Ulang Tahun Ke-45 Sukhoi Su-27

Kongsi di

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-45 kemunculan Sukhoi Su-27 yang melahirkan keluarga pesawat pejuang terkenal Su-27, Su-30 dan Su-35.

Pesawat pejuang dari keluarga ini membentuk teras beberapa tentera udara, termasuk Angola, Belarus, Venezuela, Vietnam, India, Indonesia, Kazakhstan, China, Malaysia, Uganda dan banyak lagi.

Penamaan “Su” berasal dari nama keluarga pereka pesawat Pavel Osipovich Sukhoi yang pasukannya tetap bertanggungjawab dalam pembangunan semasa pesawat pejuang dari keluarga ini.

Pada masa kini, keluarga Su termasuk beberapa pesawat pejuang pelbagai misi kategori berat berorientasikan eksport seperti Su-30MKI, Su-30MKM, Su-30MKA, Su-30SME, Su-34E dan pesawat generasi 4+ / 4++ Su-35.

Menurut Rosoboronexport, agensi penjualan peralatan pertahanan negara Rusia, kira-kira 700 pesawat pejuang Su-27 / Su-30 telah dijual di peringkat antarabangsa sejak 2000.

“Pada 2021, portfolio pesanan syarikat itu telah diisi semula dengan kontrak baharu untuk pembekalan Su-30SM,” kata Alexander Mikheev, Ketua Pegawai Eksekutif Rosoboronexport.

“Sejak 10 tahun yang lalu, pembekalan pesawat dalam jumlah eksport senjata Rusia mencapai 40-50% dari seluruhan eksport, malah melebihi angka ini hari ini.

Pada masa ini, rakan kongsi kami sangat menghargai hakikat bahawa enjin, avionik, senjata, sistem dan komponen dalam pesawat pejuang Rusia adalah buatan Rusia secara eksklusif. Ini memastikan kebebasan negara pembeli daripada tindakan tidak adil yang diambil oleh negara ketiga.”

Seni bina terbuka avionik dan sistem senjata pesawat membolehkan integrasi pelbagai peralatan bukan dari Rusia mengikut permintaan pelanggan.

Pasukan Aeroangkasa Rusia kekal sebagai pengendali terbesar pesawat pejuang Sukhoi.

Sukhoi Su-35

Su-35 adalah ahli keluarga terbaru dengan teknologi pesawat pejuang generasi kelima. Su-35 mampu melaksanakan keseluruhan julat misi pesawat pejuang pada pelbagai ketinggian dan kelajuan.

Jumlah titik keras (hardpoints) yang banyak membolehkan penggunaan sehingga 12 peluru berpandu udara-ke-udara jarak sederhana atau enam peluru berpandu udara-ke-permukaan dalam satu sortie. Radarnya yang berkuasa boleh mengesan sasaran udara pada jarak jauh (sehingga 350 km).

Su-35 juga berkesan menyerang sasaran darat (permukaan), termasuk tanpa memasuki zon pertahanan udara musuh. Selain itu, Su-35 mampu mengawal sekumpulan kapal terbang di udara dan bertindak sebagai pesawat amaran awal dan kawalan udara (AEW&C).

Ciri-ciri utama keluarga Su yang lain termasuk: super-manuver; pakej peluru berpandu pintar yang digabungkan dengan meriam 30 mm; serta keupayaan mengisi bahan api dalam penerbangan.

Su-57

“Pada masa hadapan, dijangka keberkesanan pesawat pejuang Rusia akan terus kekal, dan peningkatan platform berterusan sedang dijalankan, seperti yang digambarkan dengan jelas melalui pembangunan pesawat Su-57,”tambah Mikheev.

Salah satu pengendali asing yang paling terkenal bagi pesawat pejuang jenis Su-30 ialah India, di mana program pengeluaran berlesen pejuang Su-30MKI, yang membentuk tulang belakang Tentera Udara negara itu, telah berjaya dilaksanakan.

Rosoboronexport, dalam rangka program “Make in India”, bersedia untuk membekalkan kit tambahan yang telah diceraikan (knocked down kits) untuk pemasangan Su-30MKI dan menjalankan kerja bersama dalam pemodenan mereka, termasuk penyepaduan senjata udara, avionik, dan sebagainya.

Pada masa yang sama, portfolio projek penerbangan sedia ada membolehkan syarikat membangunkan kerjasama teknologi secara global dalam pelbagai bidang.

Keupayaan pesawat pejuang dari keluarga Su akan dipamerkan oleh pasukan aerobatik Russian Knights dan Falcons of Russia semasa Forum Antarabangsa ARMY-2022 Ogos ini.

Su-34
Su-35

Ehsan Iskandar

Ehsan Iskandar merupakan seorang pemerhati pertahanan yang telah menyumbang kepada Asian Defence Journal dan Perajurit sejak pertengahan tahun 2000an. Beliau gemar mengikuti perkembangan geopolitik serantau.

Ehsan Iskandar

Ehsan Iskandar merupakan seorang pemerhati pertahanan yang telah menyumbang kepada Asian Defence Journal dan Perajurit sejak pertengahan tahun 2000an. Beliau gemar mengikuti perkembangan geopolitik serantau.