EksklusifKomunitiSejarah

Undang-Undang Anti Penggubahan Wang Haram – Pedang Bermata Dua

Kongsi di

Tarikh 11 September 2001 merupakan tarikh hitam yang telah mengubah dinamika perhubungan antarabangsa sedunia dalam sebuah dunia yang telah lama menganggap bahawa Amerika Syarikat adalah sebuah negara yang kebal daripada serangan-serangan asing.  

Belumpun bara api di tapak Ground Zero berjaya dipadamkan, serangan tersebut menyaksikan bagaimana hampir seluruh dunia telah bersetuju dan bertungkus lumus memperkenalkan undang-undang anti-penggubahan wang haram, atau dalam Bahasa Inggerisnya, anti-money laundering act, yang biasa dipendekkan kepada AMLA.  

Antara negara yang menyaksikan undang-undang ini diperkenalkan adalah negara kita, Malaysia.  

Peri Pentingnya Undang-Undang AMLA di Malaysia

Peri perlunya undang-undang ini diperkenalkan di Malaysia tidak perlulah kita sebut. Zacarias Moussaoui, seorang warga Perancis yang kemudiannya gagal menamatkan kelas penerbangannya telah menarik perhatian agensi Federal Bureau of Investigation (FBI) Amerika Syarikat telah ditahan sebelum serangan tersebut dilakukan.  

Siasatan selanjutnya pihak FBI meletakkan dia sebagai penyerang ke-20.  

Tetapi lebih menarik perhatian adalah siasatan ke atas latar belakang Zacarias menyaksikan dia pernah datang ke Kuala Lumpur sekitar tahun 2000 dan dikatakan merupakan seorang pekerja kepada sebuah syarikat yang menghasilkan barangan perubatan yang dimiliki oleh Yazid Sufaat, seorang bekas Kapten dalam Tentera Darat.  

Kaitan Yazid Sufaat dengan serangan 11 September itu bukan setakat kaitan dengan Zacarias sahaja, malah turut memberi penginapan kepada dua orang penyerang lain, Khalid al-Midhar dan Nawaf al-Hazmi.  

Dokumen-dokumen yang membicarakan kaedah penghasilan antraks dikatakan dikeluarkan oleh syarikat milik Yazid Sufaat kemudiannya dikatakan ditemui oleh pasukan khas Amerika Syarikat di satu lokasi rahsia di sekitar Lapangan Terbang Kandahar, ditinggalkan ketika dia melarikan diri kembali ke Malaysia.

Sumbangan Undang-Undang AMLA kepada Keselamatan Malaysia

Sekiranya tadi kita membincangkan kenapa undang-undang tersebut diperlukan berdasarkan peristiwa yang berlaku sebelum pengenalan undang-undang tersebut di Malaysia, kita juga boleh melihat bagaimana undang-undang tersebut telah berjaya secara langsung menggagalkan percubaan-percubaan lain serta membantu pihak berkuasa mengesan aktiviti lain. 

Salah satu kejayaan penting pengenalan undang-undang AMLA kepada Malaysia adalah memberi kelebihan kepada pihak berkuasa negara, khususnya kepada Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan aktiviti-aktiviti pembiayaan keganasan yang dilakukan oleh para pengikut kumpulan-kumpulan pengganas.  

Antaranya adalah pembiayaan kepada para pengikut kumpulan serong Daesh di Timur Tengah, serta kepada kumpulan yang dikatakan cuba menghidupkan kembali pergerakan Liberation Tigers of Tamil Eelam (LTTE).  

Malah, adalah melalui siasatan ke atas aktiviti pembiayaan ini lah yang membantu Cawangan Khas untuk mengesan pergerakan wang pembiayaan untuk pembelian bom tangan yang digunakan oleh elemen Daesh dalam serangan bom ke atas pusat hiburan Movida di Puchong pada tahun 2016 yang mencederakan seramai 20 orang pengunjung di pusat hiburan berkenaan.  

Berhasilan daripada penyiasatan ke atas aliran pergerakan dana tersebut, pihak berkuasa di Filipina berjaya menahan seorang doktor yang bertindak membiayai serangan tersebut bagi pihak Daesh. 

