BeritaEksesaisEksklusifOperasi

ANGKATAN BERSENJATA DIRAJA BRUNEI MENYAMBUT HARI ULANG TAHUN KE-61

Kongsi di

Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei (ABDB) yang menyambut hari ulang tahun (HUT) ke-61-nya baru-baru ini telah ditubuhkan pada 31 Mei 1961 dengan pembentukan Askar Melayu Brunei.

ABDB merupakan salah satu angkatan bersenjata terkecil di ASEAN namun ini tidak menghalang ABDB untuk membentuk satu angkatan bersenjata yang terlatih dan dilengkapi dengan aset yang bersesuaian dengan keperluan pertahanannya.

Hanya warganegara Brunei yang berbangsa Melayu Bumiputera boleh memasuki angkatan tentera di Brunei.

Tentera Darat DiRaja Brunei merupakan komponen terbesar di bawah ABDB namun Tentera Laut DiRaja Brunei dan Tentera Udara DiRaja Brunei tetap memainkan peranan yang penting dalam memelihara kedaulatan negara tersebut memandangkan Brunei mempunyai tuntutan Zon Ekonomi Eksklusif yang luas.

Artikel ini melihat kepada pembangunan ABDB masa kini, termasuk mengenai Kertas Putih Pertahanan, Bajet, Pembangunan Aset, Operasi dan Eksesais serta Hubungan Brunei dengan Negara-Negara Serantau dan Extra-Serantau.

KERTAS PUTIH

Brunei telah menerbitkan satu Kertas Putih Pertahanan baru pada tahun 2021. Kertas Putih ini merupakan edisi terbaru selepas edisi pertama yang diterbitkan pada tahun 2011.

Kertas Putih Pertahanan 2021 ini memberi pencerahan tentang konteks strategik, solusi pertahanan, serta keperluan keupayaan pertahanan strategik Brunei.

Keperluan pertahanan yang disenaraikan di dalam Kertas Putih Pertahanan 2021 termasuk dari aspek latihan, peralatan, keanggotaan, perisikan dan maklumat, polisi, doktrin dan konsep, organisasi, infrastruktur dan logistik.

BAJET

Brunei membelanjakan sekitar 3.3% (sekitar 610 juta Dollar Brunei atau 438 juta Dollar AS) dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 untuk pertahanan. Ini adalah penurunan dari sekitar 4.1% KDNK pada tahun 2020.

Perbelanjaan untuk menghadapi pandemik COVID-19 telah memberi impak kepada perbelanjaan pertahanan Brunei namun pembangunan aset pertahanan masih diteruskan pada kadar yang lebih perlahan.

UAV yang dioperasikan oleh Skuadron No.39, Cawangan Nombor 3, Tentera Udara DiRaja Brunei, yang baru ditauliah sempena HUT ke-61 ABDB.

PEMBANGUNAN ASET

Brunei telah memperolehi aset dari pelbagai negara termasuk dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Sweden, Itali, Indonesia, Jerman, Perancis dan Australia untuk memenuhi keperluan pertahanannya.

Antara aset terbaru dalam pegangan ABDB ialah 12 unit helikopter Boeing S-70i Black Hawk dari Amerika Syarikat (diterima pada tahun 2013 hingga 2015), dan lima unit unmanned aerial vehicle (UAV) Boeing Insitu RQ-21 Blackjack juga dari Amerika Syarikat (diterima pada tahun 2021). UAV dioperasikan oleh Skuadron No.39, Cawangan Nombor 3, Tentera Udara DiRaja Brunei yang baru ditauliah sempena HUT ke-61 ABDB.

Helikopter Black Hawk versi S-70i ini mengganti sehingga enam unit helikopter Black Hawk versi S-70A-14 yang diperolehi pada tahun 1980an dan 1990an.

Tentera Udara DiRaja Brunei juga mengoperasikan sehingga 10 unit helikopter Bell 212. Helikopter dari jenis yang sama dioperasikan di Brunei oleh British Army Air Corps. Helikopter Bell 212 Tentera Udara DiRaja Brunei telah ditarik dari perkhidmatan pada tahun 2016 setelah mencapai 40 tahun dalam perkhidmatan.

