EksklusifSejarah

Faktor Marcos Jr Dalam Keamanan Selatan Filipina – Kesannya Kepada Malaysia

Kongsi di

Pilihanraya Presiden-Naib Presiden Filipina pada 9 Mei 2022 menyaksikan kembalinya waris Presiden Ferdinand Marcos (1965-1986) dan Presiden Rodrigo Duterte memegang tampung kepimpinan utama Filipina bagi penggal seterusnya 2022-2028.

Ferdinand “Bongbong” Romualdez Marcos Jr, anak kedua mendiang Presiden Ferdinand Marcos Sr. yang secara rasmi dilantik menjadi Presiden Filipina ke 17 pada 30 Jun 2022 bagi tempoh enam tahun.

Sara Durterte, anak Presiden Rodrigo Duterte pula terpilih sebagai Naib Presiden Filipina dalam pilihanraya sama.

Pada peringkat awal, terdapat pandangan skeptikal kepada Presiden Marcos Jr. mengenai sikapnya terhadap perdamaian di Selatan Filipina khususnya mengenai proses pembentukan pemerintahan autonomi Mindanao melalui Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao (BARMM).

Ini kerana sikapnya yang kritikal semasa menjadi senator. Semasa ucapan sulung rasmi Presiden Marcos Jr. di State of Nation Address (SONA) pada 25 Julai 2022, isu pembentukan BARMM tidak disentuh dalam ucapan penting ini.

Presiden Marcos Jr lebih menumpukan ucapannya kepada isu-isu ekonomi, pendidikan, keselamatan dan masalah yang dihadapi oleh Filipina setelah pandemik COVID-19.

Ini juga menimbulkan kebimbangan kepada pihak berkepentingan mengenai isu Mindanao mengenai sejauhmana komitmen Presiden Marcos Jr terhadap proses pembentukan BARMM. 

Tambahan pula rekod ayahnya Presiden Ferdinand Marcos yang menjadi Presiden agak kritikal terhadap pembentukan Malaysia dan Presiden Marcos juga terkenal dengan peristiwa Pembunuhan Jabidah yang berlaku di Pulau Corregidor pada tahun 1968 di mana pelatih yang direkrut menjadi pasukan komando yang dinamakan Jabidah untuk menyerang Sabah telah dibunuh.

Jabidah Massacre

Peristiwa “Jabidah Massacre” juga mempunyai kaitan dengan Operasi MERDEKA oleh Kerajaan Filipina untuk mengambil alih Sabah semasa pemerintahan Presiden Marcos Sr.

Semasa pilihanraya Presiden juga, parti United Bangsamoro Justice Party (UBJP) yang mempunyai kaitan dengan Moro Islamic Liberation Front (MILF) telah membuat deklarasi untuk menyokong calon Presiden, Leni Robredo.

Dengan kemenangan Marcos Jr. sebagai Presiden, keadaan ini telah menimbul tanda tanya sama ada Presiden Marcos Jr. akan terus memberi kerjasama kepada MILF dalam meneruskan proses pembentukan BARMM yang merupakan hasil rundingan damai yang panjang antara Kerajaan Filipina dengan MILF.

Ini kerana semasa pilihanraya Presiden Filipina, parti pro MILF iaitu UBJP secara terbuka menyokong Leni Robredo sebagai calon Presiden Filipina.

Walaubagaimanapun, pada 12 Ogos 2022 Presiden Marcos Jr telah menghadiri acara perlantikan 80 anggota interim Bangsamoro Transition Authority (BTA) di Istana Malacanang, Manila.

Anggota Interim BTA ini terdiri daripada 41 nama yang dicalonkan daripada MILF dan 39 anggota dinamakan dari Kerajaan Filipina. Dalam acara ini, Presiden Marcos Jr. telah menzahirkan komitmennya untuk menyokong usaha merealisasikan proses pembentukan BARMM.

Peranan anggota BTA yang dilantik penting untuk mengurus dan menyediakan asas kepada pembentukan BARMM.