Secara tidak langsung, undang-undang AMLA ini menjadi antara senjata paling ampuh yang dimiliki pihak berkuasa Malaysia, serta negara-negara lain dalam mengesan serta menghalang kegiatan keganasan.  

Mata bilah pada senjata ini cukup ampuh menjadi benteng yang menjaga keselamatan rakyat kita. 

Elemen Kesalahan Berpredikat dalam Undang-undang AMLA

Yang menjadikan undang-undang AMLA ini unik berbanding dengan undang-undang jenayah yang lain adalah undang-undang ini adalah khusus untuk menentang jenayah kewangan. Undang-undang ini bertumpu khusus kepada elemen keuntungan kewangan yang boleh diterima oleh si pelaku. 

Sebagai contoh, sekiranya seseorang individu telah membunuh seorang lain dan dibuktikan bahawa memang berniat membunuh, maka pertuduhan dia adalah di bawah Seksyen 302 semata-mata.  

Tetapi sekiranya pembunuhan itu didorong elemen kewangan, yakni menerima upah untuk membunuh, kes tersebut juga perlu disiasat dari segi elemen AMLA.

Secara tak langsung, ini memberi undang-undang AMLA satu taring yang amat besar dan tajam dalam usaha membanteras jenayah kewangan.

Kelemahan Undang-Undang AMLA

Walaupun undang-undang AMLA ini merupakan senjata yang ampuh, namun pada masa yang sama, senjata ini mempunyai dua mata bilah yang mana mata bilah satu lagi membawa bahaya kepada penggunanya. 

Sesetengah kritikan ke atas kelemahan undang-undang AMLA ini sudahpun dikenalpasti dan telahpun dibincangkan secara umum.  Namun terdapat juga yang masih belum lagi mendapat perhatian am.  Kita akan ulas satu demi satu. 

Pertikaian Kesahihan Undang-undang AMLA dari Segi Pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan

Terdapat tuduhan dari kalangan orang yang disyaki bagi kes AMLA bahawa aplikasi sebahagian daripada undang-undang tersebut adalah melanggari Perlembagaan Persekutuan, khususnya Seksyen 44 Akta berkenaan.  

Peruntukan ini adalah khusus merujuk kepada kuasa pegawai penyiasat untuk memohon harta orang yang disyaki ini dibekukan. 

Arahan pembekuan ini boleh dikeluarkan mana-mana agensi penguatkuasaan undang-undang yang menyiasat kesalahan predikat yang dikaitkan dengan tindakan mengubah wang haram berkenaan.  

Namun, ini biasanya dilakukan oleh pegawai-pegawai penyiasat daripada Bank Negara Malaysia sebagai badan kompeten yang diiktiraf.  

Sekiranya orang yang disyaki tidak dituduh di atas mana-mana kesalahan berpredikat yang berkaitan dengan kegiatan penggubahan wang haram atau pembiayaan dana untuk keganasan dalam tempoh masa 90 hari daripada harta tersebut dibekukan, maka arahan pembekuan ke atas harta tersebut tamat secara automatik. 

Jika pegawai pendakwa ingin merampas harta yang dibekukan berkenaan tanpa mendakwa orang yang disyaki, maka pegawai pendakwa perlu memfailkan arahan merampas harta berkenaan dalam tempoh masa 90 hari tersebut untuk membolehkan harta tersebut dirampas dalam tempoh masa setahun daripada arahan pembekuan dikeluarkan.  

Lebih merumitkan keupayaan pegawai penyiasat adalah keupayaan mereka untuk membuktikan bahawa sememangnya terdapat kesalahan berkaitan undang-undang berpredikat untuk membuktikan berlakunya aktiviti AMLA dan harta yang dirampas perlu dikenalpasti berkaitan dengan aktiviti berkenaan.  

Kegagalan untuk membuktikan ini bukan sahaja boleh menjejaskan keutuhan kes, malah dilihat sebagai pencabulan Fasal 13(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak individu daripada dirampas tanpa sebab utuh.

Kelemahan Tenaga Kerja Penyiasat

Berbeza daripada kebanyakan undang-undang, perlaksanaan proses siasatan bagi AMLA sebahagian besarnya bermula daripada tenaga awam, khususnya daripada pegawai-pegawai institusi pelaporan.  