Turut ditauliahkan semasa sambutan HUT ke-61 ABDB ialah Pusat Simulasi Kastila bagi Full Mission Bridge Simulator (FMBS) Tentera Laut DiRaja Brunei.

Pusat Simulasi Kastila berfungsi sebagai pusat latihan bagi FMBS untuk melatih para pegawai atau kru kapal dalam kemahiran navigasi kapal.

Selain itu, pusat tersebut juga menempatkan Flight Deck Operation Simulator yang berfungsi untuk memberikan kemahiran kepada para anggota TLDB dalam Marshalling Signals.

Walaupun ABDB boleh berbangga dengan kemasukan aset-aset yang baru dan moden, namun masih terdapat beberapa aset pertahanan seperti kereta berperisai dan pertahanan udara yang dilihat sudah agak berusia dan perlu diganti untuk memastikan tahap kesiagaan kekal tinggi.

Putera Abdul Mateen Sultan Bolkiah semasa eksesais HIKMAT BERSATU VI 2021

OPERASI DAN EKSESAIS

Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa operasi bersama Angkatan Tentera Malaysia termasuk dalam misi pengaman United Nations Interim Forces in Lebanon (UNIFIL) di Lubnan serta misi International Monitoring Mission (IMT) dan Independent Decommissioning Body Verification and Monitoring Assistance Team (IDB VMAT) di Mindanao.

Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei menjalankan beberapa siri eksesais untuk meningkatkan kompetensi dan berlatih untuk menghadapi pelbagai senario keselamatan termasuk siri eksesasi HIKMAT BERSATU (sejak 2003), PERISAI KEBANGSAAN dan SETIA BERSAMA.

Siri eksesais lain termasuk eksesais SEMBILANG antara Tentera Laut DiRaja Brunei dan Pasukan Polis DiRaja Brunei.

Anggota Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Darat Malaysia termasuk siri eksesais MALBRU / BRUMAL SETIA

HUBUNGAN BRUNEI DENGAN MALAYSIA

Brunei secara geografinya dikelilingi Malaysia dan mempunyai beberapa isu berbangkit mengenai persempadanan dengan Malaysia terutamanya selepas penerbitan Peta Baru 1979. Namun begitu, Brunei mempunyai hubungan yang baik dengan Malaysia atas beberapa faktor termasuk persamaan dari segi budaya dan agama.

Askar Melayu Brunei pada mulanya dilatih dan pernah ditempatkan di Port Dickson, sebelum dipindahkan ke penempatan di Brunei. Brunei juga mempunyai keluarga diraja yang mempunyai hubungan yang baik dengan keluarga-keluarga diraja di Malaysia.

Brunei hampir menyertai Malaysia pada tahun 1963 namun pemberontakan oleh A M Azahari menentang penyertaan ini pada tahun 1962 telah membantutkan hasrat tersebut.

Selain tentera British, anggota pasukan keselamatan Malaysia (antaranya Sarawak Rangers dan Pasukan Polis Hutan) juga pernah dihantar ke Brunei untuk membantu pasukan keselamatan tempatan untuk mengamankan keadaan selepas pemberontakan ini.

Terdapat anggota pemberontak yang kemudian telah melarikan diri ke Malaysia dan Indonesia namun tiada lagi pemberontakan secara terbuka berlaku selepas itu.

Brunei masih menghantar anggota dan pegawai tenteranya untuk mengikuti latihan di beberapa institusi latihan ketenteraan di Malaysia secara berkala. Sejak beberapa tahun lepas Brunei menghantar anggotanya untuk menyertai asas komando PASKAL sebagai penanda aras kepada pembangunan Rejimen Pasukan Khas (RPK)-nya.

Brunei juga pernah memperolehi beberapa jenis aset ketenteraan dari Malaysia, antaranya trak pengangkut anggota.

Brunei juga pernah terlibat bersama Malaysia dalam membantu pihak Bosnia semasa konflik di Balkan pada tahun 1990an.