Presiden Duterte sebelum ini telah memberi pemanjangan masa kepada BTA tempoh peralihan bagi persediaan ini sehingga tahun 2025 sebelum pilihanraya ke arah pembentukan BARMM dilaksanakan.

Presiden Marcos Jr juga telah menyatakan tiada pemanjangan waktu tempoh peralihan di mana BTA perlu memastikan pilihanraya bagi memilih pemimpin baru BARMM perlu dilakukan pada tahun 2025.

MANILA, FILIPINA – 30 JUN: Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr., bersama Naib Presiden baharu Sara Duterte, bergambar selepas mengangkat sumpah sebagai Presiden seterusnya, di Muzium Seni Halus Negara pada 30 Jun 2022 di Manila , Filipina.

Peranan Sara Duterte

Sekiranya Presiden Marcos Jr mempunyai sikap yang berbeza mengenai kedudukan MILF dan proses rundingan di Mindanao, peranan Naib Presiden, Sara Duterte dijangka akan mengimbangi kepentingan kawasan ini.

Ini kerana Sara Duterte adalah mantan Datuk Bandar Davao dan ayahnya Presiden Duterte juga semasa menjadi Presiden Filipina ke-16 juga komited kepada proses rundingan damai dan pembentukan pemerintahan autonomi di Mindanao.

Keamanan di Selatan Filipina ini penting dalam konteks keselamatan perairan Sabah khususnya.

Malaysia mempunyai kepentingan untuk melihat kawasan ini tidak lagi bergolak demi kepentingan Sabah yang merupakan wilayah Malaysia yang paling terkesan dengan segala perkembangan yang berlaku di Selatan Filipina.

Pada masa yang sama, Malaysia juga mempunyai kepentingan dalam menjaga kedaulatan Sabah khususnya mengenai sebarang elemen yang boleh mengganggu gugat keselamatan sekitar Sabah serta sebarang tuntutan ke atas kedaulatan Sabah.

Presiden Marcos Jr kini telah mula melakukan lawatan negara dan menjadikan Jakarta, Indonesia sebagai destinasi pertama lawatan beliau sebagai Presiden dan kemudian ke Singapura.

Setakat ini belum ada maklumat mengenai sebarang rancangan beliau ke Malaysia dan sekiranya berlaku kelak ianya akan menarik perhatian khususnya sikap dan dukungannya terhadap perkembangan proses di Mindanao yang menjadi kepentingan bagi Filipina dan Malaysia kelak.

Masih terlalu awal untuk melihat masa depan keamanan Selatan Filipina dibawah Presiden Marcos Jr. Buat masa sekarang beliau dilihat memberi fokus kepada masalah dan cabaran semasa seperti isu ekonomi dampak pandemik COVID-19 serta ketidaktentuan ekonomi global.

Namun sudah pasti, harapan kita ingin melihat wilayah selatan Filipina terus aman dan sekaligus akan memberi impak positif kepada perkembangan serantau

Rujukan

https://www.benarnews.org/english/news/philippine/election-verified-05252022152208.html

https://www.aljazeera.com/features/2013/3/18/remembering-the-jabidah-massacre

https://www.rappler.com/nation/marcos-sona-2022-silence-mindanao-leaves-barmm-future-uncertain/

https://www.cnnphilippines.com/news/2022/4/23/Leni-Robredo-MILF-United-Bangsamoro-Justice-Party.html

https://www.rappler.com/nation/mindanao/marcos-jr-names-leads-oath-taking-bangsamoro-officials/

https://ptvnews.ph/presmarcos-vows-support-for-barmm-as-new-transition-authority-execs-take-oath/

Isaak Zulkarnaen

Isaak Zulkarnaen telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan sejak pertengahan 1990an dan hasil penulisannya dijadikan rujukan dalam beberapa penulisan akademik lain.

Isaak Zulkarnaen

Isaak Zulkarnaen telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan sejak pertengahan 1990an dan hasil penulisannya dijadikan rujukan dalam beberapa penulisan akademik lain.