KomunitiSejarah

Parti Komunis Malaya Dibubar?

Kongsi di

JULAI…Negara di ambang musim patriotisme – Ogos dan September. Bermula dengan ‘Hari Pahlawan’ pada 31 Julai 2022 nanti. Seperti amalan biasa, akan ada majlis sambutan Hari Pahlawan di Dataran Pahlawan, Putrajaya.

Tahun ini, 2022, penantian ketibaan musim itu disulami dengan tayangan filem “Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.” Pahlawan Melayu Pahang menentang penjajah Inggeris di abad 19 lagi. Tanpa diduga, ia mendapat sambutan di luar dugaan bagi sebuah filem genre sejarah.

Selepas 21 hari penayangannya, ia telah berjaya meraih RM71 juta.1 Penonjolan semangat patriotisme…satu fenomena!

Pada musim patriotisme rakyat akan disaji dengan filem dan laporan kisah-kisah pengorbanan anggota pasukan keselamatan menentang kedurjanaan pengganas komunis baik di Semenanjung mahu pun Sarawak.

Ancaman militan itu berakhir pada 2 Disember 1989 di Semenanjung sementara 17 Oktober 1990 di Sarawak.2

2 Disember 1989 begitu bersejarah bagi Semenanjung khususnya. Pada tarikh tersebut telah termeterai dua Perjanjian Damai di Hotel Lee Gardens, Hat Yai, Thailand pada jam 10:30 pagi (waktu Thai).

Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dan PKM dan Perjanjian Damai antara Kerajaan Thai dan PKM.

Dengan termeterainya perjanjian itu secara rasminya berakhir ancaman ketenteraan PKM terhadap Malaysia yang bermula semenjak tahun 1948 apabila British mengisytihar darurat.  

Mereka yang diberi penghormatan untuk menandatangani dokumen bersejarah itu bagi pihak Kerajaan Malaysia ialah Dato’ Sidek bin Wan Abdul Rahman (KSU KDN), Jeneral Tan Sri Hashim bin Mohd Ali (PAT) dan Tan Sri Haniff bin Omar (KPN).

PKM pula diwakili oleh Ong Boon Hua@Chin Peng (Setiausaha Agung), Abdullah C.D. (Pengerusi PKM) dan Rashid Maidin.

“Menamatkan Perjuangan Senjata”

Dalam ucapannya sebaik sahaja majlis menandatangani dokumen tersebut, Chin Peng mengumumkan mereka “…menamat perjuangan senjata” terhadap negara dan akan memusnahkan senjata.

Dia seterusnya berikrar bahawa: “…Sebagai warga negara Malaysia, kami berikrar akan taat setia pada Duli Yang Mulia Seri Paduka Yang diPertuan Agong dan negara.”3

Chin Peng mengukuhkan lagi pengumuman itu semasa sidang akhbar selepas majlis tersebut apabila dia mengulangi pendirian PKM bahawa “…mereka akan mematuhi perlembagaan dan undang-undang di Malaysia.”4

Bagaimana pula sama ada dia masih kekal berideologi komunisme? Memetik laporan akhbar ‘Berita Minggu’: “…Beliau juga mengiyakan dengan tegas apabila ditanya sama ada beliau masih menganggap dirinya berfahaman komunis Marxist-Leninist.”5

Ya, sememangnya dia penganut tegar ideologi komunis Marxist-Leninist.

Selain itu, Chin Peng cuba mengelak soalan yang diajukan sama ada PKM telah/akan dibubar. Jawapan dia tidak meyakinkan seperti yang dilapur oleh Berita Minggu apabila dia mengatakan: “Saya sudah jawab tadi, pengumuman bersama (pernyataan bersama) sudah menerangkan segala-galanya.”6

Masalahnya pengumuman itu tidak menyentuh mengenai status PKM dan ini dilapur oleh akhbar tersebut: “Sebenarnya perjanjian tiga pihak itu tidak menjelaskan kedudukan CPM.” Jawapan dia boleh dirumuskan bahawa PKM tidak dibubar dan masih wujud.

