EksklusifKomunitiSejarah

Istana Itter – Tentera AS dan Jerman Bergabung Melawan SS

Kongsi di

Tiada siapa dapat menafikan betapa berdarahnya era Perang Dunia Kedua (PD2). Tetapi tidak ramai tahu pada hari-hari terakhir PD2, terdapat satu peristiwa pelik di Istana Itter. Di sinilah, tentera Jerman dan Amerika Syarikat (AS) bergabung melawan ketumbukan Schutzstaffel (SS)!

Sekitar tahun 1940, Istana Itter yang terletak di Itter, Tyrol, Austria diambil alih secara pajakan oleh Jerman daripada pemiliknya Franz Gruner. Tiga tahun selepas itu, ia dirampas oleh SS atas arahan ketua mereka Heinrich Himmler untuk dijadikan sebagai penjara individu-individu berprofil tinggi.

Antara tawanan perang (POW) berprofil tinggi yang ditahan di Istana Itter ialah dua bekas Perdana Menteri Perancis, Edouard Daladier dan Paul Reynaud.

Selain mereka, dua jeneral Perancis Maxime Weygand dan Maurice Gamelin, pemain tenis terkenal Jean Borotra dan adik Jeneral Charles de Gaulle, Marie-Agnès Cailliau de Gaulle turut ditahan di situ.

Pada 3 Mei 1945, seorang POW dari Yugoslavia, Zvonimir Cuckovic keluar dari istana atas alasan menjalankan urusan bagi pihak komander istana, Sebastian Wimmer.

Hakikatnya, Cuckovic keluar sambil membawa surat untuk meminta pihak Bersekutu tiba di Istana Itter dan membebaskan para tawanan yang ada di situ.

Dengan Cuckovic masih belum pulang dan bekas komander kem Dachau, Eduard Weiter mati mengejut di istana pada 2 Mei, Wimmer sedar dirinya diancam bahaya. Lantas, dia meninggalkan istana secara senyap-senyap sebelum diikuti oleh pengawal-pengawal lain.

Ini membolehkan POW-POW menguasai istana dengan senjata-senjata yang ditinggalkan. Bagaimanapun, mereka bimbang pihak SS pasti akan cuba mendapatkan semula Istana Itter.

Lantas, seorang lagi POW bernama Andreas Krobot dihantar keluar bagi mendapatkan bantuan pada 4 Mei. Krobot pergi ke Worgl sambil membawa nota memohon bantuan. Di Worgl, dia dibawa berjumpa dengan Mejar Josef Gangl, ketua unit Wehrmacht yang menyokong pejuang partisan Austria.

Selepas menceritakan apa yang berlaku, Gangl sedar sukar untuk mempertahankan Istana Itter dengan kekuatan tentera yang dimilikinya. Hanya 20 orang tentera Wehrmacht yang bersamanya di Worgl.

Batalion Kereta Kebal Ke-23 Datang Membantu

Lantas, Gangl keluar bersama beberapa orangnya sambil membawa bendera putih bagi meminta bantuan.

Bantuan berjaya diperoleh di Kufstein, 13 km di utara Worgl. Di sinilah, Gangl bertemu dengan sepasukan tentera peninjau Batalion Kereta Kebal Ke-23, Divisyen Kereta Perisai Ke-12 AS yang diketuai Kapten John Lee.

Apabila beliau menyatakan situasi yang dihadapinya, Lee bersetuju untuk membantu Gangl mempertahankan Istana Itter.

Sebaik kontinjen kecil ini tiba di Istana Itter, mereka disambut baik oleh para POW. Bagaimanapun, para POW merasakan bilangan mereka terlalu sedikit untuk mempertahankan Istana Itter.

Kerisauan mereka turut dikongsi oleh Gangl lalu beliau menelefon kelompok partisan Austria bagi menghantar bantuan ke istana berkenaan.

Lee mengarahkan orang-orangnya mengambil kedudukan pertahanan dalam istana. Bantuan yang diminta Gangl tiba di istana tetapi hanya tiga orang yang dapat dihantar. Selepas beberapa lama, pihak SS mula menyerang Istana Itter pada pagi 5 Mei dengan kekuatan antara 100 hingga 150 orang.

Bagaimanapun, mereka mampu menyerap asakan musuh terutama dengan kereta perisai yang diletakkan secara strategik di luar istana.

Namun begitu, kelebihan tersebut tidak bertahan lama. Kereta perisai berkenaan kemudiannya dimusnahkan dengan meriam anti-kereta kebal Flak 18-36.

Melihat situasi semakin tidak menyebelahi mereka, Borotra memanjat dinding istana dan berjaya melepasi kawalan pihak SS bagi mendapatkan bantuan.

Borotra bernasib baik apabila kelibatnya dikenali oleh wartawan Perancis-Kanada dan bakal Premier Quebec, Rene Levesque. Levesque ketika itu bergerak bersama Rejimen Infantri Ke-142 AS.

Borotra menceritakan apa yang berlaku dan meminta uniform tentera AS untuk dipakai bagi menyertai semula pertempuran di Istana Itter.

Pasukan tambahan termasuk Borotra segera kembali ke istana dan berjaya menewaskan pihak SS. Kebetulan pula, apabila mereka tiba, pasukan Lee sudah kehabisan peluru. Pada akhir pertempuran, lebih 100 orang tentera SS ditahan.

Sementara para POW berprofil tinggi termasuk Borotra dihantar pulang ke Perancis dan tiba di sana beberapa hari kemudian.

Nasib Lee dan Gangl

Tetapi apa pula yang terjadi pada Lee dan Gangl? Gangl merupakan satu-satunya individu yang terbunuh dalam pertempuran di Istana Itter. Ini selepas beliau cuba menyelamatkan Reynaud daripada terkena tembakan.

Hari ini, Gangl diangkat sebagai wira negara Austria dengan sebuah jalan dinamakan bersempena namanya.

Sementara Lee pula diberi pingat Distinguished Service Cross atas jasanya pada hari itu. Dua hari selepas itu, Jerman secara rasmi menyerah kalah kepada pihak Bersekutu. Dengan penyerahan kalah tersebut, PD2 di benua Eropah berakhir.

Moustapha Abbas

Seorang biasa yang merekod sejarah sebagai teladan untuk generasi seterusnya. Pernah menulis untuk beberapa portal termasuk The Patriots. Minat topik sejarah termasuk keselamatan dan peperangan.

Moustapha Abbas

Seorang biasa yang merekod sejarah sebagai teladan untuk generasi seterusnya. Pernah menulis untuk beberapa portal termasuk The Patriots. Minat topik sejarah termasuk keselamatan dan peperangan.