EksklusifKomuniti

Confidence Building Measures – Langkah-Langkah Keamanan Yang Memakan Diri

Kongsi di

Perang Ukraine – Rusia (yang pada ketika penulisan ini telah memasuki bulan kelima) telah merungkai satu konsep geopolitik yang pada suatu ketika dahulu pernah menjadi ‘catch phrase‘ dalam membincangkan cara-cara menghalang, takpun mengurangkan risiko tercetusnya konflik antara negara.

Suatu ketika dahulu, kata-kata Confidence Building Measures (CBM) atau dalam Bahasa Melayu, Langkah-Langkah Membina Keyakinan pertama sekali dicanangkan pada tahun 1956 dalam satu resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (sumber laman web PBB sendiri cuma mempunyai rekod seawal 1979).

Ketika era Perang Dingin, CBM dikatakan sering dicanang kedua-dua belah pihak sebagai langkah-langkah untuk mengurangkan kebarangkalian untuk konflik terbuka tercetus.

Sebelum kita berbicara dengan lebih lanjut, kita cuba fahami apa itu CBM, implikasi pengenalan CBM, dan dengan apa yang kita lihat sedang berlaku di Ukraine hari ini, apakah CBM masih lagi mempunyai masa hadapan dalam kosa kata perhubungan antarabangsa.

Confidence-Building Measures, atau Langkah-Langkah Membina Keyakinan adalah satu konsep yang luas dan merangkumi segenap lapisan pemegang taruh dalam hubungan antara negara-negara.

Konsep ini lebih bersifat perhubungan antarabangsa dan geopolitik dengan ketenteraan cumalah salah satu pemegang taruh utama. Dengan kata lain, konsep CBM ini lebih mengutamakan keupayaan lembut atau soft power sesebuah negara.

Rancangan Marshall – Contoh Aplikasi CBM

Contoh aplikasi CBM terbesar adalah Rancangan Marshall yang diperkenalkan oleh George C. Marshall, Setiausaha Negara Amerika Syarikat selepas era Perang Dunia Kedua.

Menyedari bahawa Kesatuan Soviet dan Pakatan Warsaw bakal menjadi saingan kepada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya, serta kerosakan infrastruktur dan ekonomi di Eropah memperlahankan pembangunan ekonomi di Eropah yang telah musnah dalam Perang Dunia Kedua, perancangan tersebut dibuat atas dasar bahawa pembangunan ekonomi itu akan dapat mengelakkan negara-negara yang menerima bantuan Marshall itu dipengaruhi fahaman komunis yang semakin merebak.

Pada masa sama, rancangan Marshall turut ditawarkan kepada negara-negara di bawah Pakatan Warsaw dengan tujuan untuk memperlihatkan bahawa rancangan tersebut bukan bertujuan untuk menentang ideologi komunis yang menjadi tunjang pentadbiran negara-negara tersebut.

Hakikatnya, tawaran yang dibuat kepada negara-negara Pakatan Warsaw itu adalah bagi mengurangkan kebergantungan negara-negara tersebut kepada Rusia dan seterusnya membenarkan mereka untuk membebaskan diri daripada pengaruh fahaman komunis.

Tawaran Amerika Syarikat itu tidak mendapat sambutan di kalangan negara-negara Pakatan Warsaw atas tekanan daripada Rusia, dan sebagai ganti, Rusia menawarkan Rancangan Molotov sebagai ganti.

Selain Rancangan Marshall, satu talian tertutup khusus untuk kegunaan presiden kedua-dua negara turut dibuka berikutan krisis peluru berpandu Cuba yang hampir mencetuskan perang nuklear antara kedua-dua kuasa besar tersebut.

Langkah tersebut diperkenalkan sebagai langkah terakhir untuk mengelakkan salah faham yang mungkin berlaku di peringkat pertengahan dan bawahan boleh diselesaikan dengan rundingan terus antara kedua-dua presiden.

Oktober 1948: Penghantaran tepung dalam perjalanan ke Austria dari New York; tag berbunyi ‘Untuk Pemulihan Eropah yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat’, sebagai sebahagian daripada Rancangan Marshall. (Foto oleh Hulton Archive/Getty Images)

Jual Gandum Sebagai CBM

Satu lagi langkah CBM yang pernah dilaksanakan oleh Amerika Syarikat adalah dengan menjual bekalan gandum kepada Rusia di era Perang Dingin apabila berlaku kemerosotan hasil gandum di Rusia yang dikhuatiri boleh menghasilkan kebuluran di negara tersebut.

