VETERAN BANGKIT!

Di kebanyakan negara terutamanya negara-negara barat, penggunaan istilah veteran adalah biasanya dikhususkan kepada entiti peperangan yakni bekas-bekas tentera mereka.

Di Malaysia, istilah Veteran juga turut dikhususkan kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui pewartaan Rang Undang-undang Veteran 2012 yang membawa maksud warganegara Malaysia yang telah berkhidmat sepenuh masa dan tidak pernah dibersarakan atau diberhentikan daripada perkhidmatan atas alasan salah laku dalam mana-mana Angkatan Tetap ATM, Angkatan Sukarela yang dikerah sepenuh masa oleh ATM tanpa mengira tempoh perkhidmatan, Force 136, Tentera British yang telah berkhidmat di Malaya, Malaysia atau Singapura dan Sarawak Rangers.

Selari dengan itu juga satu badan yang dikenali sebagai Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) telah ditubuhkan bagi mencapai maksud Akta ini.

Namun begitu setakat ini di Malaysia, banyak didapati tulisan-tulisan malah juga ucapan-ucapan yang menggunakan perkataan Veteran oleh jabatan atau badan-badan lain bagi menggambarkan entiti dari badan-badan tersebut yang sudah bersara, berusia dan matang di mana keadaan ini tidak ‘dibendung’ penggunaannya yang menyebabkan penyalahgunaan perkataan Veteran ini tidak nampak menjadi suatu ‘kesalahan’ atau penyalahgunaan istilah.

Di sini boleh disimpulkan bahawa Veteran ATM ini agak ‘istimewa’ berbanding entiti lain dalam kalangan penjawat awam yang lain. Istimewa dalam ertikata ianya berada di dalam kelompok yang sangat ‘dijaga’ dan diberi perhatian oleh pihak pemerintah melalui Akta ATM 1972, Akta Veteran 2012 (Akta 740) dan perlembagaan khusus Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) di bawah Kementerian Pertahanan.

Terdapat sedikit perbezaan maksud di antara Veteran ATM dan Bekas ATM di mana Veteran ATM adalah kelompok yang diiktiraf melalui pewartaan RUU Veteran 2012 yang tersebut di atas dan Bekas ATM adalah mereka yang pernah sama-sama berkhidmat dalam angkatan yang sama tetapi telah diberhentikan di bawah klausa-klausa tertentu Akta ATM 1972 sebelum tamat tempoh perkhidmatan.

Veteran ATM Mula Bangkit

Namun begitu, bila dibuat perbandingan pengorbanan getir masa lalu Veteran ATM yang meletakkan keadaan negara yang aman pada hari ini sedangkan kehidupan Veteran itu sendiri sebenarnya tidak begitu kondusif. Malah hasil keamanan yang diraih dengan air mata darah oleh warga tentera yang kini bergelar Veteran/Bekas Tentera telah dikecapi nikmat keamanannya oleh semua warganegara malah turut dirasai oleh warga asing yang berpusu-pusu mencari rezeki di negara bertuah dan berdaulat yang bernama Malaysia ini.

Majoriti Veteran yang bersara sebelum 2014 malah juga yang menamatkan perkhidmatan tanpa bayaran pencen, hidup di bawah paras kemiskinan (B40). Meskipun bukan semua, kerana ada Veteran yang sangat berjaya mencapai pendapatan aras pertengahan dan tinggi namun bilangannya sangat kecil dan keberjayaan mereka itu atas daya usaha mereka sendiri dengan pelbagai dorongan serta ruang dan peluang.

Kekecewaan sangat dirasakan bila mana bekas-bekas tentera yang diberhentikan kerana melakukan kesalahan melanggar tatatertib semasa di dalam perkhidmatan dinafikan dari menerima keistimewaan sebagai Veteran ATM serta dijatuhkan hukuman seumur hidup meskipun kesalahan yang dilakukan itu tidak sebesar mana berbanding Ahli-ahli Parlimen terpalit dengan hukuman penjara tetapi masih boleh kembali menjadi menteri atau ketua negara dan menikmati ganjaran lumayan dari kerajaan.

