EksklusifSejarah

PERANAN DAN SEJARAH BADAN PERISIKAN LUAR SINGAPURA

Kongsi di
Isaak Zulkarnaen

Isaak Zulkarnaen telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan sejak pertengahan 1990an dan hasil penulisannya dijadikan rujukan dalam beberapa penulisan akademik lain.

Peranan agensi perisikan sesebuah negara penting dalam melaksanakan tugas menjaga kepentingan negara dalam apa bentuk ancaman sama ada dalam atau dari luar negara. Sebagai salah satu negara yang maju, Singapura juga mempunyai agensi perisikan dan keselamatan yang mempunyai peranan yang sama.

Dalam kes-kes keselamatan dalam negeri, agensi yang paling menonjol adalah Internal Security Department (ISD) yang berada di bawah Kementerian Dalam Negeri Singapura. Kes penangkapan yang dilaporkan dalam media khususnya penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (Internal Security Act – ISA) dilakukan oleh ISD. Antara kes yang menonjol seperti penahanan Mas Selamat Kastari seorang anggota Jemaah Islamiyah (JI) yang dilaksanakan oleh ISD.

Namun begitu, sebagai salah sebuah negara kecil dan mempunyai doktrin pertahanan hadapan yang baik, Singapura juga mempunyai agensi perisikan dan keselamatan yang khusus untuk perisikan luar negara. Berdasarkan rekod awam, agensi tersebut dinamakan sebagai Security and Inteligence Division (SID) yang berada di bawah Kementerian Pertahanan Singapura. SID boleh dikategorikan sebagai agensi yang hampir sama dengan peranan agensi perisikan luar seperti Central Intelingece Agency (CIA), Amerika Syarikat;  HaMossad leModi’in ule Tafkidim Meyuhadim (MOSSAD), Israel; The Secret Inteligence Service (MI6), United Kingdom dan Sluzbha Vneshney Razvedki (SVR), Rusia. 

Berdasarkan laman sawang SID (www.sid.gov.sg), SID telah ditubuhkan pada tahun 1966 yang bertujuan melindungi Singapura daripada ancaman luar. Pada peringkat awal SID ditubuhkan dan beroperasi di bawah Kementerian Dalam Negeri dan Pertahanan Singapura, sebagai agensi perisikan luar. Namun kini SID diletakkan di bawah Kementerian Pertahanan Singapura. Menurut S.R Nathan, walaupun SID berada di bawah Kementerian Pertahanan, SID ketika beliau menjadi Pengarah SID adalah bertaraf Setiausaha Tetap dan mempunyai autonomi sendiri untuk beroperasi.

Dalam laman sawang SID juga ia menyatakan SID berperanan mengemukakan maklumat yang relevan, tepat dan mengikut masa mengenai maklumat perisikan dan penilaian kepada Kerajaan Singapura, agensi kerajaan dan pembuat dasar. SID turut menyumbang kepada perbincangan mengenai isu strategik, analisa perkembangan globaL yang boleh memberi kesan kepada keselamatan dan kepentingan Singapura. Antara isu yang diberi perhatian adalah terorisme, keselamatan siber, ancaman transnational dan geo politik.

Antara pegawai dan tokoh dari SID yang pernah dilaporkan dalam rekod awam adalah S. R Nathan mantan Presiden Singapura; Choi Shing Kwok, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS) – Yusof Ishak Institute; Eddie Teo Chan Seng, Pengerusi Majlis Presiden (Council of Presidential); Joseph Leong  Weng Keong,  Setiausaha Tetap (Komunikasi dan Maklumat) dan Setiausaha Tetap (Keselamatan Siber) Pejabat Perdana Menteri. Seorang lagi mantan Pengarah SID yang berada dalam posisi penting Kerajaan Singapura adalah Chee Wee Kiong, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura (Berpencen pada 1 April 2022).

