BeritaEksklusifKomunitiSejarah

Konflik Ukraine – Rusia dan Kesan ke atas Malaysia

Kongsi di

Peperangan antara Ukraine dan Rusia bakal memasuki tahun kedua dalam tempoh masa dua minggu daripada tarikh rencana ini ditulis. 

Dalam tempoh masa rencana ini ditulis, pelbagai retorik, polemik, serta propaganda telah dihidangkan oleh kedua-dua pihak bertelagah dalam usaha masing-masing untuk mengukuhkan kedudukan mereka di pentas antarabangsa.

Malaysia sebagai salah sebuah negara di dunia yang menjadi anggota kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berserta pernah menjadi anggota Majlis Keselamatan pertubuhan berkenaan tidak lari daripada tempias peperangan tersebut, tidak kira sama ada kita memilih untuk kekal sebagai negara berkecuali dalam hal ini. 

Untuk rencana kali ini, kita akan cuba melihat kesan peperangan ini terhadap negara kita. 

Skop untuk rencana akan mengecualikan kesan peperangan ini ke atas ekonomi Malaysia yang turut menerima tempias tindakan Rusia dalam melemahkan matawang dollar Amerika Syarikat untuk melemahkan Amerika Syarikat yang beriya-iya menyokong Ukraine dalam peperangan ini. 

Kesan ke atas Kes Antarabangsa Penembakan MH17

Kita mulakan dengan kesan ke atas kes penembakan pesawat Penerbangan Malaysia MH17 di ruang udara Ukraine pada tahun 2014. 

Kes tersebut menyaksikan masyarakat antarabangsa menerimapakai tuduhan Ukraine bahawa penembakan pesawat tersebut telah dilakukan oleh pihak pemisah di wilayah timur Ukraine menggunakan sistem peluru anti-pesawat era Soviet jenis BUK M1. 

Angkatan Tentera Ukraine turut menggunakan sistem yang sama dan turut beroperasi di kawasan yang sama. 

Sesetengah pihak beranggapan bahawa sistem kehakiman yang digunakan untuk mengadili kes ini, iaitu Belanda bersifat berat sebelah terhadap Rusia dengan menerimapakai naratif yang dibawa oleh Ukraine tanpa memberi peluang kepada Rusia serta puak pemisah. 

Pada masa sama, kegagalan pihak Ukraine berserta ICAO (International Civil Aviation Organisation) dalam memastikan ruangan udara di atas medan tempur antara Ukraine dengan puah pemisah yang disokong Rusia itu tidak pula diulas.

Tindakan ini dan naratif ini secara tidak langsung gagal mengambilkira keperluan untuk keadilan kepada mangsa-mangsa korban pesawat malang berkenaan berserta waris-waris mereka, apabila kes mereka secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada naratif yang digunakan untuk memberikan justifikasi kepada perang antara Ukraine dan Rusia.

Tindakan Rusia Mengumumkan Kemasukan Donetsk, Luhansk, Kherson, dan Zaporizhzhia ke dalam Rusia

Pada 30 September 2022, Rusia telah mengumumkan keputusan referendum yang dilaksanakan oleh Rusia di wilayah-wilayah Ukraine yang telah ditawan sama ada mereka bersetuju untuk menyertai Rusia atau sebaliknya. 

Referendum yang dilaksanakan oleh tentera negara berkenaan tanpa pemerhati bebas telah dilihat sebagai tindakan yang menyalahi undang-undang antarabangsa di mana Rusia bukan sahaja telah melanggar kedaulatan Ukraine, malahan telah mengambil alih wilayah berkenaan secara paksa. 

Walaupun keputusan referendum yang dibuat itu menyebelahi Rusia, tidak boleh dinafikan bahawa tanpa pemerhati bebas berserta kehadiran tentera Rusia bersenjata itu rata-rata dilihat menakutkan penduduk tempatan yang anti-Rusia daripada mengundi menentang referendum berkenaan. 