Tidak dinafikan banyak aspek kebajikan telah diberi perhatian oleh pihak kerajaan melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) sejak dari dahulu lagi namun ianya tertumpu kepada kelompok kecil yang tidak menyeluruh dan masih terdapat lompang yang masih belum diisi di mana ada beberapa tuntutan yang masih diberi status ‘kajian’ oleh pihak kerajaan di atas pelbagai alasan.

Bertitik tolak dari situasi ini veteran yang ‘arif’ mula mencari dan menggali apa-apa bukti yang terkandung di dalam perlembagaan dan mula merasakan bahawa kerajaan tidak begitu serius dalam memperjuangkan nasib Veteran ATM berdasarkan penemuan klausa-klausa tertentu tentang hak-hak keistimewaan yang diperuntukkan kepada Veteran ATM yang selama ini didakwa telah ‘dikesampingkan’ oleh pihak pemerintah. Justeru, apa jua alasan yang pihak kerajaan berikan untuk tidak menunaikan tuntutan dalam masa terdekat tidak lagi menjadi pengubat bagi menahan kesabaran mereka.

Apa Yang Dituntut?

Sebenarnya terdapat beberapa usaha yang telah diperjuangkan oleh Persatuan-persatuan Veteran ATM melalui Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi tujuan manfaat Veteran ATM. Di antara perkara-perkara kebajikan yang dituntut semuanya berkisar kepada penambahbaikan kepada perubahan sosio ekonomi bekas ATM dan juga untuk mengembalikan status ‘keistimewaan’ Veteran ATM itu sendiri kepada haknya. Di antara perkara-perkara yang menjadi agenda tuntutan ialah:

  • Memohon bayaran Elaun Kenangan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada bekas ATM yang berkhidmat sebelum perletakan senjata oleh Parti Komunis Malaya dan Parti Komunis Kalimantan pada tahun 1989 / 1990.
  • Merapatkan Jurang Pencen Veteran ATM yang menamatkan perkhidmatan sebelum 2014 kerana golongan ini menerima pencen bulanan yang sangat rendah berbanding Veteran yang bersara selepas 2014 walaupun pangkat yang setaraf atau lebih rendah.
  • Memohon Elaun Sara Hidup dengan kadar munasabah untuk Veteran ATM Tidak Berpencen sebagai mengenang jasa dan pengorbanan mereka yang pernah berkhidmat melebihi 10 tahun.
  • Memohon diberi pengiktirafan kepada bekas tentera yang diberhentikan kerana salah laku sebagai Veteran ATM.
  • Penambahbaikan Elaun Veteran Kurang Upaya.
  • Memanjangkan pemberian Pencen Terbitan kepada isteri yang dikahwini setelah bersara.

Mutakhir ini, bila mana semua tuntutan-tuntutan yang tersebut di atas tidak diberi perhatian dan ‘layanan’ yang setimpal maka wujudlah individu, kumpulan-kumpulan dari kalangan Veteran / Bekas Tentera yang tidak berpuas hati tampil dari masa ke semasa untuk menagih perhatian dari pihak kerajaan khususnya secara lebih serius. Di antara mereka yang bangkit telah menubuhkan Jawatankuasa masing-masing bagi melicinkan apa-apa tindakan susulan yang mereka akan lakukan.

Presiden PVATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) dalam satu sesi wawancara dengan wartawan di pejabatnya di Wisma Pahlawan pagi tadi. Beliau menafikan PVATM terlibat di dalam RU 6622 ini sekaligus tidak membenarkan ahli PVATM menghadiri RU6622 itu nanti. (Sumber: M. Daim)

Jawatankuasa Khas Veteran

Presiden PVATM, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) dalam satu kenyataan kepada wartawan baru-baru ini berkata, Persatuan Veteran ATM (PVATM) telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Veteran (JKKV) pada 14 Februari lalu dengan melantik Leftenan Jeneral Datuk Nawi Alias (Bersara) menjadi Pengerusi JKKV berdasarkan kepada pengetahuan, pengalaman serta semangat juangnya bagi meneliti secara terperinci mengenai masalah pencen dan ganjaran anggota ATM berpandukan kepada undang-undang serta peraturan sedia ada iaitu Perlembagaan Malaysia (Artikel 137 dan 147), Akta Angkatan Tentera Tahun 1972 (Seksyen 15, 36 dan 187) serta Peraturan Pencen dan Ganjaran ATM 1982.