Institusi pelaporan (Reporting Institution) biasanya terdiri daripada institusi kewangan, sama ada bank komersil, syarikat insurans dan takaful, berserta institusi-institusi berkaitan dengan sektor kewangan.

Kebanyakan petugas-petugas awal untuk institusi-institusi ini adalah merupakan graduan baru ke dalam sektor-sektor ini tanpa mempunyai latihan yang secukupnya, serta hanya memperoleh latihan dalam tugasan.  

Malah, ada juga petugas-petugas ini yang tidak mempunyai pengalaman pekerjaan dalam sektor kewangan itu sendiri, menjadikan tugas menyaring data transaksi serta membuat siasatan itu amatlah susah. 

Kelemahan seterusnya adalah ketiadaan tenaga pakar dalam industri-industri yang dipantau oleh petugas-petugas ini. 

Sebagai contoh, hanya sebilangan petugas ini memahami industri pertahanan yang mana menyukarkan mereka memantau transaksi-transaki berkaitan dengan industri ini, khususnya sekiranya kegiatan yang disiasat melibatkan barangan dwi-kegunaan.  

Kelemahan inilah antara sebab dikatakan kenapa program nuklear Pakistan dan Libya pernah dikaitkan dengan sesebuah syarikat berdaftar di Malaysia.

Namun, kelemahan ini adalah kelemahan yang difahami oleh Institusi-Institusi Pelapor ini. Petugas-petugas mereka dihantar menghadiri latihan serta pensijilan bagi membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab mereka secara efisien.

Christopher Wray, pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), bercakap semasa sidang akhbar di Jabatan Kehakiman di Washington, DC, AS, pada 8 November 2021. Hari ini, Pejabat Kawalan Aset Asing Jabatan Perbendaharaan AS (OFAC) mengenakan sekatan ke atas dua pengendali perisian tebusan (ransomware) dan rangkaian pertukaran mata wang maya yang mencuci hasil perisian tebusan. Jurugambar: Ting Shen / Bloomberg melalui Getty Images

Penyenaraian Nama Pesalah Kesalahan Predikat Menutup Pintu Ke Arah Pemulihan

Bagi mengurangkan risiko menjalankan perniagaan atau membuka akaun dengan individu yang dikenalpasti terlibat dalam kesalahan berpredikat, institusi-institusi kewangan melaksanakan aktiviti usaha wajar bagi mengenalpasti bakal-bakal pelanggan mereka.

Langkah usaha wajar ini bukan sahaja diwajibkan sebagai langkah mengawal risiko, tetapi juga diiktiraf badan-badan pelopor antarabangsa undang-undang AMLA seperti Financial Action Task Force (FATF) yang mana Malaysia adalah ahli.  

Salah satu langkah usaha wajar pula adalah melaksanakan penyaringan nama bakal pelanggan untuk mengenalpasti sama ada pelanggan tersebut merupakan ahli politik, atau terlibat dalam aktiviti kesalahan berpredikat, atau dikenakan sekatan sama ada dalam senarai UN OFAC.  

Senarai UN OFAC pula adalah senarai nama individu, entiti, dan kapal yang telah dikenalpasti terlibat dalam aktiviti-aktiviti berkaitan sekatan yang dikenakan sama ada oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB atau United Nations) atau oleh OFAC (Office of Foreign Assets Control, sebuah jabatan dalam Jabatan Kewangan Amerika Syarikat). 

Penyaringan nama-nama ini pula dibuat dengan syarikat-syarikat yang menawarkan kutipan data daripada maklumat umum yang mana mereka telah mendapatkan maklumat-maklumat berkenaan daripada sumber-sumber terbuka.

Namun, realiti di atas kertas adalah berbeza daripada perlaksanaan sebenar. Nama-nama yang dikutip melalui sumber terbuka ini tidak mempunyai tarikh luput. 

Para pesalah ini mungkin telahpun insaf daripada kesalahan mereka dan ingin kembali ke pangkal jalan setelah menjalani hukuman masing-masing.  

Namun, disebabkan oleh nama mereka kekal tersenarai dalam pengkalan-pengkalan data sumber terbuka ini sebagai pernah terlibat dalam kesalahan berpredikat maka permohonan mereka untuk membuka semula akaun bank akan ditolak atas kerisauan bahawa mereka terlibat dalam aktiviti jenayah. 