Pada masa yang sama, mereka percaya bahawa dengan membantu Rusia mengelakkan kebuluran, ini akan membantu mengelakkan kedua-dua negara berperang secara terbuka.

Aplikasi CBM dari segi aspek ketenteraan pula dapat dilihat dalam beberapa operasi ketenteraan peringkat antarabangsa yang melibatkan Amerika Syarikat atau sekutunya dan Rusia.

Contoh CBM terawal adalah tawaran kuasa ketenteraan barat termasuk Amerika Syarikat untuk membantu Tentera Laut Rusia menyelamatkan kru kapal selam nuklear Kursk yang tenggelam dipercaya akibat letupan dalam kebuk torpedo kapal selam berkenaan. 

Seterusnya, semasa perang Balkan, apabila NATO memulakan kempen pengeboman kedudukan strategik yang dikuasai oleh puak Serbia, pasukan pengaman daripada kuasa NATO risau akan kehadiran Tentera Rusia yang ketika itu berada di Serbia.

Namun, Tentera Rusia tidak menyerang pasukan pengaman yang dikuasai NATO itu walaupun mereka ketika itu bersekutu dengan Serbia.

Contoh terbaru CBM adalah semasa operasi pelbagai negara di Teluk Aden, memperlihatkan Tentera Laut Rusia turut beroperasi bersama negara-negara lain termasuk NATO dalam menjaga perairan Teluk Aden daripada ancaman lanun dari Somalia.

Langkah-langkah CBM ini turut memperlihatkan badan-badan antarabangsa yang biasanya diketuai individu-individu dari negara Barat mula membawa naratif keperluan untuk menyepadukan dan mengharmonikan piawaian-piawaian antarabangsa dengan tujuan memudahcarakan perniagaan antarabangsa.

Langkah ini agak mirip dengan langkah menghasilkan sistem piawai ukuran, iaitu International System of Unit (SI) yang dipelopori oleh para saintis Perancis dan Rusia pada 1960-an.

Antara sektor yang paling mendapat perhatian pengharmonian piawaian adalah sektor kewangan, dengan alasan pengharmonian ini akan memudahkan transaksi perniagaan antarabangsa dilaksanakan.

Runtuhnya Tirai Besi

Runtuhnya Tirai Besi Rusia pada tahun 1991 menyaksikan kemunculan hegemoni Amerika Syarikat sebagai kuasa tunggal sedunia. Ini memberi ruang kepada Amerika Syarikat untuk memperkenalkan CBM secara berleluasa kepada seluruh dunia.

Namun, secara tak langsung, hegemoni Amerika Syarikat ini menjadi titik tolak kepada CBM mula kehilangan arah.

Dalam usaha untuk memudahcarakan perdagangan antarabangsa, negara-negara sedunia telah cuba mengharmonikan undang-undang perdagangan. Antara sektor yang menjadi sasaran pengharmonian adalah undang-undang anti-pengubahan wang haram.

Undang-undang yang mula sekali diperkenalkan di Amerika Syarikat itu telah diperkenalkan bagi mengekang gejala pengubahan wang haram, dan diilhamkan daripada usaha menghapuskan aktiviti berkenaan yang dipelopori oleh Al Capone.

Pada peringkat awal pengenalan undang-undang ini, undang-undang ini lebih banyak berfokus terhadap menangani gejala pengedaran dadah.

Kemudiannya, undang-undang ini diperluaskan untuk mengawalselia kegiatan melanggar undang-undang sekatan antarabangsa, khususnya yang telah diwartakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Namun, disebabkan undang-undang ini dipelopori oleh Amerika Syarikat, undang-undang sekatan yang dikenakan lebih mirip kepada undang-undang sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.

Malahan, negara berkenaan telah menubuhkan dua agensi, iaitu Office of Foreign Asset Control (OFAC) dan Financial Crime Enforcement Network (FinCEN) untuk mengawal selia aktiviti anti-jenayah.

OFAC mengeluarkan senarai nama individu, negara, serta entiti yang perlu dikenakan sekatan, serta mewartakan rampasan aset berkenaan. Manakala FinCEN bertindak membanteras jenayah.

Tragedi 11 September 2001 menyaksikan kepentingan penyaringan ini meningkat, sehinggakan negara-negara di seluruh dunia termasuklah Malaysia memperkenalkan undang-undang khusus bagi membanteras aktiviti pengubahan wang haram pada tahun yang sama.

Sekatan Ekonomi Sebagai Senjata

Disebabkan hubung kait rapat perdagangan antarabangsa, senarai nama yang dikumpul OFAC turut digunakan bagi melaksanakan sekatan ekonomi antarabangsa, dengan sesetengah sekatan yang dikenakan adalah sekatan terhadap individu and entiti yang menjadi seteru geopolitik Amerika Syarikat, seperti Rusia, Cuba, dan Iran.