Ketegasan Chin Peng yang dia tetap berpendirian Marxist-Leninist dan PKM masih wujud mempertikaikan keikhlasan mereka.

Menyentuh kenyataan Chin Peng itu, SAC (B) Aloysius Chin, mantan Timbalan Pengarah Cawangan Khas, PDRM merumuskan: “…justeru, ini bererti bahawa dia dan partinya akan meneruskan objektif komunis (thus, implying that he and his party would continue to pursue communist objective.)”7

Ikrar Taat Setia

Bagaimana pula dengan kejujuran Setiausaha Agung PKM itu membabitkan ikrar ‘taat setia’ kepada DYMM SPD Agong dan ‘mematuhi perlembagaan dan undang-undang.’

Keraguan ini timbul kerana pendirian Chin Peng bercanggah sama sekali dengan ‘ideologi’ negara, iaitu Rukun Negara:

  • Kepercayaan kepada Tuhan.
  • Kesetiaan kepada Raja dan Negara.
  • Keluhuran Perlembagaan.
  • Kedaulatan Undang-Undang.
  • Kesopanan dan Kesusilaan.

Paling utama dan selari dengan prinsip pertama Rukun Negara – Kepercayaan Kepada Tuhan. Apakah pendirian komunis terhadap agama? Adakah mereka menganut atau percaya terhadap sebarang agama?

Persoalan ini dibangkitkan kerana menurut Karl Marx, Pelopor Komunisme mengatakan:

“Agama adalah reaksioner (ajaran usang dan penghalang kemajuan). Ia adalah alat penindas jiwa, ideologi untuk perhambaan golongan pekerja.

Jalan usaha untuk memperkuatkan kekuasaan golongan menindas. Agama merupakan candu bagi masyarakat.”8

Dalam kata mudah, komunisme tidak percaya kepada sebarang agama! Faktor penolakan agama inilah punca utama kegagalan PKM menarik majoriti orang Melayu menyertai pergerakan mereka menentang British dan kerajaan Malaysia.

Bagi mendapat sokongan Melayu, mereka telah menubuh Rejimen ke-10 di mana majoriti gerilanya terdiri daripada orang Melayu pada 21 Mei 1948 di kawasan Kerdau, Temerloh, Pahang.9

Gelaran ke-10 diberi sempena 10 Zulhijah, iaitu orang Islam meraikan Hari Raya Korban. Chin Peng bersetuju dengan gelaran itu kerana ia memberi konotasi bahawa ideologi komunisme selari dengan Islam.

Tetapi tidak setuju penggunaan songkok sebagai sebahagian daripada pakaian seragam gerila komunis. 10 Walau bagaimanapun, kewujudan Rejimen ke-10 masih gagal menarik sokongan orang Melayu. Orang Melayu tidak termakan umpan mereka.

Kepincangan ini telah dibincang dalam mesyuarat tertinggi PKM pada April 1952 sebelum Chin Peng dan para gerilanya berundur ke selatan Thailand.

“Kita Berjuang Menentang Islam”

Dalam analisisnya, Lee Aun Tong@Lau Lee yang mengetuai Biro Propaganda Pusat merumuskan:

“Kita berjuang menentang Islam dan sikap anti agama kita telah memarahkan orang-orang Melayu. Kita tidak akan mempengaruhi petani-petani Melayu untuk menyertai kita kerana sikap kita itu. Belum tiba masanya untuk kita menyemai 2 benih ideologi kita kepada orang-orang Melayu. Kita mesti cuba mempengaruhi orang-orang Melayu dengan cara yang lembut.”11

Bersandar kepada analisis itu dan doktrin komunisme, bererti jawapan Chin Peng bercanggah dengan prinsip pertama Rukun Negara.

Persoalannya, adakah PKM sedia menerima bahawa Islam adalah agama Persekutuan dan menjamin kebebasan beragama sebagai salah satu daripada tujuh ciri-ciri asas Perlembagaan Negara?12 Wallahualam (Hanya Allah yang lebih mengetahui kebenaran yang sesungguhnya).