Apabila mereka ini dihalang membuka akaun, ini bukan sahaja menyukarkan urusan harian mereka, malah mereka ini akan terbuka kepada eksploitasi kemanusiaan. Di bawah Akta Pekerjaan, majikan perlu membayar gaji terus kepada akaun bank milik pekerja.  

Namun, disebabkan mereka ini tidak boleh membuka akaun, ini memberi peluang kepada majikan mengeksploitasi mereka kerana upah yang dibayar dalam bentuk tunai menyukarkan pekerja berkenaan membuat tuntutan kerana status mereka yang samar.  

Kesukaran membuka akaun bank ini juga boleh memakan diri apabila mereka ini secara tidak langsung ditolak ke arah membuka hubungan dengan bank bawah tanah yang sudah tentu tidak berdaftar.  

Secara tidak langsung, ini menggalakkan mereka untuk terus melanggar undang-undang serta membiayai aktiviti haram, serta meneruskan kitaran yang akan terus menghukum mereka ini. 

Sehingga ke hari ini, masih belum kelihatan sama ada terdapat penyelesaian terhadap isu ini kerana mentaliti yang kita hadapi hari ini adalah bekas penjenayah-penjenayah ini perlu diajar bahawa tindakan jenayah membawa padah.  

Sedangkan dalam hal ini, mereka telah menerima hukuman mereka dalam penjara.  

Hal ini akan menjadi masalah yang lebih rumit pada masa hadapan sekiranya kita mengambil kira bilangan individu yang terlibat dalam kegiatan penipuan atas talian sebagai keldai akaun, ramai adalah golongan pelajar dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.  

Mereka cuma memikirkan wang mudah tanpa menyedari bahawa tindakan mereka adalah suatu kesalahan jenayah. 

Malah, ada antara mereka tidak menyedari bahawa akaun mereka telah ditunggang sebagai akaun keldai, khususnya sekiranya mereka sendiri menjadi mangsa pengambilan alihan akaun oleh penipu.  

Undang-undang AMLA Hanya Berfokus Terhadap Kesalahan Berpredikat

Awal tadi, kita membincangkan bagaimana undang-undang AMLA mempunyai gigi taring yang amat tajam bagi menentang kegiatan jenayah kewangan.  

Pada masa sama, undang-undang AMLA ini tidak boleh digunakan untuk membanteras jenayah bukan kewangan, atau jenayah yang tidak melibatkan pulangan berbentuk tunai. 

Sebagai contoh, jenayah kebencian yang mana dana untuk jenayah tersebut adalah hasil pendapatan si penyerang yang tidak diperoleh melalui kaedah pembiayaian. Kita ambil contoh kes serangan Oslo oleh pelampau kulit putih Anders Behring Breivik.  

Serangan tersebut didanakan daripada pendapatan diri dia sendiri.  Ini menyebabkan pendakwaan ke atas dia cumalah dari aspek tindakan keganasan yang telah dial lakukan. Contoh lain, jenayah khianat.  

Jenayah-jenayah ini tidak melibatkan elemen penjanaan kewangan mahupun keuntungan kewangan.  Oleh itu, bukan sahaja masih memerlukan usaha tenaga risikan manusia atau HUMINT (Human Intelligence) atau dengan sokongan mana-mana risikan semboyan (Signal Intelligence).  

Jenayah-jenayah sedemikian tidak meninggalkan sebagai aliran tunai yang boleh menimbulkan syak wasangka sehingga disiasat oleh pihak berkuasa, dan hanya boleh dikesan melalui tindak-tanduk yang dikenalpasti oleh aset-aset perisikan, termasuklah apabila si pelaku bertindak menyebarkan fahaman dan ideologi mereka secara bertulis.

Pemahaman Lemah Terhadap Kesalahan Berpredikat

Seperti dijelaskan lebih awal tadi, bukan setiap kesalahan jenayah adalah berstatus kesalahan berpredikat. Tetapi pada masa sama, kesalahan berpredikat merangkumi kedua-dua jenayah kolar putih dan kolar biru. 

Malahan turut merangkumi sebilangan kesalahan di bawah undang-undang yang biasa dilakukan oleh orang ramai tanpa sedar bahawa tindakan tersebut adalah sejenis kesalahan jenayah! 

