milik RF 51491 Ahmad Yahya)

Peranan Orang Lama

Penubuhan batalion-batalion baharu PPH menyaksikan ramai anggota lama di batalion sedia ada ditukarkan bagi mengisi kekosongan di pasukan baharu dengan perjawatan kritikal seperti platun sarjan dan ketua seksyen.

Dua kumpulan perjawatan inilah yang menjadi tunjang dalam membimbing anggota-anggota baharu infantri PPH ketika ini.

Hampir kebanyakan jawatan platun sarjan diisi oleh anggota lama berpangkat Koperal manakala ketua seksyen pula oleh anggota lama berpangkat Lans Koperal atau Konstabel senior.

Mereka yang merupakan veteran era Darurat dan Konfrontasi memiliki pengalaman yang cukup banyak dalam selok-belok peperangan hutan dan taktik pertempuran insurgensi.

Kebanyakan daripada mereka ‘masak’ dengan taktik perang gerila selain arif dengan corak taktikal pengganas komunis di dalam hutan.

Pengalaman sebahagian besar ‘orang-orang lama’ ini semasa Konfrontasi memerangi tentera dan sukarelawan Indonesia yang menyusup masuk menyaksikan mereka lebih bersedia dan tidak gentar dengan PKM.

Ini kerana semasa Konfrontasi tentera Indonesia merupakan antara tentera yang termoden dengan persenjataan terkini selain terlatih.

Di sinilah pentingnya  pengalaman berperang bagi menjadikan seseorang anggota tentera atau pasukan keselamatan matang dalam melaksanakan tugas.

Selain anggota konstabel, perkara serupa juga dihadapi pada pegawai-pegawai muda berpangkat Inspektor Percubaan (PI) apabila ditukarkan bagi mengisi perjawatan ketua platun di battalion infantri PPH.

Mereka yang baru tamat latihan peperangan hutan tanpa ada pengalaman perlu bertatih dengan dibimbing oleh platun sarjan.

Ramai dalam kalangan pegawai-pegawai muda waktu itu kemudian menjawat pelbagai jawatan kanan dalam PDRM di mana sebahagian besarnya pernah bertugas bersama PPH.

Walaupun berbeza pengalaman, namun kepatuhan kepada pegawai lebih kanan tidak memberi masalah buat mereka untuk memikul tugas bersama.

Markas PGA Ulu Kinta di Ipoh, Perak yang menempatkan Sekolah Latihan PPH iaitu institusi latihan membentuk anggota polis Skuad 69.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.