OPERASI DAN EKSESAIS BERSAMA ANGKATAN TENTERA MALAYSIA

Askar Brunei termasuk anggota RPK beroperasi bersama anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia di misi UNIFIL di bawah payung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lubnan dan misi IMT di Mindanao.

Askar Brunei yang beroperasi bersama tentera Malaysia berlatih untuk melaksanakan operasi bersama melalui Force Integration Training (FIT) di Malaysia. Selain itu askar Brunei juga pernah terlibat dalam eksesais multilateral KERIS AMAN CAPSTONE di Malaysia.

Anggota Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Darat Malaysia termasuk siri eksesais MALBRU / BRUMAL SETIA (sejak 1993) dan MERTAK BERSATU (sejak 1994).

Anggota Tentera Laut DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Laut DiRaja Malaysia termasuk siri eksesais HORNBILL dan BRUMAL.

Dalam bulan Mac, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia dan Brunei telah bersetuju untuk melihat kerjasama pertahanan yang lebih rapat terutama dalam latihan bersama anti keganasan dan pasukan khusus.

Anggota Tentera Udara DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Udara Republik Singapura termasuk siri eksesais AIRGUARD

HUBUNGAN BRUNEI DENGAN SINGAPURA

Brunei mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Singapura. Kedua-dua mempunyai pelbagai persamaan dari segi pengurusan kewangan (kadar pertukaran matawang asing yang sama) dan pentadbiran kerajaan. Singapura juga mempunyai sebab yang baik untuk mempunyai hubungan yang baik dengan Brunei.

Angkatan Bersenjata DiRaja Brunei menghantar anggota dan pegawai untuk menghadiri latihan di beberapa institusi latihan ketenteraan di Singapura. Brunei juga memperolehi beberapa aset ketenteraan dari Singapura termasuk uniform yang mempunyai corak yang mirip dengan Tentera Darat Singapura.

Angkatan bersenjata Singapura juga mempunyai beberapa penempatan di Brunei untuk tujuan latihan peperangan hutan, iaitu di Kem Jalan Aman (helikopter) dan Kem Lakiun. Setiap tahun Tentera Darat Singapura akan menghantar anggota tenteranya untuk berlatih dalam peperangan hutan di Brunei melalui siri eksesais LANCER.

Anggota Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Darat Singapura termasuk siri eksesais TERMITE (sejak 1984, kini EKS FLAMING ARROW), BOLD CASTLE (sejak 1989), BOLD SABRE (eksesais armor, sejak 1992), BRUSING (sejak 1995, kini EKS MAJU BERSAMA), DRAGONBALL (sejak 2001) dan RINTIS BERSAMA.

Anggota Tentera Laut DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Laut Republik Singapura termasuk siri eksesais PELICAN (sejak 1979).

Anggota Tentera Udara DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Udara Republik Singapura termasuk siri eksesais AIRGUARD (sejak 1994).

Putera Abdul Mateen Sultan Bolkiah menyertai anggota RPK Tentera Darat DiRaja Brunei yang terlibat dalam siri eksesais PETIR SAKTI / KILAT SAKTI yang dilaksanakan secara berkala dengan anggota pasukan khusus Kopassus dari Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD)

HUBUNGAN BRUNEI DENGAN INDONESIA

Brunei mula mempunyai hubungan yang rapat dengan Indonesia sejak beberapa tahun lepas untuk mengimbangi hubungannya dengan negara-negara jiran yang lain. Brunei memperolehi satu unit pesawat pengangkut CN-235-110 dari Indonesia pada penghujung 1990an.

Anggota Tentera Laut DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) termasuk siri eksesais HELANG LAUT.

Anggota RPK Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan anggota pasukan khusus Kopassus dari Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) termasuk siri eksesais PETIR SAKTI / KILAT SAKTI (sejak 2011).

Brunei juga pernah meminta bantuan pasukan khusus Kopassus untuk melatih anggota tim menembak Tentera Darat DiRaja Brunei.

