KomunitiSejarah

BALING 28-29 DISEMBER 1955: PERTEMUAN VS RUNDINGAN

Kongsi di
Xnuripilot

Mejar Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) merupakan seorang juruterbang helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri. Semenjak bersara sepenuhnya, beliau meluangkan masanya untuk menulis tentang pengalamannya dan rakan-rakan seperjuangannya semasa menghadapi ancaman komunis di Semenanjung Malaysia dari sudut kru Nuri. Di samping itu, minat beliau merangkumi sejarah tanah air tercinta ini.

Pada 27 Februari 2022 saya telah diundang sebagai seorang ahli panel dalam acara wacana bertajuk ‘Liku-Liku Pertemuan Baling’ di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak, Baling, Kedah Darulaman. Acara ini sempena pelancaran buku saya – Liku-Liku Pertemuan Baling – oleh YAB Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah Darulaman. Seorang lagi ahli panel ialah Prof Madya Dr Mohd Kasri Saidon (UUM) sementara En Ghani Abu sebagai fasilitator.

Soalan pertama yang diajukan oleh Ghani Abu ialah: “Tajuk buku ini, ‘Liku-liku Pertemuan Baling’. Perkataan “Pertemuan” bukan “Rundingan” seperti yang ramai khalayak fahami sebelum ini. Dalam perkataan Inggeris, “Talks vs Negotiation.”

Ya. Mengapa Pertemuan bukan Rundingan? Sejujurnya sebelum ini terpahat dalam minda saya apa jua yang mengaitkan peristiwa tersebut sebagai Rundingan. Tetapi setelah mendalam sedikit mengenai peristiwa itu, maka terfikir soalan asas. Mengapa dokumen National Archives UK mengguna istilah ‘Talks’. Di samping itu, Almarhum Tunku Abdul Rahman (Tunku)1 dan mendiang Chin Peng,2 para pelaku utama juga mengguna istilah Talks dalam buku mereka. Mengapa tidak istilah ‘Negotiations’? Bukankah secara amnya Negotiation dalam Bahasa Melayu ialah Rundingan?

Apakah definisi negotiation/rundingan? Memetik takrifan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, rundingan ialah ‘Satu kaedah untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian tanpa bertempur/berlawan, satu cara untuk mencapai keputusan bersama membabitkan pihak-pihak terbabit yang mempunyai pandangan berbeza atau mencapai objektif satu pihak walaupun satu pihak lagi mempunyai objektif berlainan (It is a way of settling disputes without fighting, a way of making joint decisions when those who are making decisions hold different views or a way of achieving your own objectives despite other participants having different objectives).3

Tetapi sebelum menyelami lebih lanjut persoalan ini, perlu dijelaskan punca yang membawa kepada peristiwa bersejarah itu. Seperti yang umum sedia maklum, atas desakan UMNO telah menyaksikan sebuah negeri, ‘Malayan Union’ yang ditubuhkan pada 1 April 19464 lenyap dari peta dunia. Sebaliknya kini muncul sebuah negeri bernama ‘Persekutuan Tanah Melayu (PTM) / Federation of Malaya (FM)’ pada 1 Februari 19485 setelah termaktubnya Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani pada 21 Januari 1948.6 Antara mukadimah perjanjian itu ialah:

AND WHEREAS it is the desire of His Majesty and Their Highnesses that progress should be made towards eventual self-government and, as a first step to that end, His Majesty and Their Highnesses have agreed that, as soon as circumstances and local conditions will permit, legislation should be introduced for the election of members to the several legislatures to be established pursuant to this Agreement.7

Dalam lain perkataan, dengan perjanjian tersebut British sedia memberi ‘berkerajaan sendiri (self-government),’ iaitu ‘KEMERDEKAAN.’ Bererti PTM sebagai sebuah negara berdaulat, bukannya lagi sebuah koloni British. Tetapi persoalannya: Bila? Sebaik sahaja ‘keadaan mengizinkan.’ Syarat ini ditekankan lagi oleh Robert Anthony Eden, Setiausaha Luar Negara semasa lawatannya ke Kuala Lumpur pada 2 Mac 1955. Beliau menyatakan UK hanya akan menentukan hala tuju PTM ke arah pemerintahan sendiri, antara lain apabila berakhirnya keganasan komunis dan rakyat bersedia menentang penyerapan dan subversif komunis.8 Tidak semudah itu British hendak menyerah ‘lombong emas’ yang menyumbang kepada ekonomi UK!