Naratif ini menjadi kukuh apabila tentera Ukraine telah disambut sebagai pembebas apabila Tentera Rusia terpaksa berundur daripada wilayah Kherson. 

Tindakan Rusia merampas wilayah-wilayah tersebut daripada Ukraine serta mengiktiraf wilayah-wilayah berkenaan sebagai sebahagian daripada Rusia memberi implikasi paling negatif kepada kestabilan hubungan diplomatik antarabangsa. 

Sekiranya penguasaan Rusia ke atas wilayah-wilayah berkenaan diiktiraf, ini bermakna tindakan merampas wilayah negara lain dan mengambil-alih sebagai wilayah sendiri ini boleh digunakan oleh mana-mana negara lain sebagai alasan untuk mengambil alih negara lain.

Pengambil-alihan wilayah-wilayah berkenaan oleh Rusia bukanlah kali pertama mereka mengambil-alih wilayah Ukraine secara paksa.  Wilayah Crimea turut dirampas oleh Rusia dalam perang 2014 menggunakan kaedah sama. 

Kaedah Rusia ini memberi kesan paling negatif ke atas Malaysia. 

Kaedah ini pernah digunakan oleh Indonesia bagi menghalalkan tindakan mereka ke atas Malaysia dalam kempen Ganyang Malaysia, serta oleh Filipina dalam OPLAN MERDEKA mereka untuk cuba merampas Sabah ketika era Presiden Ferdinand Marcos.

Kesan ke atas Keupayaan Britain Memberi Bantuan kepada Malaysia dalam Konteks Five Power Defence Agreements (FPDA)

Salah satu jaminan oleh Britain kepada Malaysia dan Singapura selepas negara berkenaan berundur dari Timur Jauh adalah perjanjian pertahanan bersama sekiranya Malaysia dan Singapura berhadapan perang terhadap kuasa luar. 

Jaminan ini dibuat kerana penguasaan Mesir ke atas Terusan Suez menyukarkan negara berkenaan untuk menghantar bantuaan kepada Malaysia dan Singapura sekiranya berlaku perang.  Perjanjian tersebut turut dianggotai oleh Australia dan New Zealand. 

Namun, geopolitik serantau telah menyaksikan Angkatan Tentera New Zealand hari ini lebih bersifat sebagai sebuah angkatan tentera yang berorientasikan pertahanan semata-mata.  Khususnya selepas Tentera Udara negara berkenaan tidak lagi mengoperasikan aset jet tempur. 

Ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada Australia untuk meluaskan skop kawalan ke atas New Zealand. 

Perang Ukraine – Rusia sekali lagi mengubah arus geopolitik antarabangsa.  Hari ini, Britain dilihat menjadi salah satu penggerak utama kepada usaha untuk melengkapkan Tentera Ukraine untuk menentang Rusia. 

Malah, usaha Ukraine untuk memperoleh kereta kebal utama hanya membuahkan hasil apabila Britain bersetuju menderma kereta kebal jenis Challenger II kepada Ukraine, sekaligus memaksa Amerika Syarikat untuk menderma kereta kebal Abrams serta Jerman dengan kereta kebal Leopard II mereka. 

Keputusan Britain ini memberi kesan ke atas keupayaan Britain kerana kereta kebal Challenger II tidak lagi dalam pembuatan serta Perbendaharaan United Kingdom telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan menambahkan peruntukan kepada Tentera British. 

Ini secara tidak langsung melemahkan keupayaan negara berkenaan untuk menunaikan perjanjian dengan Malaysia dan Singapura dalam konteks FPDA. 

Malah, Malaysia berkemungkinan menghadapi risiko mengalami nasib sama seperti Poland yang gagal menerima bantuan ketenteraan yang dijanjikan oleh Britain dan Perancis setelah diancam oleh Jerman.  