Berdasarkan latarbelakang personaliti yang di atas, kebanyakan mereka mempunyai latar pendidikan yang baik di universiti terkemuka dunia dan mempunyai pengalaman menjadi pegawai kanan tentera Singapura. Selepas berkhidmat sebagai Pengarah SID, kebanyakan daripada personaliti ini telah diberi peluang memimpin jabatan strategik dalam Kerajaan Singapura seperti dalam bidang keselamatan dan hubungan luar negeri. R.S Nathan antara Pengarah SID yang latarbelakang awam tidak sebagaimana Pengarah SID yang lain pernah menjadi Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura dan pernah menjadi Duta Besar Singapura ke Malaysia dan Amerika Syarikat serta terakhir terpilih menjadi Presiden Singapura.

Dalam satu artikel di dalam Ethos, January 2006 : “Reflections on Thirty-Five Years of Public Service: From Espionage to Babies” yang merupakan sebahagian ucapan perpisahan Eddie Teo, salah seorang mantan Pengarah SID di Kolej Perkhidmatan Awam (Civil Service College), Singapura pada November 2005, beliau telah menyentuh pengalaman bertugas di SID antara lain menyatakan:

              Working in SID taught me many things. First, that people are not always what they seem to be. At cocktail parties and during negotiations, people sometimes lie, tell half-truths, float trial balloons and pass a line.

              Second, that personal friendships with foreign officials are useful to smoothen interactions but national interests always transcend sentiments, goodwill and friendship. By all means play golf, socialise and build ties with foreign officials, but never forget that the purpose for you (as well as for them) is to further the national interest. If the political winds change, personal friendship will mean nothing.

              Third, that every intelligence operation involves risk-taking. You have to ask if the intelligence requirement is of strategic importance to Singapore before you push an agent or an officer to take that extra risk.

              Finally, intelligence requires integrity. You have to tell your political masters the truth, no matter how unpleasant and unacceptable they may find it. You have to be fair to your agents and take care of them and their families if they are caught.

Hubungan Luar Negeri

R.S Nathan dalam memoir beliau (An Expected Journey Path to The Presidency) ada menyentuh pengalaman peribadi berinteraksi dengan badan perisikan luar dengan mengikuti Annual Meeting ASEAN Inteligence Chief dan pertama kali bertemu dengan Tan Sri Ahmad Yusoff, Ketua Pengarah MEIO dari Malaysia. Nathan juga menyatkan kepentingan hubungan antara badan perisikan yang berkomunikasi diluar saluran diplomatik biasa. SID mendapat manfaat daripada jalur perisikan ini dari British, Australia, Amerika  dan ada waktunya dengan Indonesia . Jaringan dengan Filipina, Thailand dan juga Burma (Myanmar) juga membantu. Sewaktu mengetuai SID, Nathan menyatakan SID tidak mempunyai hubungan dengan Malaysia External Intelligence Organisation (MEIO), tapi berhubung melalui dengan Cawangan Khas PDRM melalui ISD.

Penubuhan ETC

SID juga terlibat dalam pembentukan salah satu institusi penting Singapura dalam bidang teknologi. Pada tahun 1970-1971, menurut S.R Nathan dalam pertemuan/taklimat mingguan pada setiap hari Sabtu beliau sebagai Pengarah SID dengan Dr Goh Keng Swee, Menteri Pertahanan, telah timbul idea penubuhan Electronics Test Centre (ETC) yang memberi fokus kepada Electronics Warfare (EW) dan Electronic Counter-Measures (ECM). ETC yang merupakan nama selindung pada peringkat awal diletakkan di bawah SID bagi memastikan projek perintis yang dikenali sebagai Project Magpie ini dilindungi kerahsiaannya. Dr Goh mahukan Singapura mempunyai kelebihan dari segi teknologi khususnya berkaitan dengan pertahanan dan keselamatan.