Anggota RPK Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan anggota pasukan khusus Tentera Darat Australia (SASR dan Commando Regiment) termasuk siri eksesais NIGHT LEOPARD

HUBUNGAN BRUNEI DENGAN AUSTRALIA DAN NEW ZEALAND

Brunei mempunyai hubungan yang baik dengan negara Australia dan New Zealand berdasarkan sejarah bersama (negara Komanwel, penglibatan tentera Australia dan New Zealand semasa Perang Dunia Kedua, Konfrontasi, dan lain-lain). Brunei memperolehi dua unit lancang pendarat dari Australia pada tahun 1990an.

Anggota Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Darat Australia termasuk siri eksesais PREDATOR RETREAT (1987) dan MALLEE BULL (sejak 1992).

Anggota RPK Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan anggota pasukan khusus Tentera Darat Australia (SASR dan Commando Regiment) termasuk siri eksesais NIGHT LEOPARD (sejak 1998) dan STAR LEOPARD.

Pasukan khusus Australia berkemungkinan merupakan rakan utama pembangunan pasukan khusus Brunei, dari Special Combat Squadron (SCS) kepada RPK sekarang.

Anggota Tentera Laut DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Laut DiRaja Australia termasuk siri eksesais PENGUIN dan siri eksesais multilateral KAKADU dan INDO PACIFIC ENDEAVOUR.

Anggota Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Darat New Zealand termasuk siri eksesais AZAM BERSAMA (1989) dan CROSSED SWORD (sejak 1996). Pegawai Kadet Tentera Darat New Zealand berlatih dalam peperangan hutan di Brunei.

Namun, Tentera Darat New Zealand juga mempunyai kekangan yang hampir sama dengan Tentera Darat DiRaja Brunei iaitu kekuatan angkatan darat sekitar satu briged sahaja.

Anggota tentera dan polis Brunei termasuk Rejimen Pasukan Khas (RPK) dan Pasukan Gerak Khas (PGK) Pasukan Polis DiRaja Brunei juga sering mengadakan latihan silang bersama anggota batalion Gurkha Tentera Darat British yang berpangkalan di Tuker Lines di Brunei termasuk melalui siri eksesais BINTURAN SNIPER

HUBUNGAN BRUNEI DENGAN UNITED KINGDOM

Brunei memperolehi kemerdekaan dari United Kingdom pada 1 Januari 1984 dan masih mengekalkan hubungan yang baik dengan negara tersebut sehingga ke hari ini atas sebab-sebab keselamatan. Brunei mengoperasikan beberapa jenis kereta berperisai dan sistem pertahanan udara yang diperolehi dari United Kingdom.

Tentera British membantu Brunei untuk menewaskan pemberontakan pada 1962 dan masih menempatkan anggota tentera mereka di Brunei sehingga kini, iaitu satu batalion askar Gurkha, satu flight dari British Army Air Corps (7 Flight) yang mengoperasikan helikopter Bell 212 dan satu Divisyen Peperangan Hutan iaitu sekolah peperangan hutan Tentera Darat British.

Tentera British melaksanakan beberapa siri eksesais peperangan hutan di Brunei, antaranya siri eksesais KUKRI THUNDER, KUKRI DEFENDER, JUNGLE WALKER, ANTIM PARIKSHA, JUNGLE ANUBHAV, JUNGLE BABUJI, JUNGLE GURUJI, AMBOOR JUNGLE DESCENT, AMBOOR ORANG, TELISAI KHUKURI, HUTAN PENJUWAN, COMMAND AND STAFF TRAINER (CAST), RUKH EAGLE dan ULU RAJAH.

Anggota tentera British ditempatkan di tiga kem di Brunei iaitu Kem Sittang, Medicina Lines (7 Flight dan Divisyen Peperangan Hutan) dan Tuker Lines (batalion Gurkha).

Anggota Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan angkatan bersenjata British termasuk siri eksesais SETIA KAWAN (sejak 1988). Eksesais skala besar ini menyaksikan pendaratan amfibi oleh anggota Royal Marines disokong oleh unit-unit lain termasuk Special Boat Service (SBS) iaitu pasukan khusus tier 1 dari United Kingdom.