Pasukan keselamatan Ukraine dalam satu latihan di sempadan Ukraine – Belarus. Sumber: Voice of America

Kesukaran Malaysia untuk Kekal Berkecuali

Setelah tamat Konfrontrasi antara Malaysia dan Indonesia, Malaysia membuat keputusan untuk menjadi sebuah negara berkecuali dan telah turut menyertai pergerakan negara-negara berkecuali (NAM – Non-Aligned Movement). 

Namun, disebabkan oleh usaha globalisasi dalam tempoh dua dekad sebelum ini, Malaysia berhadapan kesukaran untuk mengekalkan pendirian sebagai sebuah negara berkecuali. 

Ini jelas kelihatan khususnya dalam sektor kewangan di mana Malaysia sebagai salah sebuah negara yang mempunyai undang-undang anti-penggubalan wang haram dan merupakan antara negara yang menerimapakai cadangan daripada Financial Action Task Force (FATF) terikat dengan rejim undang-undang dan peraturan yang ditetapkan badan berkenaan. 

Malah, sektor kewangan Malaysia perlu menerima dan melaksanakan sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu mereka ke atas Rusia. 

Untuk pemahaman lebih lanjut isu ini, para pembaca boleh merujuk kembali rencana bertajuk “Undang-Undang Anti-Penggubahan Wang Haram – Pedang Bermata Dua” yang diterbitkan oleh Perajurit pada 22 September 2022 lalu (https://perajurit.com/2022/09/undang-undang-anti-penggubahan-wang-haram-pedang-bermata-dua/ ). 

Perlaksanaan sekatan-sekatan yang dikenakan Barat, khususnya oleh Office of Foreign Assets Comptroller (OFAC) memungkinkan negara dikenakan tindakan sekatan juga oleh barat. 

Malahan, kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Rusia dalam mempertingkatkan bekalan makanan baru-baru ini boleh menjadikan kerajaan Malaysia sendiri dikenakan tindakan sekatan sekiranya dianggap melanggar sekatan yang dikenakan oleh Barat ini.

Kesukaran yang dihadapi Malaysia ini juga turut dirasai negara-negara lain yang turut melaksanakan peraturan yang ditetapkan oleh FATF. 

Terlalu Awal untuk Keamanan

Penghujung kepada perang antara Rusia dan Ukraine masih lagi samar-samar. Malahan, Rusia dikatakan bakal melancarkan semula gerakan ofensif terhadap kedudukan Ukraine dalam tempoh masa terdekat. 

Secara tak langsung, ini bermakna perang ini berkemungkinan boleh merebak ke kawasan-kawasan lain di seluruh dunia.

Serangan oleh pihak yang belum dikenalpasti ke atas beberapa infrastruktur yang dikaitkan dengan ketenteraan di Iran baru-baru ini antara kejadian yang dilihat berpotensi mempunyai kaitan dengan perang antara Ukraine dan Rusia. 

Dalam serangan menggunakan dron itu, pihak Iran dikatakan telah berjaya mematikan beberapa dron tanpa meletup dengan menggunakan jejaring yang dipasangkan di atas infrastruktur tersebut. 

Sesetengah pihak mengenalpasti infrastruktur yang diserang itu adalah kilang-kilang yang terlibat dalam membina pesawat dron jenis Shahed 136 yang telah dibekalkan kepada Rusia untuk kegunaan negara tersebut di Ukraine. 

Manakala dron yang digunakan untuk menyerang Iran adalah daripada jenis Lanius buatan Israel. 

Pihak Iran dikatakan telah mengambil langkah untuk mengenalpasti lokasi di dalam Rusia yang sesuai bagi membina kilang untuk membuat dron-dron baru untuk mengelakkan serangan baru.

Dengan keadaan tidak menentu ini yang memungkinkan keadaan bertambah buruk, kerajaan Malaysia seharusnya mengambil maklum perkembangan terkini dalam memastikan bahawa negara kita sendiri tidak terjebak dalam konflik ini sekiranya sudah merebak nanti. 

Foto utama: Pasukan keselamatan Ukraine dalam satu latihan di sempadan Ukraine – Belarus. Sumber: Voice of America

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.