BeritaEksklusifIndustri

Tentera Udara Republik Singapura Menambah Pegangan Senjata Udara-ke-Darat Mereka

Kongsi di

Jabatan Negara Amerika Syarikat telah membuat penentuan untuk meluluskan kemungkinan Penjualan Kepada Tentera Asing (Foreign Military Sales) kepada Kerajaan Singapura bagi kit amunisi udara-ke-darat, dan peralatan serta perkhidmatan berkaitan dengan anggaran kos AS$55 juta dolar. Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan mengumumkan kelulusan ini pada Feb 9, 2023.

Kerajaan Singapura telah meminta untuk membeli 100 unit Kit Ekor KMU-556 untuk Joint Direct-Attack Munition (JDAM) GBU-31; 900 unit Kit Ekor KMU-572 untuk JDAM GBU-38 dan Laser JDAM GBU-54; 250 unit Kumpulan Kawalan Komputer MAU-169 untuk 500lb Paveway-II (PWII) GBU-12; dan 250 unit Kumpulan Foil Udara MXU-650 untuk 500lb PWII GBU-12.

Turut disertakan ialah set panduan laser DSU-38; Common Munitions Built-In-Test (BIT) / Reprogramming Equipment (CMBRE); alat ganti, bahan habis pakai dan aksesori, serta sokongan pembaikan dan pemulangan; peralatan sokongan dan sokongan pesawat dan peluru; latihan kakitangan dan peralatan latihan; perisian; buku teknikal dan penerbitan lain; kejuruteraan kontraktor dan Kerajaan AS, perkhidmatan sokongan teknikal dan logistik, kajian dan tinjauan; dan elemen lain berkaitan logistik dan sokongan program. Anggaran kos keseluruhan ialah AS$55 juta dolar.

Kontraktor utama ialah Raytheon Missile and Defense. Sebahagian daripada barangan di atas dijangka akan datang daripada stok Kerajaan AS. Tiada perjanjian mengimbangi (offset) yang diketahui yang dicadangkan berkaitan dengan penjualan ini.

Menyokong Dasar Luar AS

Penjualan yang dicadangkan ini adalah untuk menyokong dasar luar dan objektif keselamatan negara Amerika Syarikat dengan meningkatkan keselamatan rakan kongsi strategik yang merupakan kuasa penting untuk kestabilan politik dan kemajuan ekonomi di Asia.

Cadangan penjualan itu akan menyokong keupayaan Tentera Udara Republik Singapura untuk menyumbang kepada operasi gabungan dan memenuhi keperluan pertahanan negaranya. Singapura dikatakan tidak akan mengalami kesukaran untuk menyerap barangan dan perkhidmatan ini ke dalam angkatan tenteranya.

Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan mengatakan yang penjualan yang dicadangkan ini tidak akan mengubah keseimbangan asas ketenteraan di rantau ini, namun sudah tentu pembelian seperti ini berpotensi mendatangkan kegusaran kepada jiran-jiran termasuk Malaysia.

Pesawat F-15SG merupakan pemukul utama Tentera Udara Republik Singapura sekarang dan pesawat F-35 bakal memasuki perkhidmatan Tentera Udara Republik Singapura beberapa tahun lagi. (Sumber: RSAF)

Ehsan Iskandar

Ehsan Iskandar merupakan seorang pemerhati pertahanan yang telah menyumbang kepada Asian Defence Journal dan Perajurit sejak pertengahan tahun 2000an. Beliau gemar mengikuti perkembangan geopolitik serantau.

Ehsan Iskandar

Ehsan Iskandar merupakan seorang pemerhati pertahanan yang telah menyumbang kepada Asian Defence Journal dan Perajurit sejak pertengahan tahun 2000an. Beliau gemar mengikuti perkembangan geopolitik serantau.