EksklusifKomunitiSejarah

TIGA KALI BERTEMPUR DENGAN PENGGANAS KOMUNIS

Kongsi di

“Sepanjang berkhidmat dalam 69 Komando, saya terbabit dalam tiga pertempuran dengan komunis termasuk kejayaan pasukan membunuh seorang anggota musuh. Saya puas hati dapat menjaga keselamatan negara.

“Saya masih ingat pertempuran itu yang berlaku di Ulu Yam, Selangor pada tahun 1979 kerana saya sebagai tracker (penjejak) berjaya menghidu khemah musuh sebelum serang hendap dilancarkan,” katanya.

Walaupun dirinya tidak lagi segagah semasa usia muda, bekas Konstabel 71925 Abri Bah Ali, 62, masih mengingati dengan jelas detik cemas kira-kira 30 minit berbalas tembakan dengan pengganas komunis semasa pertempuran tersebut.

Katanya, ketika berbalas tembakan dia juga dapat mendengar tangisan beberapa orang musuh wanita yang ketakutan sambil mereka berlindung di kawasan belukar di atas bukit.

Ceritanya, musuh dipercayai gentar apabila mengetahui lokasi mereka digempur pasukan 69 Komando seramai 12 orang walaupun jumlah pengganas komunis yang bertahan di atas bukit itu dipercayai lebih 30 orang.

Ini berdasarkan kesan-kesan pada khemah yang digeledah selepas pertempuran selesai dan musuh melarikan diri.

“Saya mengambil alih tugas menjejak daripada Apot (Sarjan Mejar Apot Saad, penjejak lagenda 69 Komando) setelah pasukan kami bertukar untuk meneruskan operasi memburu musuh.

“Kira-kira seminggu selepas menjejak, saya menemui kesan-kesan yang membawa kepada penemuan sebuah kem musuh. Semasa melakukan tinjauan saya dan rakan mudah melihat sentri (pengawal) musuh yang tidak menyedari kehadiran kami.

“Setelah meninjau dan mengagak kekuatan musuh, saya dan pasukan berundur ke kawasan selamat lalu pegawai yang saya ingat namanya Inspektor Radi merancang strategi untuk menggempur kedudukan musuh,” ujarnya.

Abri daripada suku kaum Semai mulanya menyertai pasukan Senoi Praaq pada Julai 1978 sebelum dipilih menganggotai 69 Komando sebagai penjejak kerana kemahirannya berburu dan mengesan jejak di hutan.

TERIAKAN SEMANGAT

Kata Abri, tembakan pertama yang dilepaskan Inspektor Radi mengenai sentri musuh sebelum dia dan rakan-rakan lain bertubi-tubi memuntahkan peluru masing-masing daripada senjata M16 mengikut taktik bertempur sepertimana dirancang.

“Sambil bertempur Tuan Radi menjerit ‘mara’, ‘mara’, ‘mara’ lalu kami bergerak sedikit demi sedikit secara berhati-hati mendekati kedudukan musuh di  atas bukit tanpa mengendahkan serangan balas mereka.

“Masa itu tidak ada rasa takut kerana matlamat memang nak menumpaskan musuh,” ceritanya mengingati peristiwa yang berlaku 41 tahun lalu.

Katanya lagi, dia juga masih ingat pengganas komunis melaungkan cabaran kepada 69 Komando menyebabkan semangat mereka untuk bertempur semakin membara.

“Mereka cabar dengan berkata ‘kalau lu berani lu datang la’. Itu yang membuatkan kami betul-betul marah dan menyahut cabaran menawan khemah mereka.

“Sebaik pertempuran selesai, saya dan beberapa rakan menggeledah khemah musuh dan menjumpai pelbagai kelengkapan termasuk makanan yang telah dimasak tetapi terpaksa ditinggalkan,” jelas Abri.

Ceritanya lagi, mayat musuh yang ditembak mati bagaimana pun tidak dapat dibawa keluar pada hari tersebut kerana helikopter Nuri tidak boleh dihantar disebabkan faktor cuaca.

“Pada malam itu kami tidur dengan mayat musuh yang berbungkus. Hanya esok helikopter boleh mendarat untuk membawa keluar mayat tersebut.

“Kami terpaksa menggunakan grenad untuk menumbangkan pokok-pokok besar bagi membina tapak pendaratan helikopter,” kata Abri.

DARI SENOI PRAAQ KE 69 KOMANDO

Dua lagi pertempuran yang disertainya semasa dalam 69 Komando ialah di Bentong, Pahang dan Kuala Kubu Bharu, Selangor.

Bagaimana pun, perkhidmatannya di dalam polis tidak lama apabil mengambil keputusan berhenti pada tahun 1983 disebabkan keluarga dan pulang ke kampung.

Kata Abri, ada sedikit kekesalan dalam dirinya disebabkan meninggalkan seragam hijau lebih awal kerana dia sebenarnya amat mencintai kerjaya tersebut terutamanya semangat setiakawan rakan-rakan.

Abri daripada suku kaum Semai mulanya menyertai pasukan Senoi Praaq pada Julai 1978 sebelum dipilih menganggotai 69 Komando sebagai penjejak kerana kemahirannya berburu dan mengesan jejak di hutan.

Katanya, dia dan Apot serta beberapa lagi rakan-rakan sepasukan Orang Asli bertindak sebagai tracker, cuma Apot menyertai pasukan polis lebih awal.

Dia juga dikatakan tidak betah bermalam di dalam khemah semasa operasi, sebaliknya akan tidur di atas pokok sebagai langkah berjaga-jaga sekiraya diserang musuh.

Nasib wira negara ini bagaimana pun terbela apabila pada tahun lalu sebuah rumah batu dua bilik dibina menggantikan pondok buruk mereka di perkampungan Orang Asli di Kampung Senta.

SEMANGAT MASIH MEMBARA

Bagaimana pun, keperwiraan Abri suatu masa dahulu hanyalah secalit kisah lalu, dia kini hidup dalam kedaifan di sebuah pondok buruk di perkampungan Orang Asli di Kampung Kuala Senta yang letaknya kira-kira 20 minit berkenderaan dari pekan Bidor.

Di situlah tempat dia berteduh bersama seorang anak lelaki berusia 13 tahun sejak berpisah dengan isteri 12 tahun lalu dan hidup secara ala kadar.

Dia yang tidak boleh melakukan kerja berat setelah terlibat dalam kemalangan motosikal 10 tahun lalu kini hanya bekerja mencari petai dan hasil-hasil hutan di sekitar perkampungannya untuk dijual.

Biarpun dimamah usia, tetapi lelaki bertubuh kecil ini masih belum tumpul kemahirannya dalam memburu, mengesan jejak serta ilmu navigasi di dalam hutan. Nasib wira negara ini bagaimana pun terbela apabila pada tahun lalu sebuah rumah batu dua bilik dibina menggantikan pondok buruk mereka di perkampungan Orang Asli di Kampung Senta.

Kerja-kerja pembinaan itu disempurnakan oleh Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) melibatkan 10 anggota Batalion 3 PGA Senoi Praaq dari Kem Bidor dengan kos pembinaan dibiayai oleh syarikat tempatan iaitu Gading Kencana Sdn Bhd.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.