Idea penubuhan JKKV tercetus apabila Mahkamah Rayuan membuat keputusan kenaikan tahunan pencen sebanyak 2 peratus adalah tidak sah, pada 13 Januari lalu,

Dalam pada itu, beliau turut menyedari adanya kumpulan dalam entiti Veteran yang juga memperjuangkan perkara sama dengan pendekatan berbeza, namun tiada sebarang halangan pihaknya ke atas tindakan itu oleh kerana matlamat yang akan memberi manfaat kepada veteran kelak.

Walau bagaimanapun, kata beliau, dalam usaha memperjuangkan isu kebajikan Veteran, janganlah hendaknya ada percanggahan dan perselisihan serta memperkotak-katikkan sesama sendiri yang menunjukkan perpecahan. (sumber: Airtimes.my)

Penubuhan Tribunal Arbitral Malaysia

Satu lagi usaha yang Veteran dan Bekas Tentera lakukan bagi merealisasikan tuntutan ini ialah melalui tindakan semakan kehakiman secara Class Action di Mahkamah Timbangtara bebas Malaysia melalui satu Tribunal Khas Veteran ATM bagi setiap isu kes.

Mejar Hj. Mior Rosli TUDM (Bersara) yang mengetuai kaedah ini merupakan seorang peguam yang mana sebelum ini beliau bergerak secara bersendirian menuntut kepada kerajaan berkaitan perkara-perkara yang disebutkan di atas. Dalam gerakan yang terkini beliau telah menubuhkan Jawatankuasa bagi melicinkan perlaksanaan dengan sokongan ribuan Veteran dan Bekas Tentera yang mendambakan perubahan.

Semua Veteran yang menyokong tuntutan ini dan setuju menjadi plaintif dan / atau penuntut dikehendaki mendaftarkan diri menggunakan Google Form yang disertakan sebelum memfailkan tuntutan di mana memerlukan sekurang-kurangnya 10,000 orang Veteran dan Bekas ATM mendaftar. Antara asas permohonan bagi setiap Class Action adalah seperti berikut:

  1. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarah Majlis Angkatan Tentera (MAT) melaksana segala kuasanya menurut undang-undang untuk selaraskan pencen bagi Veteran yang bersara sebelum tahun 2004, 2013 mengikut kuasa yang ada pada MAT berdasarkan Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, kuasa kebelakangan yang ada pada MAT di Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera dan Peraturan-peraturan Pencen dan Faedah-faedah Lain di bawahnya;
  2. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT memberi pertimbangan berdasarkan kuasa Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 15, Seksyen 36, Seksyen 187, Seksyen 206 dan Seksyen 207 Akta Angkatan Tentera supaya anggota tentera, anggota sukarela yang dikerah dan Veteran diberi hak yang seakan serupa secara kebelakangan yang dinikmati oleh semua penjawat awam di mana mereka boleh diberi pencen setelah berkhidmat sekurang-kurangnya 10 tahun perkhidmatan seperti yg diperuntukkan dalam Seksyen 9,10,11 dan 12 Akta Pencen 1980; dan seperti juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang hanya perlu berkhidmat 36 bulan untuk mendapatkan pencen.;
  3. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT menubuhkan satu Lembaga Pengampunan menurut kuasa Yang Dipertuan Agong (YDPA) di Perkara 4(1), Perkara 4(2) dan Perkara 137(1) Perlembagaan Persekutuan di mana YDPA berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum, termasuk meremitkan, menggantung atau meringankan hukuman berkenaan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan oleh pegawai atasan, bagi mereka yang layak, supaya mereka yang tidak layak digelar sebagai Veteran oleh Akta Veteran 2012 boleh diterima balik sebagai Veteran dan mereka, suami / isteri dan anak-anak yang layak boleh mendapat kemudahan kebajikan seperti Veteran yang lain. Sebagaimana wakil rakyat boleh berkhidmat semula selepas 5 tahun jatuh hukum kesalahan berat mana sekalipun; dan menggunakan kuasanya di bawah Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera 1972 untuk memberi Pencen kepada Veteran yg telah diampunkan;
  4. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT mengkaji semula kadar Pencen Hilang upaya agar Veteran yang cedera perang, cedera semasa bertugas dan cedera akibat selepas dari tugas berat dan terlampau semasa berkhidmat diberi PHU dan Layan Sentiasa seperti yang diberi oleh SOCSO dan Insuran yang ditanggung oleh kerajaan selain dari Insuran kelompok yang dibayar sendiri oleh anggota tentera;
  5. Memohon supaya mahkamah yang mulia mengarahkan MAT mengkaji semula masalah-masalah yang dihadapi oleh 404 orang pegawai yang bertauliah semasa laporan gaji Sheikh Abdullah pada tahun 1972; dan
  6. Memohon mahkamah yang mulia untuk mendapatkan semakan kehakiman ke atas semua isu-isu yg berbangkit seperti, kuasa YDPA di bawah Perkara 41 Perlembagaan Persekutuan, isu Lembaga Tabung ATM (LTAT), kebebasan Veteran seperti orang awam yang lain menurut Perlembagaan Persekutuan dan lain-lain perkara yang akan dikemukakan kepada mahkamah yang mulia kemudian.