Sebagai contoh, ramai rakyat Malaysia terlibat dalam skim simpanan kutu, diamalkan sama ada dalam keluarga atau sesama rakan sekerja.  

Sistem kutu adalah sistem deposit bersama antara sebilangan individu di mana suatu nilai tetap ditentukan dan masing-masing bergilir menerima wang daripada semua ahli dalam kumpulan tersebut.  

Tetapi permainan kutu ini sebenarnya diharamkan di bawah Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.  

Tetapi, menurut laman sesawang AskLegal, berdasarkan pembacaan mereka, aktiviti kutu sesama keluarga adalah dibenarkan tetapi aktiviti mempromosikan kegiatan kutu ini pula adalah diharamkan.  

Secara tidak langsung, ini menyukarkan keupayaan pengesanan dan pencegahan kegiatan pengubahan wang haram. 

Pengiring polis tentera bertopeng dan bersenjata ahli perniagaan Honduras Jose Miguel Handal Perez, juga dikenali sebagai “Chepe Handal” di bandar San Pedro Sula, 240 km di utara Tegucigalpa, pada 12 Mac 2015. Pejabat Kawalan Aset Asing (OFAC) menuduh Chepe Handal pengedaran dadah. FOTO AFP / STR. (Kredit foto harus dibaca STR / AFP melalui Getty Images)

Pendakwaan Ke atas Kesalahan Berpredikat di Bawah AMLA

Fasal 7(2) Perlembagaan Persekutuan menjaminkan bahawa seseorang tidak boleh didakwa dua kali untuk kesalahan jenayah yang sama, seseorang itu tidak boleh dituduh di atas kesalahan yang sama.

Namun, dalam komitmen yang dinyatakan oleh Kerajaan Malaysia serta agensi-agensi penguatkuasa Malaysia pada tahun 2016 dalam Laporan FATF atas Malaysia, Kerajaan Malaysia dan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang menyatakan bahawa para pesalah bagi jenayah berpredikat akan turut didakwa di bawah kesalahan AMLA.  

Langkah ini sekiranya diterima secara pukal berisiko berhadapan tuduhan melanggari Perlembagaan Persekutuan. Walaupun pernah diputuskan bahawa seseorang boleh didakwa semula sekiranya fakta kes berbeza dan untuk tujuan yang berbeza, ini adalah agak sukar untuk ditentukan.  

Dalam sesetengah kesalahan berpredikat, langkah ini boleh digunapakai. Sebagai contoh, tuduhan dikenakan kee atas penjualan hasil daripada jualan barang rompakan dituduh sebagai kesalahan berbeza daripada kes rompakan itu sendiri.  

Tetapi sekiranya pertuduhan itu adalah ke atas kesalahan yang mewujudkan jenayah berpredikat itu sendiri, maka pihak pendakwaan perlu bersedia untuk dituduh cuba melanggar nas-nas Perlembagaan Persekutuan.

Elemen Kegiatan Budaya

Spektrum jenis jenayah yang amat meluas ini amat menyukarkan analisis peringkat pertama dan amat mudah terlepas begitu sahaja.  Apatah lagi melibatkan sesetengah aktiviti yang dianggap suatu kebiasaan dalam budaya-budaya selain daripada barat.  

Kegiatan pengiriman wang zaman moden ini dibarisi dengan sistem yang dibina melalui SWIFT (berpusat di Belgium) dan juga Western Union (Amerika Syarikat). Terbaru, China juga telah membangunkan sistem mereka sendiri iaitu CHPS.  

Tetapi pada masa sama, sistem-sistem seperti hawala (Arab), hundi (India), dan fei chien (China) diharamkan kerana dianggap sebagai berisiko menyembunyikan maklumat pengirim dan penerima dana.  

Penentuan Kewujudan Elemen Mens Rea dan Actus Reus

Mens Rea, atau niat melakukan jenayah, serta actus reus, tindakan jenayah itu sendiri amat penting dalam menentukan sama ada seseorang individu itu betul-betul terlibat melakukan sesuatu jenayah.  

Pendakwaan di bawah AMLA juga memerlukan penentuan kedua-dua elemen mens rea dan actus reus

Namun, akan wujud komplikasi penentuan mens rea dan actus reus sekiranya instrumen untuk melaksanakan transaksi dalam sesuatu akaun itu telah diizinkan untuk dilaksanakan pihak ketiga oleh pihak pemilik akaun itu sendiri, yakni melalui kaedah hubungan antara mandate (pemberi kuasa) dan mandatee (penerima kuasa).  