Bagaimanakah keadaan PTM ketika itu sehingga British menjadikan ia satu syarat? Jawapannya ialah PTM ketika itu berada dalam keadaan darurat (emergency) yang diisytihar oleh British pada 18 Jun 1948.9

Mengapa British mengisytihar darurat? Kerana Parti Komunis Malaya (PKM) yang dipimpin oleh Setiausaha Agungnya, Ong Boon Hua, lebih dikenali sebagai Chin Peng telah mengangkat senjata menentang British dalam usaha mereka mengusir kolonialis untuk ‘memerdekakan’ PTM. Tindakan PKM membawa penderitaan kepada rakyat dan banyak nyawa terkorban serta cacat anggota tubuh badan yang terpaksa ditanggung sepanjang hayat.

Ada kebenarankah hanya PKM sahaja yang menentang British bagi mendapatkan kemerdekaan PTM? Jawapannya sudah pasti TIDAK sama sekali. Parti Perikatan yang ditunjangi oleh UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, juga mempunyai visi yang sama seperti PKM, iaitu berjuang untuk kemerdekaan tanah air tercinta ini. Hanya objektif mereka jauh berbeza. Objektif Parti Perikatan ialah mewujudkan sebuah negara demokratik di mana kerajaan dipilih oleh rakyat melalui pilihan raya umum dan mengamal sistem Raja Berperlembagaan. Sistem yang mengiktiraf Raja sebagai Ketua Negara. Sebaliknya, objektif PKM pula ialah untuk mewujudkan ‘People’s Democratic Republic of Malaya’ yang berpaksi kepada ideologi komunisme. Satu ideologi yang tidak percaya kepada sebarang agama!

Bagi mencapai objektif tersebut, PKM mengaplikasi frasa pemimpin China Mao Zedong: kuasa politik dicapai melalui muncung laras senapang (political power grows out of the barrel of a gun). Tindakan ketenteraan untuk mengambil alih kuasa pemerintahan! Sebaliknya, Tunku mengambil kaedah untuk berunding dengan pihak kolonialis bagi mengelak tumpahan darah rakyat. Kaedah beliau telah terbukti keberkesanannya apabila tekanan UMNO telah memaksa British membubar Malayan Union dan wujud bibit-bibit kemerdekaan seperti yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Tanpa pertumpahan darah!

Persediaan awal ke arah pemerintahan sendiri bermula apabila British bersetuju untuk mengadakan pilihan raya umum pada Mei 1955 bagi mengisi keahlian Majlis Perundingan Persekutuan. Antara manifesto kempen pilihan raya, Parti Perikatan ialah Tunku akan memberi pengampunan/amnesti kepada pengganas komunis yang menyerah diri dan meletak senjata. Mereka tidak akan didakwa atas kesalahan/kezaliman yang dilakukan sebelum program amnesti tersebut. Seperti yang dijangka, British tidak setuju dengan saranan Tunku ini. Kerana mereka telah menawarkan program supaya pengganas komunis menyerah diri. Perbezaannya ialah pengganas komunis yang menyerah diri akan didakwa di mahkamah.

Gelombang kemerdekaan membuak-buak. Pilihan raya yang diadakan pada 27 Julai 1955 menyaksikan Parti Perikatan memenangi 52 kerusi daripada 53 kerusi Dewan Undangan Persekutuan. British tiada pilihan tetapi terpaksa melantik Tunku sebagai Ketua Menteri (KM). Sebagai KM, Tunku bertegas untuk melaksana manifesto memberi amnesti. British terpaksa akur dengan pendirian Tunku.

Apa pula pendirian Chin Peng yang menyaksi pergolakan politik di depan matanya? Dia menyedari dia dan PKM dipihak yang kalah. Perkembangan ini memberi gambaran mereka tidak lagi relevan. Namun dia menyatakan mereka tidak boleh terima terma amnesti. Mereka sama sekali tidak akan menyerah diri. Sebaliknya dia mencadangkan untuk bertemu dengan Tunku untuk berunding.

