EksklusifWawancara

WAWANCARA BERSAMA KETUA PENGARAH SIBER DAN ELEKTROMAGNETIK PERTAHANAN, LAKSAMANA MUDA DATO’ SHAMSUDDIN LUDIN TLDM

Kongsi di

Domain siber dan elektromagnetik merupakan domain penting dalam medan peperangan moden. Ini dapat dilihat antaranya dalam serangan ke atas loji kuasa nuklear Natanz di Iran pada 2007 hingga 2010 (OP OLYMPIC GAMES) menggunakan Stuxnet, serangan ke atas loji kuasa nuklear di Syria pada 6 September 2007 (OP ORCHARD) menggunakan Suter oleh pihak Israel, serangan ke atas infrastruktur Estonia (2007), Georgia (2008 and 2019) dan Ukraine (2014 hingga sekarang) oleh pihak Rusia, dan espionaj ekonomik oleh pelbagai pihak termasuk Korea Utara dan China.

Malah Malaysia juga tidak terkecuali daripada serangan siber dari pelbagai pihak termasuk pihak bukan negara (non-state actors) terutama semasa Tempoh Ketegangan (Period of Tension) dengan negara-negara jiran.

Perajurit berkesempatan mewawancara Ketua Pengarah, Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP), Laksamana Muda Dato’ Shamsuddin Ludin TLDM untuk mengetahui perkembangan terkini BSEP.

Perajurit: Boleh Dato’ ceritakan sejarah ringkas BSEP serta visi dan misi BSEP?

Laksamana Muda Dato’ Shamsuddin Ludin TLDM: Peningkatan ancaman di alam maya yakni cyber serta peningkatan komunikasi nirwayar memperlihatkan terdapat keperluan mewujudkan satu organisasi yang bersifat cyber-centric yang memerlukan tenaga pakar dalam menangani ancaman di dalam sebuah domain peperangan yang baru iaitu domain siber dan elektromagnetik.

Justeru melalui resolusi Retreat Markas Angkatan Tentera Malaysia (MK ATM) pada 15 Januari 2019 mengarahkan MK ATM – KOMLEK mengkaji dan membentangkan konsep penubuhan pemerintahan siber dan elektromagnetik.

Setelah beberapa siri pembentangan, cadangan penubuhan BSEP telah mendapat sokongan dari kepimpinan tertinggi ATM berdasarkan peranan, tugas dan tanggungjawab yang dilaksanakan pada masa kini selain memenuhi saluran pemerintahan yang lebih sistematik mengikut hierarki organisasi.

Penubuhan BSEP telah diperakui dan disenaraikan sebagai salah satu inisiatif Menteri Pertahanan (MENHAN) untuk memenuhi Key Performance Indicator (KPI) Kementerian Pertahanan

Penubuhan BSEP ini adalah bertepatan dengan peningkatan cabaran persekitaran serta ancaman keselamatan masa kini yang boleh dipengaruhi serta boleh disalah guna melalui kemajuan teknologi komunikasi maya. 

Evolusi penubuhan BSEP turut membuktikan bahawa ATM sentiasa komited melaksanakan pembangunan keupayaan pertahanan di dalam domain siber dan elektromagnetik.

Ancaman siber merupakan ancaman yang wujud hasil ledakan teknologi digital dan komunikasi tanpa sempadan. Pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab sentiasa berusaha melaksanakan ancaman siber dan elektromagnetik bagi tujuan kepentingan tertentu.

Kemajuan teknologi kini dalam dunia komunikasi tanpa sempadan secara tidak langsung mampu menyumbang kepada kepincangan aspek pertahanan dan keselamatan Negara serta mengganggu gugat kedaulatan negara.

Menyedari peningkatan cabaran persekitaran operasi yang boleh dipengaruhi dan boleh disalahguna melalui kemajuan teknologi komunikasi maya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah dipertanggungjawab “tall orders” untuk menyediakan kekuatan pertahanan yang relevan seiring dengan ancaman semasa yang semakin kompleks.

Menyingkap kembali sejarah penubuhan BSEP adalah bermula dari transformasi Bahagian Komunikasi dan Elektronik Pertahanan (KOMLEK) ke arah Information Superiority. KOMLEK merupakan sebuah organisasi di Markas ATM yang ditubuhkan pada tahun 1993 telah melalui beberapa penjajaran dan penjenamaan sehinggalah terbentuk organisasi BSEP.

Kini, BSEP  menumpukan Cyber dan Electromagnetic sebagai domain baharu dalam senarai peranannya tanpa merubah peranan konvensionalnya.

Penubuhan BSEP selaras dengan intipati perintah ulung Panglima Angkatan Tentera yang selari dengan Kertas Putih Pertahanan (KPP) di peringkat Kementerian serta rancangan transformasi ATM melalui Dimensi Keempat Angkatan Tentera Malaysia (4DMAF) yang kini telah pun direalisasikan dan menuntut ATM mengukuhkan pertahanan ruang siber dan elektromagnetik.