Anggota tentera dan polis Brunei termasuk Rejimen Pasukan Khas (RPK) dan Pasukan Gerak Khas (PGK) Pasukan Polis DiRaja Brunei juga sering mengadakan latihan silang bersama anggota batalion Gurkha Tentera Darat British yang berpangkalan di Tuker Lines di Brunei termasuk melalui siri eksesais BINTURAN SNIPER.

HUBUNGAN BRUNEI DENGAN AMERIKA SYARIKAT

Brunei mempunyai hubungan yang baik dengan Amerika Syarikat, antaranya semasa bersama membantu pejuang Bosnia menentang tentera Serbia semasa konflik di Balkan pada 1990an. Aset-aset terbaru ABDB seperti helikopter S-70i Black Hawk dan UAV RQ-21 Blackjack juga diperolehi dari Amerika Syarikat.

Anggota Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan angkatan bersenjata Amerika Syarikat termasuk siri eksesais GREEN CANOPY di bawah payung EKS CARAT (sejak 2001) dan PAHLAWAN WARRIOR (sejak 2018).

Anggota Tentera Laut DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan angkatan bersenjata Amerika Syarikat termasuk siri eksesais CARAT (sejak 2001), dan siri eksesais multilateral SEACAT, RIMPAC dan AUMX.

HUBUNGAN BRUNEI DENGAN FILIPINA, INDIA DAN RUSIA

Anggota Tentera Laut DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Laut Filipina termasuk siri eksesais MTA SEAGULL. Selain itu Tentera Laut DiRaja Brunei terlibat dengan eksesais PASSEX dengan Tentera Laut India dan eksesais multilateral ARNEX dengan Tentera Laut Rusia.

HUBUNGAN BRUNEI DENGAN OMAN, PAKISTAN DAN JORDAN

Anggota Tentera Darat DiRaja Brunei terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan Tentera Darat DiRaja Oman termasuk siri eksesais BURAQ (sejak 1986).

Anggota Rejimen Pasukan Khas (RPK) Tentera Darat DiRaja Brunei dipercayai terlibat dalam beberapa siri eksesais secara berkala dengan anggota pasukan khusus Tentera Darat Pakistan (SSG) dan Tentera Darat Jordan.

HUBUNGAN BRUNEI DENGAN CHINA

Tentera Laut DiRaja Brunei terlibat dengan eksesais multilateral ASEAN-China Maritime Exercise dan ADMM Plus Marime Security & Counter Terrorism dengan angkatan laut China.

KESIMPULAN

Enam dekad kewujudannya, ABDB terus berkembang dan membangun mengikut acuan sendiri sesuai dengan keperluan Brunei sebagai sebuah negara berdaulat.

Namun, senario geopolitik yang tidak menentu terutamanya di Laut China Selatan mungkin akan memaksa Brunei untuk meningkatkan keupayaan dan keanggotaan di masa hadapan. Buat masa ini, Brunei perlu bergantung kepada diplomasi pertahanan untuk memastikan kepentingan negara terus terpelihara.

Adakah usaha diplomasi pertahanan ini akan membawa kepada perkongsian pintar di masa hadapan? Contoh adalah seperti kerjasama antara angkatan udara Belgium dan Luxembourg – 20 “Sioux” Squadron yang mengoperasikan pesawat A400M secara bersama.

Skuadron ini mengoperasikan lapan unit pesawat berkenaan dari pangkalan udara Melsbroek, Brussels, dengan satu unit pesawat milik Luxembourg dan tujuh unit pesawat milik Belgium. Kerjasama pintar ini memberi peluang kepada angkatan udara yang kecil untuk meningkatkan keupayaan secara bekerjasama dengan jiran serantau.

Contoh kerjasama yang lain ialah penggunaan tenaga kerja asing, contohnya juruterbang dari Pakistan dan Bangladesh oleh angkatan udara negara-negara Arab pada suatu ketika dahulu.

Antaranya ialah Saiful Azam yang telah berjaya menembak jatuh tiga pesawat Israel semasa Perang Enam Hari 1967, dan Sattar Alvi yang telah berjaya menembak jatuh sebuah pesawat Israel.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.