Ya, mereka berikrar akan mematuhi undang-undang negara. Itu memang selari dengan Rukun Kelima. Mudah sahaja bagi membuktikan kejujuran mereka.

Bubar sahaja PKM yang telah diharam semenjak 1948 dan tidak pula berdaftar dengan Pendaftar Persatuan Malaysia. Adakah itu yang berlaku?  

Pengiktirafan PKM bukan isu baharu. Ia mula dibangkit oleh Chin Peng semasa pertemuannya dengan Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri, Persekutuan Tanah Melayu di Baling, Kedah Darulaman pada 28-29 Disember 1955.

Tunku dengan tegas tidak akan mengiktiraf parti yang telah diharamkan oleh British. Malah isu ini menjadi salah satu faktor kegagalan pertemuan tersebut.

Ketegasan Tunku Abdul Rahman itu mungkin merupakan salah satu punca Chin Peng menyatakan “Maaflah. No komen” apabila dilontar soalan sama ada dia berhasrat menemui Tunku Abdul Rahman.13

Mesyuarat Pertama Kerajaan Malaysia – PKM

Sebelum majlis di Hat Yai, isu ini telah dibincang dengan panjang lebar semasa mesyuarat pertama antara wakil Malaysia dengan PKM di Phuket, Thailand pada 2 Februari 1989.

Delegasi Malaysia diketuai oleh CP Dato’ Abdul Rahim bin Mohd Noor (Pengarah Cawangan Khas, PDRM) dengan wakil PKM yang diketuai oleh Chang Ling Yin. Mesyuarat dipengerusikan oleh Mej Jen Kitti Ratanachaya, Timbalan Komander Thai 4th Army, Selatan Thai.

Pada 1 Februari 1989, sehari sebelum mesyuarat itu, delegasi PKM telah kemukakan agenda mereka kepada delegasi Malaysia.

Dan pengiktirafan PKM merupa item kedua daripada 11 item dalam agenda itu: item pertama ialah penamatan permusuhan (Common desires to end hostilities).14

Alasan PKM tidak perlu dibubar dijelaskan oleh Zainon@Ah Yan (ahli politburo PKM) selaku utusan Chin Peng semasa mesyuarat kedua pada 15-17 Mac 1989 di Phuket.

Alasan dia ialah: “Hasrat untuk menamatkan peperangan dan sedia berunding secara aman seharusnya diterima sebagai kejujuran PKM dan justeru tiada keperluan untuk perisytiharan rasmi [pembubaran PKM].”15

Mereka mahu menjadikan politik sebagai platform dalam usaha meneruskan perjuangan demi mencapai objektif utama menjadikan negara tercinta ini berideologi komunisme.

Sebagai parti yang sah dari segi undang-undang, PKM layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum apabila diadakan nanti.

Perjuangan mereka tidak pernah pudar selagi objektif penubuhan parti itu pada 1930 tidak tercapai selari dengan ideologi dan falsafah politik Niccolò Machiavelli yang menekan “matlamat menghalalkan cara.”

Negara Tidak Boleh Iktiraf PKM

Dato’ Abdul Rahim menjelaskan negara tidak boleh iktiraf PKM bagi menghormati lebih separuh daripada rakyat beragama Islam dan mereka anti-komunis yang dianggap sebagai anti-agama. Selain itu, ramai rakyat yang masih belum ‘sembuh’ daripada kekejaman PKM.

Lagi pula, pengiktirafan akan memberi implikasi negatif terhadap kerajaan. Beliau menegaskan kerajaan tetap tidak iktiraf walaupun Parti Komunis Malaya dijenama semula sebagai ‘Parti Komunis Malaysia.’16

Walau bagaimanapun, Dato’ Abdul Rahim memberitahu delegasi PKM bahawa anggota parti yang telah menjalani proses yang dipersetujui untuk kembali ke Malaysia boleh bergiat dalam politik dan menubuh parti politik.