Tunku seorang politikus yang pintar! Beliau tidak akan melepaskan peluang yang datang bergolek ke ribanya. Peluang untuk menonjolkan dirinya kepada rakyat PTM yang beliau sebagai seorang pemimpin yang dipilih rakyat sedia menemui ketua pengganas komunis demi kesejahteraan rakyat dan seterusnya mencapai kemerdekaan. Tunku akui bahawa:

I felt then I had to wrest the initiative from the MCP and its “Commissionaire of Violence”, and try to make my presence felt throughout the country as the people’s elected leader. But in those seven years of suffering there was one approach that had not been tried. “Why not,” I thought, “meet face to face? Have it out once and for all round a table. Then we would know just where we stand.” The direct approach, that was the answer. The Communists were always declaring they were fighting for Malaya’s independence. I would go and meet their leader, stress the fact in the public interest that my presence there was a Malaya’s elected leader of the people to gain independence from the British – in short, to give the lie to the MCP and Chin Peng’s assertion that it was he who was trying to liberate Malaya.10

British pada awalnya cuba melarang Tunku bertemu dengan Chin Peng kerana bimbang beliau akan tunduk terhadap tuntutan ketua komunis itu. Tanggapan mereka itu jauh tersasar apabila Tunku mempamerkan semangat anti-komunis. Tunku begitu berang apabila Chen Tien, wakil Chin Peng mengedar kenyataan akhbar semasa keluar dari hutan di Klian Intan, Perak pada 17 November 1955 untuk bertemu dengan wakil Tunku. Dalam sidang akhbar pada lewat malam 17 November 1955, Tunku mengingatkan Chin Peng:

…jika Komunis masih mengeluarkan kenyataan kepada akhbar dan terlibat dalam taktik propaganda seperti yang mereka lakukan kelmarin, saya tidak menemui Chin Peng atau sesiapa pun. Saya tidak pergi untuk berunding dengan atau melayan Chin Peng sebagai sama status dengan saya, saya pergi untuk menjelaskan amnesti. Saya akan dengar sekiranya dia mencadangkan sesuatu kepada saya dan saya akan mempertimbangkan. Saya mewakili Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan kami mempunyai sumber-sumber untuk menentang dan mengalahkan Komunis.11

Ketegasan Tunku terus menyerlah apabila komunis menyerang balai polis di Kea Farm, Cameron Highlands pada jam 2:00 pagi 20 November 1955. Serangan itu telah mengorbankan Konstabel Omar Mat Isa dan membunuh Chou Yin San, anggota ‘Home Guards’ yang juga seorang petani. Keesokan hari, 21 November 1955, Tunku mengumumkan bahawa “…kawasan- kawasan selamat dibatalkan mulai 1 Disember 1955.”12

Sikap anti-komunis ini mendapat perhatian British. Mereka penuh yakin bahawa Tunku tidak akan tunduk terhadap tuntutan Chin Peng semasa pertemuan itu nanti. Justeru, semasa persidangan Majlis Persidangan Persekutuan untuk pembentangan belanjawan pada 30 November 1955, Sir Donald MacGillivray selaku Pesuruhjaya Tinggi mengumumkan:

Saya, dengan ini, ingin menjelaskan bahawa kemajuan ke arah berkerajaan sendiri tidak akan tergugat walaupun Parti Komunis Malaya cuba membuktikan kesediaan mereka untuk berdamai atau peperangan berterusan.13

Apa signifikan pengumuman MacGillivray? Memang bermakna bagi rakyat PTM yang mahukan kemerdekaan. Kerana British sudah ketepikan syarat yang termaktub dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Bererti kemerdekaan akan diberi walaupun darurat masih belum berakhir!

Pengumuman itu juga membawa maksud Tunku tidak perlu pergi ke Baling untuk bertemu dengan Chin Peng. Mana mungkin Ketua Menteri berunding dengan ketua parti yang diharamkan. Berunding membawa maksud beliau mengiktiraf PKM. Tidak menghairankan bila beliau enggan menyediakan agenda pertemuan itu seperti yang dipinta oleh Chen Tien. Pemergian beliau ke Baling hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti. Noktah. Tetapi beliau tetap mahu bertemu dengan Chin Peng supaya rakyat dan dunia mengetahui objektif sebenar PKM.