Secara tidak langsung, penubuhan BSEP merupakan komitmen ATM kepada kesediaan dan kesiagaan dalam mendepani cabaran serta ancaman siber yang berbentuk defensif dan ofensif.

BSEP juga bertindak sebagai leading agency di peringkat ATM dan Kementerian Pertahanan, dalam mengkoordinasikan semua perkara berkaitan domain siber dan elektromagnetik. Dengan ini, aspek perintah dan kawalan (command and control) BSEP akan dilihat lebih tersusun, terkawal dan berjalan dengan lebih lancar.

BSEP telah ditubuhkan pada 16 Disember 2020 yang mana Majlis Pelancaran Penubuhan BSEP telah disempurnakan oleh Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi bin Buang TUDM, Panglima Angkatan Tentera di Auditorium Binary BSEP. 

VISI:

Menjadi Peneraju Domain Siber Elektromagnetik Pertahanan ATM Yang Unggul.

MISI:

Mengukuhkan Keupayaan Pertahanan Siber dan Elektromagnetik melalui Keupayaan Perintah & Kawalan.

Perajurit: Apakah yang membezakan BSEP dengan KOMLEK (sebelum transformasi) dan dengan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) di bawah Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP)?

Shamsuddin: KOMLEK tertubuh pada tahun 1993 sebagai peneraju penyedia perkhidmatan komunikasi strategik pertahanan kepada ATM. Kesemua sistem komunikasi strategik ATM melalui beberapa fasa pemerkasaan dan permodenan yang melibatkan penggunaan spektrum siber dan elektromagnetik secara meluas.

Justeru, ancaman siber dan elektromagnetik berpotensi memberi impak kepada usaha melaksanakan pemerkasaan ini. Oleh yang demikian, sebagai mitigasi untuk mengekang ancaman ini, suatu organisasi bersepadu dan berteraskan perkhidmatan teknologi informasi komunikasi terkini perlu diwujudkan bagi menjamin keselamatan dan kestabilan sistem-sistem yang menyokong pemerintahan dan kawalan ATM ini.

Ketiadaan pemerintahan atau organisasi khusus di dalam menangani ancaman domain baru ini iaitu siber dan elektromagnetik menyebabkan kelompongan di dalam pertahanan negara. Disebabkan kewujudan ancaman ini, KOMLEK ditranformasi kepada BSEP dengan penumpuan terhadap pertahanan siber dan elektromagnetik tanpa merubah peranan asalnya. 

Tugas pemantauan ancaman siber iaitu Pusat Operasi Pertahanan Siber yang dahulu diletakkan di bawah tanggungjawab BSPP dipulangkan kembali ke BSEP dan BSPP memfokuskan kepada tugas-tugas perisikan siber.

Perajurit: BSEP ditubuhkan pada Disember 2020. Kita kini berada di pertengahan tahun 2022, adakah perjawatan BSEP telah dipenuhi? Adakah perjawatan BSEP terdiri dari anggota tentera sahaja atau mempunyai perjawatan untuk staf awam dan veteran?

Shamsuddin: Perjawatan semasa BSEP masih menggunakan perjawatan KOMLEK. Kertas Cadangan Perjawatan terbaru yang lebih komprehensif dan sesuai dengan fungsi dan peranan BSEP dalam geopolitik semasa telah dirangka dan sedang diperhalusi di peringkat Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan.

Berkaitan perjawatan, buat masa ini, di peringkat strategik dan operasi BSEP terdiri daripada pegawai dan anggota tentera. Staf awam ada di peringkat sokongan, manakala penglibatan veteran adalah melalui rakan strategik.

Perajurit: Peperangan siber telah menjadi sebahagian daripada medan peperangan utama, kerana walaupun ianya tidak dapat dilihat oleh mata kasar, ia turut memberi kesan kepada dunia sebenar (menjejaskan pengoperasian sistem dan lain-lain). Malah boleh dikatakan domain siber adalah garisan hadapan (frontline) dalam sebarang konflik zaman moden.

Kewujudan BSEP dilihat sebagai meningkatkan kesiagaan pasukan keselamatan dalam menghadapi ancaman domain siber. Adakah BSEP juga mempunyai keupayaan untuk melancarkan aktiviti ofensif dalam domain siber?

Shamsuddin: Tugas konvensional BSEP adalah menyediakan komunikasi dan sistem perintah dan kawalan kepada ATM. Digitalisasi menjadikan siber dan elektromagnetik suatu launching pad baru kepada mereka yang berkepentingan di luar sana terhadap ATM.