Mejar Mior menjelaskan bahawa terdapatnya pertindihan bidang kuasa di antara MAT dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta Agensi Pusat yang tidak menyenangkan.

ATM harus faham bahawa menurut undang undang JPA dan Agensi-agensi Pusat seperti Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Unit PenyeIaras Pelaksanaan (ICU) tidak boleh mengatasi keputusan MAT yang dibuat dengan kelulusan oleh YDPA seperti Gaji Dan Elaun, Pencen Dan Ganjaran, Syarat Perkhidmatan dan lain-lain.

Oleh kerana di dalam sistem perundangan Negara YDPA itu teratas sekali, ianya satu mitos apabila dikatakan JPA atau Agensi Pusat boleh mengatasi keputusan MAT. Walau bagaimanapun adalah tidak salah MAT menerima nasihat lain tetapi tidaklah boleh pihak lain menyatakan ATM hendaklah mengikuti keputusan mereka seperti JPA dan menolak tuntutan Pelarasan Pencen yang Jawatankuasa Khas PVATM sedang tangani.

Ini adalah satu isu berperlembagaan yang beliau mohon Kementerian Pertahanan rujuk kepada Peguam Negara selaku Penasihat Undang-undang YDPA membuat deklarasi bahawa ATM adalah berbeza dari Perkhidmatan Awam yang lain.

Sebagai perbandingan, beliau turut merujuk kepada keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 11 Jan 2019 dalam kes MAT dan Mohd Nurul Ami Bin Mohd Basri Civil Appeal No: A -01(NCVC)(W)-315-09/2017. Dalam kes ini, MAT menang Rayuan ini dan Mahkamah Rayuan mengatakan yang Undang-undang Awam yang lain tidak boleh mengatasi Perkara 137 Perlembagaan Persekutuan, AAT72, PMAT, dan Peraturan-peraturan Tentera yang lain.

Kemenangan MAT adalah baik untuk ATM dan Veteran ATM sekaligus membuktikan yang skim perkhidmatan, Gaji dan Pencen bukan di bawah JPA. Dengan keputusan kes ini KEMENTAH / JPA tidak ada alasan apa-apa lagi untuk menahan tuntutan hak penyelarasan pencen Veteran ATM, jelas Mej. Mior melalui whatsapp kepada penulis.

Tambah Mej. Mior lagi, Anggota ATM boleh dikerah bekerja pada bila-bila masa tidak kira waktu tanpa mendapat apa-apa imbuhan. Anggota ATM termaktub di bawah pengawalan disiplin yang tinggi dan mesti dipatuhi. Sewaktu berkhidmat, ada kalanya Anggota ATM berjauhan dengan keluarga dalam jangka waktu yang lama samada beroperasi di hutan atau di lautan luas. Situasi ini tak dilalui oleh Kakitangan Awam. Inilah salah satu pengorbanan yang dipikul oleh anggota ATM.

Begitu juga bagi Warga ATM yang mahu menyambung perkhidmatan bukan berlaku secara automatik dan mudah. Mereka perlu menjalani kursus yang panjang dan wajib lulus peperiksaan, perlu ada kekosongan jawatan, perlu diperakui sihat oleh Doktor ATM dan perlu mendapat sokongan dari Pegawai Bahagian dan Pegawai Memerintah.