Walaupun penerima kuasa itu pada undang-undang melaksanakan arahan yang diberikan oleh pemberi kuasa, pemberian kuasa sedemikian amat mudah disalahguna.  

Akan wujud situasi di mana pemberi kuasa adalah pada nama sahaja, dan penerima kuasa itu adalah pemilik dana sebenar dalam akaun tersebut, dan langkah ini dibuat bagi mengaburi mata pihak berkuasa.  

Pada masa sama, penerima kuasa juga adalah manusia yang boleh bertindak menyeleweng kuasa yang diberikan kepadanya kerana yang akan didakwa nanti adalah pemberi kuasa. 

Sama juga seperti penerima kuasa, pemberi kuasa boleh jadi juga menggunakan alasan bahawa transaksi yang telah berlaku melalui akaun miliknya telah dibuat oleh pemerima kuasa tanpa pengetahuannya.  Ini secara langsung menyukarkan penentuan actus reus yang sebenar. 

Isu Kedaulatan

Selain isu-isu yang kita telah bincangkan tadi, perlaksanaan undang-undang AMLA turut memberi kesan ke atas kedaulatan sesebuah negara secara tak langsung.  

Sebagai sebuah negara berdaulat yang mempunyai hala tuju sendiri dan pandangan di peringkat antarabangsa, undang-undang AMLA turut memberi kesan tidak langsung ke atas kedaulatan negara, khususnya apabila keputusan untuk membenarkan hubungan perniagaan itu dilaksanakan berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui saringan nama.  

Seperti disebutkan awal tadi, nama-nama yang dimasukkan ke dalam senarai sekatan adalah hasil kutipan maklumat am dalam media massa oleh syarikat-syarikat pembekal pangkalan data nama-nama individu yang terlibat dalam aktiviti kesalahan berpredikat atau terlibat dalam politik.  

Ini menjadi suatu masalah apabila transaksi melibatkan nama-nama individu atau entiti yang telah disenarahitamkan oleh negara lain. Secara khusus, ini merujuk kepada keterlibatan OFAC, sebuah agensi kerajaan Amerika Syarikat.  

Sekiranya sekatan OFAC hanya menyenaraikan nama-nama serta entiti jenayah, maka ini bukanlah isu. Masalah yang berlaku adalah apabila nama-nama dan entiti yang menjadi musuh kepada Amerika Syarikat turut disenaraikan.  

Disebabkan pendirian Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat tidak semestinya seiring dengan Amerika Syarikat dalam isu-isu antarabangsa, khususnya isu berkaitan dengan Palestin, pelaksanaan saringan untuk AMLA secara mengikut buku akan menyaksikan negara kita berkemungkinan menjadi jurucakap semata-mata, atau bahasa lebih mudah, cakap tak serupa bikin.  

Isu ini turut dinyatakan menjadi duri dalam daging negara Iran.  

Dalam usaha negara tersebut untuk cuba mematuhi cadangan daripada FATF, mereka juga berhadap tindakan sekatan ekonomi kerana ramai pemimpin negara tersebut serta entiti-entiti politik negara tersebut tersenarai dalam senarai OFAC.  

Sekiranya mereka menerimapakai senarai OFAC, bermakna mereka membelakangi negara mereka sendiri dan kedaulatan negara mereka sendiri.

Kesimpulan

AMLA tetap merupakan suatu undang-undang yang diperlukan oleh negara kita, biarpun kita mengenalpasti pelbagai kelemahan dalam perlaksanaan undang-undang ini. 

Biarpun FATF adalah entiti antarabangsa yang memacu pelaksanaan terbaik di seluruh dunia, kita perlu memahami ini perlu dilakukan tanpa menidakkan kedaulatan negara kita serta hak asasi rakyat kita.  

Dan sepertimana rakyat biasa, bekas penjenayah yang telah melalui hukuman penjara mereka, tidak perlu bagi kita ‘menghukum’ mereka buat kali kedua sehingga mereka terpaksa kembali melakukan jenayah setelah berpatah arang dengan masyarakat.  

Rujukan

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.