Bagaimana pula pendirian Chin Peng? Dia tetap dengan pendiriannya. Kerajaan mesti mengiktiraf PKM, sama sekali tidak akan menyerah diri dan meletak senjata. Pertemuan Baling telah mempamer ketegasan Tunku dan Chin Peng. Tunku seorang nasionalis terserlah apabila beliau memakai baju Melayu sepanjang pertemuan tersebut. Beliau tidak ada sebab pun untuk bertolak ansur terhadap tuntutan Chin Peng. Keutamaan beliau ialah menentukan PTM mencapai kemerdekaan demi kesejahteraan rakyat. Malahan pada 1 Januari 1956 beliau dan rombongan akan bertolak ke Singapura sebelum berangkat ke London untuk berunding dengan British mengenai kemerdekaan. Sebaliknya keutamaan Chin Peng ialah demi maruah parti. Kepentingan parti mengatasi kesejahteraan rakyat! Kedegilan Chin Peng dirumuskan oleh David Marshall, Ketua Menteri Singapura yang turut terlibat:

Pada mereka, pergi jahanam dengan kebajikan rakyat – keutamaan adalah Parti Komunis. Mereka kata mereka tidak boleh membubarkan Parti Komunis dan tetap berada di Persekutuan Tanah Melayu. Kita nampaknya tidak bercakap dalam satu bahasa.14

Ketiadaan elemen bertolak ansur dirumuskan oleh Rashid Maidin yang turut menyertai delegasi Chin Peng merumuskan:

…bahawa itu bukanlah perundingan dalam erti kata sebenarnya. Berunding bererti berbincang untuk mencapai kata sepakat atau mencari jalan yang boleh dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak. Sebaliknya perundingan itu lebih bersifat menekan pihak kami dengan mengenakan bermacam-macam syarat seperti menyerah diri, tahanan dan soal siasat, mengharamkan parti kami dan lain-lain, tidak ada sebarang tolak ansur walau sedikit pun.15

Bukan Rashid Maidin sahaja yang beranggapan begitu. Chin Peng tersilap ‘baca’ Tunku. Dia sama sekali tidak menyangka bahawa Tunku begitu tegas pendiriannya. Pada hemat Chin Peng, Tunku akan tunduk terhadap tuntutannya kerana Tunku ‘terdesak’ untuk mendapatkan kemerdekaan. Kesilapan ini dijelaskan kepada Chin Peng oleh John Davis, pegawai yang tugas untuk mengiring delegasi PKM. Beliau mengingatkan Chin Peng bahawa dari awal lagi Tunku telah memberitahu tujuan utama pertemuan tersebut hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti. Itu sahaja. Sepatutnya Chin Peng berterima kasih kepada Tunku kerana sedia menemuinya walaupun Chin Peng dipihak yang kalah. Dia selaku setiausaha agung parti haram sebenarnya tidak ada kuasa tawar menawar untuk berunding dengan seorang Ketua Menteri yang dipilih oleh rakyat. Malahan pegawai ‘International Liaison Department’ yang bertanggungjawab menjaga keperluan PKM di China akui agak janggal apabila Tunku yang merupakan pihak menang, bersedia memenuhi permohonan PKM dipihak yang kalah untuk bertemu walaupun hanya untuk menjelaskan syarat-syarat amnesti.

Pertemuan Baling menyerlahkan objektif PKM. Tidak dinafikan PKM menentang penjajah British dengan laungan untuk memerdekakan PTM. Tetapi misi mereka terbantut apabila Tunku mendesak kepada British memberi amnesti. Amnesti menyerlahkan kepimpinan beliau sehingga British memansuh syarat untuk berkerajaan sendiri. Amnesti juga membawa kepada Pertemuan Baling yang kesannya menonjolkan objektif utama PKM.

31 Ogos 1957. Stadium Merdeka, Kuala Lumpur bergema apabila Tunku Abdul Rahman Putra dengan penuh semangat melaungkan:

“MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA..MERDEKA.”