Beliau memberitahu mereka boleh menubuh parti yang berprinsip sosialis.

Namun demikian, beliau mengingatkan mereka bahawa Pendaftar Pertubuhan Malaysia akan menolak permohonan penubuhan parti sekiranya terdapat ideologi komunisme dalam draf perlembagaan parti itu.

Peringatan itu dipertikai oleh Rashid Maidin. Dia mengatakan Perlembagaan Malaysia tidak tercatat sekatan terhadap ideologi ‘Marxism.’

Bagi menjawab Rashid Maidin, DCP Dato’ Norian Mai (Timbalan Pengarah I, Cawangan Khas) menjelaskan Perlembagaan mencatat apa yang rakyat boleh lakukan tetapi ‘diam’ apa yang tidak boleh dilakukan.17

Pada mesyuarat sesi ketiga pada 11-13 Mei 1989, PKM memberitahu delegasi Malaysia, sebagai kompromi sementelah kerajaan menolak pengaktifan PKM, mereka mencadang untuk menubuh parti baharu yang dikenali sebagai Parti Buruh Sosialis Malaysia (PBSM) (Socialist Labour Party of Malaysia [SLPM]).

Tetapi prinsip parti itu tetap berpaksi kepada ideologi Marxism. Justifikasi mereka bersandarkan bahawa: Marxisme ialah falsafah untuk menganalisis keadaan sosial dalam masyarakat, tidak seperti Leninisme dan Pemikiran Moa Tse-Tung yang menyokong keganasan dan perjuangan bersenjata. Oleh itu, Marxisme, sebagai ideologi panduan SLPM sesuai dengan objektif yang diisytiharkan untuk berfungsi secara aman dalam kerangka Perlembagaan Malaysia.”18

Marxisme Tidak Boleh Diterima Rakyat

Setelah mendengar hujah di atas, sekali lagi delegasi Malaysia mengulangi bahawa Marxisme adalah ideologi yang begitu asing kepada rakyat Malaysia dan tidak boleh diterima. Rakyat akan beranggapan SLPM adalah sambungan kepada PKM.

Dan undang-undang Malaysia telah menetapkan hanya mereka yang bermastautin di negara ini boleh memohon untuk menubuh parti politik. Hujah delegasi negara mendapat perhatian serius delegasi PKM.19

Penjelasan delegasi Malaysia di atas membuahkan hasil. Pada mesyuarat sesi kelima di Phuket pada 12-14 November 1989, Wu Jit Shih, ketua delegasi PKM menyatakan bahawa PKM tidak akan mengguna ideologi Marxisme dalam perlembagaan parti itu nanti.

Mereka akur rakyat tidak boleh menerima ideologi itu. Dia seterusnya memohon supaya proses permohonan untuk menubuhkan SLPM dipercepatkan.20

Kesediaan menggugur perkataan Marxisme mendapat sambutan baik oleh delegasi Malaysia. Dato’ Rahim Noor dengan panjang lebar menjelaskan permohonan untuk menubuh parti politik perlu melalui prosedur yang telah ditetapkan.21

Kebiasaannya proses itu mengambil masa 6-12 bulan.22 Oleh yang demikian, beliau tidak boleh memberitahu secara spesifik bila parti itu akan diluluskan oleh Pendaftar Persatuan.

Delegasi Malaysia juga sedia berkompromi.

Dato’ Rahim Noor memberitahu delegasi PKM bahawa tuntutan kerajaan supaya klausa PKM dibubarkan dicatatkan dalam dokumen Perjanjian Damai itu nanti akan diketepikan.

Kerajaan mengambil kira dilema yang dihadapi oleh Chin Peng untuk menerangkan kepada anggota bersenjatanya. Malahan, pada 17 Mac 1989 lagi Dato’ Rahim Noor memberi dua opsyen kepada mereka.