Justeru, transformasi BSEP ini dapat meningkatkan kesiagaan ATM melalui perancangan strategik yang dinamik dan relevan melalui penguasaan kemahiran siber sekuriti, perolehan aset yang termaju serta pembangunan modal insan yang berfokus.

Walaupun secara asasnya kemahiran keselamatan siber ini boleh digunakan bagi tujuan ofensif dan BSEP mampu melakukannya, namun selaras dengan visi dan misi BSEP, aktiviti ofensif bukanlah lapangan yang menjadi sasaran utama BSEP.

Keutamaan BSEP adalah mengukuhkan Keupayaan Pertahanan Siber dan Elektromagnetik melalui Keupayaan Perintah & Kawalan.

Perajurit: Beberapa negara dunia termasuk negara jiran (Indonesia, Vietnam, Singapura) serta negara serantau (China, Jepun, Korea Selatan, Korea Utara) mempunyai keupayaan peperangan siber pada tahap tinggi.

Adakah Malaysia mempunyai kerjasama dengan negara-negara tersebut terutamanya dalam rangka Confidence Building Measures (CBM)?

Shamsuddin: Tidak dinafikan negara serantau mempunyai keupayaan siber ofensif pada tahap tinggi. Namun begitu keupayaan pertahanan siber negara tidak boleh dilihat terlalu rapuh.  Global cybersecurity Index 2017 menunjukkan Malaysia berapa pada tangga ketiga sebagai sebuah negara yang paling bersedia mendepani ancaman siber.

Walaupun secara asasnya, kita tidak mempunyai kerjasama secara terus dengan negara serantau, kerjasama bilateral mahupun multilateral sentiasa menjadi agenda utama di dalam peningkatan pertahanan siber. 

Antaranya melalui ASEAN Defence Minister Meeting Plus (ADMM Plus), Cyber Expert Working Group (CWG) ditubuhkan yang berperanan sebagai pemandu di dalam halatuju yang melibatkan kerjasama pertahanan siber ASEAN.

Pada tahun ini, Malaysia bertindak sebagai pengerusi bersama Korea Selatan di dalam CWG ini. Confidence Buliding Measure diambil kira di dalam membina keupayaan peperangan siber di dalam kerjasama ini.

Perajurit: Apakah yang dimaksudkan dengan domain elektromagnetik? Bolehkah Dato’ terangkan serba sedikit tentang keupayaan BSEP dalam domain ini?

Shamsuddin: Data dan suara akan sentiasa dihantar melalui spektrum elektromagnetik. Di dalam ketenteraan, spektrum elektromagnetik yang terdiri dari julat gelombang radio sehingga gelombang gamma ini dirujuk sebagai sebuah domain yang mana ianya perlu dikuasai.

Perolehan aset-aset komunikasi strategik yang berada di bawah perintah dan kawalan BSEP seperti Sistem Satelit, Network Centrik Operation, Secured Messaging dan sebagainya menjadikan domain ini satu domain yang terpenting di dalam pengoperasian BSEP seta salah satu vital ground bagi keupayaan operasi ATM.

Justeru, ketersediaan domain ini untuk diekplotasi atau dinafikan oleh musuh menjadikan ianya ancaman utama kepada ATM. BSEP berperanan sebagai benteng utama sekiranya domain ini diekplotasi oleh pihak musuh.

Kelebihan menguasai domain ini memberikan information superiority kepada mereka yang mampu mengawalnya. Bagi mendepani cabaran dan ancaman di dalam domain ini, beberapa strategi, inisiatif dan langkah telah dikenalpasti, dirancang dan dilaksanakan. Antaranya kolaborasi bersama pemain industri tempatan bagi menghasilkan kripto home grown yang akan mula digunakan oleh ATM menjelang 2024.

Ini merupakan salah satu anjakan paradigma yang mana ATM khususnya BSEP mulai mengorak langkah ke arah teknologi pertahanan yang mandiri.

Melalui penghasilan kripto home grown ini, ia memberikan kebebasan kawalan di dalam keselamatan data dan suara yang melalui domain elektromagnetik yang mana keseluruhan cryptographic algorithm adalah milik mutlak ATM. Ianya juga boleh diperluaskan ke agensi-agensi kerajaan yang lain sekaligus mengurangkan pergantungan alat kripto daripada negara luar.

Pewujudan pusat koordinasi peperangan elektronik juga antara salah satu inisiatif BSEP dalam mendepani cabaran di dalam domain elektromagnetik ini.

Melalui pusat ini, data-data elektronik seperti frekuensi, pengecaman signal, metadata elektromagnetik yang dikenalpasti di antara perkhidmatan akan dikongsi bersama melalui pusat koordinasi ini yang akan memberikan perkongsian maklumat secara lebih cepat, menyeluruh dan terancang.