PKM tidak lari dengan visi mereka untuk menjadikan negara tercinta ini sebagai negara berideologi komunis bukan sekadar mengusir British. Visi itu terus diburu selepas penubuhan Malaysia pada 16 September 1963. Mereka terpaksa terima kenyataan bahawa perjuangan mereka telah gagal. Ketaasuban itu mengakibatkan para gerila mereka menderita akibat sentiasa diburu oleh pasukan keselamatan. Dan negara terus maju walaupun berhadapan dengan ancaman komunis! Perjuangan mereka hanya berakhir apabila mereka bersetuju untuk ‘meletak’ senjata dengan termeterainya Perjanjian Damai yang di Hotel Lee Gardens, Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989. Apa jua istilah yang digunakan, rumusan Tun Dr Mahathir bin Mohamad, mantan Perdana Menteri dalam ‘Kata Pengantar’ buku ‘The Finest Hour: The Malaysian-MCP Peace Accord in Perspective’: “…Gerila komunis percaya mereka tidak boleh dikalahkan. Tetapi di Malaysia mereka kalah. (Guerrillas believe they can never be defeated. But in Malaysia they were.”)16

Sudah terang lagi bersuluh. Objektif PKM adalah untuk menjadikan negara sebuah komunis. Namun, masih terdapat golongan tertentu yang menobatkan perjuangan anggota parti itu sebagai wira kemerdekaan! Wira kemerdekaan?

Saya telah beri alasan saya mengapa istilah ‘Pertemuan’ bukan ‘Rundingan’ diguna. Terpulanglah kepada para pembaca untuk menilai istilah yang dipilih, wallahualam.

Nota: Buku ‘Liku-Liku Pertemuan Baling’ boleh dibeli di Shopee. Harga: RM37.00.

NOTA KAKI

1          Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. (2011). Looking Back. Petaling Jaya: MPH Group Publishing Sdn. Bhd. (Penerbit asal Pustaka Antara. [1977]).

2           Chin Peng. (2003). Chin Peng: My Side of History. Singapore: Media Masters.

3           United Nations. Lihat https://www.un.org/en/model-united-nations/fundamentals-negotiation.

4           Dr Cheah Boon Kheng. The Malayan Union and its impact. Malaysian Bar. Lihat https://www.malaysianbar. org.my/article/news/legal-and-general-news/general-news/the-malayan-union- and-its-impact.

5           History SG. Federation of Malaya is Inaugurated 1st Feb 1948. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/ history/events/72e9ebe6-7a0f-4512-aa48-3da99d598525.

6           ANM. Formation on the Federation of Malaya. Hari Ini Dalam Sejarah, 1 Februari 1948. Lihat http:// hids.arkib.gov.my/en/peristiwa/-/asset_publisher/WAhqbCYR9ww2/content/persekutuan-tanah- melayu-ditubuhkan/pop_up?101_INS TANCE_WA hqbCYR9ww2_viewMode=print.

7           ANM. The Federation of Malaya Agreement, 1948.

8           The Straits Times. THIS IS THE WAY—EDEN, 3 March 1955. Lihat https://eresources.nlb.gov.sg/ newspapers/Digitised/Article/straitstimes19550303-1.2.2

9           Australian Government: Department of Veterans’ Affairs. The Malayan Emergency 1948 to 1960. Lihat https://anzacportal.dva.gov.au/wars-and-missions/malayan-emergency-1948-1960.

10          Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. (2011). Looking Back.

11          Nor Ibrahim Sulaiman. (2021). Liku-Liku Pertemuan Baling. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

12         Ibid.

13          Ibid.

14          Ibid.

15          Rashid Maidin. (2005). Memoir Rashid Maidin. Petaling Jaya: SIRD.

16          Collin Abraham. (2006). The Finest Hour: The Malaysian-MCP Peace Accord in Perspective. Petaling Jaya: SIRD.

Xnuripilot

Mejar Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) merupakan seorang juruterbang helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri. Semenjak bersara sepenuhnya, beliau meluangkan masanya untuk menulis tentang pengalamannya dan rakan-rakan seperjuangannya semasa menghadapi ancaman komunis di Semenanjung Malaysia dari sudut kru Nuri. Di samping itu, minat beliau merangkumi sejarah tanah air tercinta ini.