Opsyen pertama ialah menubuh parti baharu selepas sembilan bulan setelah menandatangani Perjanjian Damai atau kedua, bubar PKM dan selepas sembilan bulan Perjanjian Damai ditandatangani, mereka menubuh parti baharu.23

Tidak Ada Klausa PKM Dibubarkan

Justeru di atas kesefahaman ini, dokumen Perjanjian Damai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 tidak terdapat klausa menyatakan PKM dibubar.

Setahu penulis, semenjak majlis di Hat Yai 32 tahun lalu sehingga sekarang, 2022, tidak terdengar kewujudan Parti Buruh Sosialis Malaysia (PBSM)/Socialist Labour Party of Malaysia (SLPM).

Persoalannya, tanpa penubuhan parti PBSM/ SLPM adakah PKM masih wujud? Akhbar ‘Bangkok Post’ mengguna istilah “now-defunct Communist Party of Malaya (CPM)24 yang membawa erti PKM sudah tidak wujud lagi atau tidak aktif!

Tetapi bagi C. C. Chin jawapannya: ‘Tidak.’ Dalam artikelnya – In Search of the Revolution: A Brief Biography of Chin Peng – beliau menulis: “Dengan termeterainya perjanjian itu [Perjanjian Damai], insurgensi secara rasmi telah berakhir. Tetapi Parti [PKM] tidak dibubar, dan Chin Peng masih perlu menjalankan tugas sebagai Setiausaha Agung Parti. (With that agreement, the insurgency is now officially over. But the Party has not been disbanded, and Chin Peng still has to carry out his duties as the Secretary General of the Party.)”25

Masih aktif? Wallahualam (Hanya Allah yang lebih mengetahui kebenaran yang sesungguhnya). Dan Chin Peng akui bahawa: “Saya masih seorang sosialis.”26

Gambar

Dokumen Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dan PKM yang ditandatangani di Hotel Lee Gardens, Hat Yai pada 2 Disember 1989. Sumber: Jen Tun Hashim bin Mohd Ali (Bersara)

Foto utama: Majlis menandatangani Perjanjian Damai antara Kerajaan Malaysia dan PKM di Hotel Lee Gardens, Hat Yai, Thailand pada 2 Disember 1989. Sumber: Jabatan Penerangan Malaysia

Rujukan

1 Berita Harian, Selepas 21 hari, Mat Kilau raih RM71 juta, 12 Julai 2022. Lihat https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti /2022/07/975534/selepas-21-hari-mat-kilau-raih-rm71-juta.

2 James Ritchie. (2011). Crimson Tide Over Borneo. Kuching: Bekas Persatuan Polis Malaysia, hlm. 318. Perjanjian Damai pertama antara Kerajaan Malaysia dan PARAKU berlaku ditandatangani Simanggang, Sarawak pada 21 Oktober 1973. Kerajaan diwakili oleh Datuk Patinggi Abdul Rahman bin Ya’kub, Ketua Menteri Sarawak, dan Bong Kee Chok mewakili Biro Ke-2 PARAKU. Ancaman PARAKU berakhir apabila termeterai Perjanjian Damai antara Kerajaan yang diwakili oleh Tan Sri Mohamad Bujang Nor (Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak), Mej Jen Dato’ Abdul Manaf bin Ibrahim (GOC) dan T/PJP Datuk Ghazali Yakub (Pesuruhjaya Polis Sarawak) di Kuching, Sarawak pada 17 Oktober 1990. PARAKU diwakili oleh Hung Chu Ting dan Wong Lian Kui. Mereka mewakili 52 saki baki anggota PARAKU.

3 Berita Minggu, Chin Peng belum putuskan hendak ke mana, 3 Disember 1989.

4 Ibid.

5 Ibid.

6 Ibid.

7 Aloysius Chin. (1995). The Communist Party of Malaya: The Inside Story. Kuala Lumpur: Vinpress, hlm. 247.

8 Kamal Nazarbayev, Kedudukan Agama Pada Pandangan Marxisme-Komunisme, The Patriots, 3 Mei 2020. Lihat https://www.thepatriots.asia/?_gl=1%2A1596k3c%2A_ga%2AUm5xRkhwaVBJUVM3Wkw3M2QyRlJLcG1feGNIbUo2d2g4aXZnRGdoNkRBelVKNnhsYVpUSEJuSUw5ejhWRGsxSQ.