Gaji dan pencen Warga ATM sewajarnya lebih tinggi berbanding Anggota Perkhidmatan Awam yang lain sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Antara perkara penting yang wajar diberi perhatian adalah :

  1. Perkara 41. Yang DiPertuan Agong merupakan Panglima Tertinggi ATM.
  2. Perkara 132. ATM merupakan Perkhidmatan Awam yang terkanan di antara semua perkhidmatan kerajaan.
  3. Perkara 137. Majlis ATM bertanggungjawab kepada Yang DiPertuan Agong atas 3 perkara berikut terhadap ATM iaitu Pemerintahan, Pentadbiran, Tatatertib.
  4. Perkara 139. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tidak ada kuasa terhadap ATM. Sehubungan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam tidak sewajarnya menyamakan gaji dan pencen Warga ATM dengan Anggota Perkhidmatan Awam. Dalam pada itu, dalam Akta Angkatan Tentera 1972 terdapat pelbagai kuasa Majlis ATM. Antaranya ialah Seksyen 157 Majlis ATM bertanggungjawab memperakui gaji Warga ATM dan Seksyen 187 Majlis ATM bertanggungjawab memperakui pencen Warga ATM.

Terdapat beberapa perintah yang dibuat oleh Majlis ATM. Antaranya, Peraturan-peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran Dan Faedah) 1982. Dalam peraturan ini kerajaan perlu selaraskan pencen Warga ATM mengikut pelarasan gaji terkini.

Natijah

Natijah kepada senario yang terbentuk dari ketidakpuasan hati para Veteran / Bekas Tentera ini, secara spontan terbentuk satu lagi Jawatankuasa bagi merancang untuk mengadakan pertemuan keluarga besar Warga Bekas Tentera dan berhimpun secara aman di ibu negara bagi membincangkan tindakan susulan yang terbaik bagi meyakinkan pihak kerajaan tentang kewajaran tuntutan-tuntutan yang sedang diusahakan.

Menurut Pemudah Cara RU 6622, Leftenan Komander Rafique Ali bin Ahmad Nordin (Bersara), pada mulanya Ahli Jawatankuasa ini merancang untuk berhimpun jika petisyen yang sedang diusahakan oleh JKKV yang diketuai oleh Datuk Nawi (PVATM) gagal mencapai matlamat setelah petisyen diserahkan kepada DYMM YDPA.

Namun begitu, memandangkan petisyen yang dimaksudkan itu akan memakan masa yang agak panjang dan dijangka menemui ‘jalan buntu’ penyelesaiannya maka perhimpunan terpaksa diteruskan dan menetapkan tarikh 6 Jun 2022, bertujuan untuk menzahirkan kesepaduan, kesepakatan dan kesungguhan Veteran dan Bekas Tentera dalam memperjuangkan hak-hak istimewa Veteran dan Bekas Tentera yang sepatutnya diperolehi.

“Setelah pertama kali berjumpa pihak Polis, kami membuat keputusan untuk menamakan Re-union 6622 Bekas Perajurit dan pihak PDRM bersetuju untuk memberi laluan kepada RU 6622 bersama keluarga ini diadakan di Tugu Negara,” ujar Rafique melalui pesanan suara.

Polis juga menjamin keselamatan Warga Bekas Tentera dan tidak akan menyekat pergerakan mana-mana Veteran secara individu atau kumpulan yang menyertai RU 6622 di Tugu Negara pada 6 Jun serta menyediakan segala kemudahan seperti tandas tambahan dan ambulan untuk keperluan peserta RU 6622 yang hadir.

Polis juga turut memberi jaminan tidak akan menyekat kehadiran wartawan untuk membuat liputan berita dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak mengganggu gugat aturcara yang dijalankan di sekitar Tugu Negara.

Menurutnya lagi, RU 6622 adalah satu perjumpaan keluarga Bekas-bekas Tentera sebagaimana yang disarankan oleh Perdana Menteri bahawa kita adalah satu keluarga Malaysia. RU 6622 dijadualkan berlangsung bermula jam 8.00 pagi hingga 11.00 pagi.

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.

Paklang Hamzah

Penulis adalah seorang veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang kini bergiat aktif di dalam bidang penulisan dalam konteks pertahanan dan keselamatan. Merupakan seorang koresponden Majalah Perajurit sejak tahun 2006.