Apabila negara-negara ini ingin berdagang dengan negara luar, mereka berhadapan isu membuat pembayaran kerana tiada satu institusi kewangan yang sudi menguruskan keperluan perbankan mereka.

Undang-undang sekatan ekonomi Amerika Syarikat bukan sahaja menghalang negara-negara tersebut berdagang, malahan mereka mengugut akan menghalang bank-bank berniaga di Amerika Syarikat.

Disebabkan risau kehilangan laluan kepada ekonomi Amerika Syarikat, memaksa bank-bank melaporkan aktiviti haram tersebut. Secara tidak langsung, ekonomi telah menjadi senjata ampuh bagi Amerika Syarikat berserta sekutu-sekutunya.

Hari ini, kita melihat percubaan Rusia dan rakan-rakan rapat Rusia untuk mencabar dunia unipolar hegemoni Amerika Syarikat ini.

Dalam usaha barat untuk ‘memegang tengkuk’ Rusia melalui pelaburan dalam negara tersebut dalam percubaan mengawal hala tuju negara tersebut, secara tidak langsung, mereka turut ‘menadah tengkuk’ masing-masing kepada Rusia apabila mereka terlalu bergantung kepada import bahan api daripada Rusia.

Tindakan mereka untuk cuba ‘menghukum’ Rusia memakan diri apabila Rusia mula menghentikan saluran minyak petroleum ke Eropah melalui paip Nord Stream 1.

Terbaru, syarikat petroleum Rusia telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan menunaikan kontrak mereka dengan pembeli di Eropah dengan alasan berhadapan dengan situasi force majuere.

Malah, perang Ukraine – Rusia hari ini sendiri boleh dijadikan bukti kegagalan CBM dalam menangani perang. Biarpun Rusia secara terbuka menyokong gerakan pemisah di wilayah Crimea, perdagangan antarabangsa antara kedua-dua negara tetap berterusan sehinggalah konflik ini tercetus terbuka.

Malaysia Dan Aplikasi Confidence Building Measures

Biarpun contoh-contoh CBM yang kita ambil setakat ini banyak melibatkan Amerika Syarikat serta seterunya ketika Perang Dingin, Malaysia tidak terlepas daripada mengaplikasikan konsep CBM, khususnya dalam hubungan antarabangsa.

Malaysia bukan sahaja mempunyai pelaburan besar dalam ekonomi di kebanyakan negara-negara jiran yang turut mempunyai pertindihan kedaulatan dengan Malaysia, malah melaksanakan latihan perang dengan negara-negara ini.

Malahan, dalam konteks CBM, Malaysia bukan sahaja membeli kapal perang (Littoral Mission Ship atau LMS) daripada China, kita juga pernah mengadakan latihan perang dengan negara tersebut.

Apakah kita dalam pengaplikasian CBM dalam hubungan geopolitik Malaysia, meletakkan kepentingan hubungan politik itu lebih tinggi daripada kedaulatan negara?

Dan apakah kita boleh jadi melakukan silap sama sehingga terlalu bergantung kepada kekuatan hubungan diplomatik untuk menjamin kedaulatan kita? Hanya masa yang boleh menentukannya.

Kapal LMS dari China dalam perkhidmatan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)

Foto utama: TASHKENT, UZBEKISTAN: Pandangan umum menunjukkan sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tashkent 17 Jun 2004.

SCO, yang dipengerusikan oleh Rusia dan China, ditubuhkan secara rasmi pada 2001 dan berkembang daripada usaha pada 1990-an untuk mengukuhkan langkah-langkah membina keyakinan (Confidence Building Measures) di kawasan sempadan dan memerangi keganasan serantau, ekstremisme agama dan puak pemisah.

Presiden Rusia Vladimir Putin bertemu rakan sejawatannya dari China Hu Jintao dan empat pemimpin serantau yang lain pada 17 Jun 2004 semasa sidang kemuncak keselamatan dan perdagangan SCO.

Perkumpulan itu adalah salah satu pakatan serantau pertama yang China bersetuju sertai dan bertujuan untuk memupuk kepercayaan ketenteraan dan membuka sempadan perdagangan di rantau Asia Tengah yang tidak menentu tetapi berpotensi menguntungkan yang dibina di atas perdagangan minyak dan gas.

AFP PHOTO / MAXIM MARMUR (Kredit foto harus dibaca MAXIM MARMUR/AFP melalui Getty Images)

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.