9 Suriani Abdullah. (1999). Rejimen Ke-10 Dan Kemerdekaan. Hong Kong: Nan Dao Publisher, hlm. 41. Suriani Abdullah merupakan isteri kepada Abdullah C.D.

10 Lamry Mohamed Salleh, A History of the Tenth Regiment’s Struggles, Inter-Asia Cultural Studies, Vol. 16, 24 Mac 2015, Routledge, hlm. 46. Lihat https://doi.org/10.1080/14649373.2015. 1008201.

11 ANM. Majlis Pengkisahan Sejarah Rundingan Baling 28-29 Disember 1955 sempena sambutan Kemerdekaan 2004 tanpa catatan lokasi dan tarikh. Skrip asal oleh Tan Sri Dato’ Hj. Shafie Abdullah, Setiausaha Peribadi YTM Tunku Abdul Rahman; dan Miller, Harry. (1972). Jungle War in Malaya. London: Arthur Barker Ltd., hlm. 119

12 Haji Zainul Rijal Abu Bakar, AlQuran dan Masyarakat: Undang-undang. Pengerusi, Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia Lihat https://mufti.penang.gov.my/ index.php/2014-11-12-02-48-39/kertas-kerja-seminar/kuliah-umum/89-al-quran-masyarakat/file.

13 Berita Minggu, Chin Peng belum putuskan hendak ke mana, 3 Disember 1989.

14 General Dato’ Kitti Ratanachaya. (1996). The Communist Party of Malaya, Malaysia and Thailand. Bangkok: Duangkaew Publishing House, hlm.

15 Ibid, hlm. 103.

16 Ibid, hlm. 77.

17 Ibid, hlm. 138.

18 Ibid, hlm. 185-186.

19 Ibid, hlm. 186.

20 Ibid, hlm. 255.

21 Ibid, hlm. 255. 14

22 Ibid, hlm. 136.

23 Ibid, hlm. 147.

24 Achara Ashayagachat, Bangkok Post, Former insurgents celebrate 25 years of peace, 4 Disember 2014. Lihat https://www. bangkokpost.com/thailand/general/447082/former-insurgents-celeb rate-25-years-of-peace.

25 C. C. Chin, In Search of the Revolution: A Brief Biography of Chin Peng, dalam Chin & Hack (editors). (2004). Dialogues with Chin Peng: New Light on the Malayan Communist Party. Singapore: Singapore University Press, hlm. 371.

26 Ian Ward & Norma Miraflor. (2003). Alias Chin Peng: Chin Peng – My Side of History. Singapore: Media Master, hlm. 514. Ching Peng meninggal dunia di Bangkok pada 16 September 2013.  

 

 

Xnuripilot

Mejar Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) merupakan seorang juruterbang helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri. Semenjak bersara sepenuhnya, beliau meluangkan masanya untuk menulis tentang pengalamannya dan rakan-rakan seperjuangannya semasa menghadapi ancaman komunis di Semenanjung Malaysia dari sudut kru Nuri. Di samping itu, minat beliau merangkumi sejarah tanah air tercinta ini.

Xnuripilot

Mejar Dr Nor Ibrahim bin Sulaiman PTU TUDM (B) merupakan seorang juruterbang helikopter Sikorsky S61A-4 Nuri. Semenjak bersara sepenuhnya, beliau meluangkan masanya untuk menulis tentang pengalamannya dan rakan-rakan seperjuangannya semasa menghadapi ancaman komunis di Semenanjung Malaysia dari sudut kru Nuri. Di samping itu, minat beliau merangkumi sejarah tanah air tercinta ini.