Pejabat pertama ETC adalah di kawasan Pusat Tahanan Polis di Jalan Onraet dan berpindah ke bangunan baru di Bukit Marina pada tahun 1976 dan kemudian pada tahun 1977, ETC bertukar nama menjadi Defence Science Organisation (DSO) dan pada tahun 1997 dikenali sebagai DSO National Laboratories. ETC peringkat awal diketuai oleh Dr Tay Eng Soon, ahli akademik dalam bidang nuklear fizik yang telah dipilih langsung oleh Dr Goh Keng Swee. Dr Tay Eng Soon memimpin ETC sehingga beliau mula berkecimpung dalam politik pada tahun 1980.

Kini DSO National Laboratories semakin berkembang dengan pelbagai bidang teknologi dan Pengerusi Lembaga Pengarah badan ini kini diketuai oleh Joseph Leong  Weng Keong yang juga mantan Pengarah SID.

Penutup

Peranan dan fungsi badan perisikan luar seperti SID penting dalam menjaga kepentingan strategik Singapura khususnya di rantau ini. Sebagai sebuah negara yang kecil dikelilingi oleh Kepulauan Melayu dan mempunyai sumber alam yang terhad, aktiviti pertahanan hadapan atau beroperasi melangkaui sempadan fizikal negara adalah penting dalam memastikan kepentingan Singapura sama ada dalam kepentingan politik, ekonomi, pertahanan dan keselamatan terus terpelihara.

Antara keutamaan yang diberikan oleh Kerajaan Singapura adalah pembangunan sumber manusia yang dimulakan dengan mendapatkan bakat terbaik untuk agensi seperti ini. Pengenalan laman sawang baru SID juga salah satu usaha membuka lebih banyak pintu untuk mendapatkan bakat terbaik untuk karier bersama SID. Usaha mendapatkan bakat terbaik dilakukan dari peringkat awal agar agensi perisikan luar Singapura ini benar-benar berkesan dalam melaksanakan kepentingan Singapura.

Selain itu, peranan strategik yang diberikan kepada mantan-mantan Pengarah SID dalam pelbagai bidang penting dalam kerajaan Singapura juga menunjukkan kebanyakkan pemimpin utama jabatan kerajaan yang kritikal diketuai oleh pegawai kanan kerajaan yang mempunyai pengalaman dalam bidang perisikan. Malah badan pemikir seperti ISEAS-Yusof Ishak antara yang berpengaruh di rantau ini juga turut dipimpin oleh Choi Shing Kwok, mantan Pengarah SID sekaligus membayangkan orientasi berfikir agensi strategik kerajaan Singapura dalam menempatkan bekas pegawai perisikan dalam institusi yang penting di Singapura.

RUJUKAN

http://app.psd.gov.sg/data/Press%20release%20-%20Appointment%20of%20HCS%20and%20PS.pdf

https://web.archive.org/web/20120616232513/http://app.psd.gov.sg/data/Changes%20to%20Permanent%20Secretary%20Appointments%20-%201%20Jun.pdf

https://www.businesstimes.com.sg/government-economy/govtech-appoints-joseph-leong-as-new-chairman

http://www.dso.org.sg/home/publications/comm/3-Creation.pdf

https://www.cscollege.gov.sg/Knowledge/Ethos/Issue%204%20Oct%202005/Pages/03Reflection.pdf

https://www.reuters.com/article/uk-malaysia-singapore-spying-idUKBRE9AP03R20131126

https://www.channelnewsasia.com/singapore/public-service-division-announces-new-permanent-secretary-appointments-retirements-apr-1-2519456

https://govinsider.asia/future-of-work/the-future-of-robotics-in-government-uipath/

https://www.straitstimes.com/singapore/singaporeans-trust-in-the-govt-key-to-handling-of-covid-19-crisis-pm-lee

https://www.pmo.gov.sg/Newsroom/PM-Lee-Hsien-Loong-at-the-Administrative-Service-Appointment-and-Promotion-Ceremony-2022

Isaak Zulkarnaen

Isaak Zulkarnaen telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan sejak pertengahan 1990an dan hasil penulisannya dijadikan rujukan dalam beberapa penulisan akademik lain.