Selain itu juga BSEP berperanan sebagai penjaga (custodian) di dalam pengawalan spektrum bagi aspek ketenteraan dan sentiasa berganding rapat bersama MCMC di dalam pentadbiran spektrum elektromagnetik.

Perajurit: Adakah BSEP terlibat dalam sebarang siri eksesais, sama ada eksesais dalaman, eksesais bersama (contohnya EKSESAIS PAHLAWAN) dan eksesais gabungan (bilateral atau multilateral) dengan negara sahabat?

Shamsuddin: Salah satu wadah bagi meningkatkan profesionalisme warga BSEP khususnya di dalam aspek teknikal, BSEP sentiasa dilibatkan di dalam pelbagai eksesais samada eksesais dalaman, bersama mahupun gabungan (bilateral, multilateral).

Bagi eksesais dalaman, BSEP sentiasa mengadakan eksesais dalaman bagi meningkatkan kefahaman dan kesedaran warga kerja BSEP di dalam menyediakan perkhidmatan komunikasi strategik dan pertahanan siber antaranya EKS SOUTHERN COMMUNICATION. 

Begitu juga bagi Eks Bersama seperti EKS ANGSA dan EKS PAHLAWAN, warga BSEP sentiasa menggembleng tenaga bagi menyediakan capaian komunikasi serta sistem perintah dan kawalan kepada semua peserta yang terlibat.

Bagi gabungan pula terdapat beberapa eksesais bersama seperti BERSAMA WARRIOR (Amerika Syarikat), COBRA GOLD (Amerika Syarikat dan Thailand), CYBER ENDEAVOUR (Amerika Syarikat dan Negara Indo Pasifik) dan BERSAMA LIMA (FPDA).

Kesemua eksesais ini memberi penumpuan kepada penyediaan komunikasi dan pertahanan siber yang memerlukan anggota yang berkemahiran teknikal tinggi di dalam perlaksanaan eksesais ini.

Perajurit: Setelah membina keupayaan peperangan siber selama beberapa tahun, boleh dilihat sejak kebelakangan ini terdapat banyak syarikat yang dipelopori veteran yang menawarkan keupayaan peperangan siber swasta kepada negara asing (contohnya NSO Group, DarkMatter Group dan lain-lain).

Adakah veteran BSEP dibenarkan menawarkan perkhidmatan mereka selepas bersara dan apakah pelan jangka panjang BSEP untuk memastikan kebajikan veteran BSEP terjaga?

Shamsuddin: BSEP telah mewujudkan Rangka Kerja BSEP yang mana salah satu aspek yang diambil kira adalah Pengurusan Sumber Manusia. Melalui Cawangan Siber BSEP, mereka bertanggungjawab dalam menguruskan Human Capacity Building kepada golongan sasaran iaitu subject matter expert (SME).

SME ini telah dan akan dihantar menghadiri kursus-kursus kepakaran mengikut role and task mereka sama ada dalam dan luar negara bagi meningkatkan keupayaan serta kompetensi mereka. Tempoh perkhidmatan terutamanya anggota tentera adalah di antara 21 hingga 26 tahun.

Bagi mendapatkan return on investment (ROI) terhadap pelaburan yang telah dilakukan kepada mereka, setelah anggota menamatkan perkhidmatan mereka boleh diserap ke Askar Wataniah sekiranya umur mereka tidak melebihi 45 tahun dan berkhidmat secara kontrak melalui kontrak sedia ada. Perkara ini juga termaktub dalam Kertas Putih Pertahanan, Bab 5 – Warga Pertahanan.

Di samping itu juga sekiranya veteran BSEP ini berkeupayaan di dalam bidang komunikasi, peperangan elekrtronik dan siber, BSEP sentiasa terbuka untuk menjalinkan kerjasama mahupun menggunapakai perkhidmatan veteran BSEP ini dengan objektif menjadikan industri pertahanan yang mandiri.

Dengan erti kata lain, kepakaran yang mereka ada boleh digunakan kembali kepada perkhidmatan mengikut saluran yang berlainan.

Perajurit: Terima kasih kerana memberi peluang kepada Perajurit. Adakah Dato’ mempunyai sebarang kata akhir untuk dikongsi dengan pembaca?

Shamsuddin: Ancaman domain siber dan elektromagnetik ini tidak hanya tertumpu kepada ATM sahaja tetapi mencakupi keseluruhan Critical National Information Infrastructure (CNII) negara. BSEP sentiasa terbuka bagi mencipta ruang dan peluang kepada profesional siber di luar sana untuk bekerjasama mendepani ancaman baru ini.

Masyarakat dan ATM khususnya pakar-pakar komputer/siber haruslah menggembleng tenaga dan usaha bersama dalam memastikan kedaulatan siber negara sentiasa terpelihara.

perajurit

Pentadbir Laman Perajurit