EksklusifKomunitiSejarah

Sejarah – Orang Buta Hampir Rosakkan Upacara Menyerah Kalah Jepun

Kongsi di

Sebaik saja Menteri Luar Jepun, Mamoru Shigemitsu menandatangani dokumen penyerahan kalah Jepun di atas kapal USS MISSOURI, Perang Dunia Kedua (PD2) berakhir secara rasmi.

Tetapi detik penting ini hampir saja dirosakkan oleh seorang figura Kanada yang buta sebelah mata!

Tidak seperti upacara penyerahan kalah Jerman kepada pihak Bersekutu yang bersifat ringkas, lain pula aturannya untuk Jepun.

Bagi Amerika Syarikat (AS), mereka mahu upacara tersebut bersifat lebih besar dan hebat – bersesuaian dengan status mereka sebagai kuasa besar baru dunia.

Kalau di Reims, Perancis pada 7 Mei 1945, lainlah cerita. Semasa tu, pihak Bersekutu mahu menamatkan kempen mereka terhadap Jerman secepat mungkin.

Jadi, pada mereka, molek dokumen penyerahan kalah dibuat dengan segera bagi memastikan teater PD2 di Eropah telah berakhir.

Maka tak hairanlah pada tengah malam 7 Mei, wakil Jerman iaitu Jeneral Alfred Jodl terus menandatangani dokumen tersebut di sebuah sekolah dalam upacara ringkas. Tiada riuh-rendah askar dan pegawai.

Yang ada sebagai saksi ialah ketua staf Jeneral Dwight Eisenhower, Jeneral Walter Bedell Smith, Jeneral Francois Sevez (Perancis) dan Jeneral Ivan Susloparov (Rusia).

Peluang Untuk AS

Justeru, AS mahu mengelak situasi Reims berulang pada 2 September 1945. Masa inilah peluang untuk AS tunjuk ke-gah-annya sebagai pemenang. Pada hari itu, 258 buah kapal perang berada sekitar Teluk Tokyo.

Sementara sebuah kapal pengangkut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sekiranya Jepun cuba mengkhianati mereka. Sementara wakil Tentera Marin (Marine) dan Laut AS (US Navy) diarah mengenakan uniform awam rasmi mereka yang kemas.

Pihak British sudah mengaturkan sebuah meja mahogani sebagai tempat dokumen ditandatangan. Malangnya, dokumen yang dibawa terlampau besar untuk meja yang disediakan.

Ini memaksa sebuah meja lain yang lebih besar dibawa masuk menggantikan meja kayu yang mewah itu.

Wakil Jepun, Shigemitsu tiba di USS MISSOURI tepat jam 8.56 pagi. Bagi para delegasi termasuk dari pihak Bersekutu, semuanya nampak berjalan lancar. Pastinya tiada apa yang dapat menggugat upacara penyerahan kalah Jepun pada hari itu.

Tapi walau sebaik mana sesebuah perancangan, ada sajalah benda bermasalah!

Figure 1: Kolonel Lawrence Moore Cosgrave semasa menandatangani dokumen penyerahan kalah Jepun.

Dan ini terpakai kepada figura Kanada yang dinyatakan di atas: Kolonel Lawrence Moore Cosgrave. Pernah berkhidmat semasa Perang Dunia Pertama (WWI), Cosgrave buta sebelah mata selepas tercedera dalam kempen di Ypres.

Disebabkan keadaannya itu, sukar bagi beliau untuk melihat dengan baik.

Dua Salinan Dokumen

Terdapat dua salinan dokumen penyerahan kalah Jepun iaitu salinan bagi pihak Jepun dan AS. Pada salinan Jepun inilah, Cosgrave melakukan kesilapan dengan menandatangani namanya pada ruangan yang sepatutnya diisi oleh delegasi Perancis.

Akibatnya, wakil-wakil delegasi Bersekutu terpaksa menurunkan tandatangan pada ruang tandatangan berbeza sehingga wakil New Zealand, Air Vice-Marshall Leonard Monk Isitt terpaksa menandatangan pada tempat kosong.

Figure 2: Contoh salinan dokumen penyerahan kalah Jepun termasuk pembetulan yang dibuat Sutherland. Sumber: World Imaging/CC BY-SA 3.0

Kesilapan Cosgrave ini mencetuskan sedikit masalah bagi pihak Jepun. Shigemitsu merasakan kesilapan sebegini boleh menjejaskan kesahihan dokumen yang ditandatangani.

Untuk mengelakkan perkara ini daripada terus berlarutan, ketua staf Jeneral Douglas MacArthur, Jeneral Richard Sutherland tulis nama delegasi yang betul pada setiap tandatangan yang salah.

Benda ni nampak remeh tapi cukup untuk puaskan hati pihak Jepun. Susulan itu, kesilapan sama tidak diulangi pada salinan dokumen penyerahan kalah AS. Tapi bagi Sutherland, kalau nampak pun, apa gunanya.

Ini kerana salinan dokumen ini akan disimpan dalam arkib dan dikelaskan sebagai dokumen sulit.

Telahan beliau ternyata tepat. Selama puluhan tahun, kesilapan kecil Cosgrave ini tidak diketahui kerana tersimpan dengan rapi dalam arkib. Jika tidak kerana tindakan pantas Sutherland, ia boleh saja menjadi detik memalukan buat pihak Bersekutu pada detik-detik terakhir PD2.

Rujukan

Barrett, C. (2022, 2 September). HOW A ONE-EYED CANADIAN ALMOST RUINED THE JAPANESE SURRENDER OF WWII. HistoryNet.

Moustapha Abbas

Seorang biasa yang merekod sejarah sebagai teladan untuk generasi seterusnya. Pernah menulis untuk beberapa portal termasuk The Patriots. Minat topik sejarah termasuk keselamatan dan peperangan.

Moustapha Abbas

Seorang biasa yang merekod sejarah sebagai teladan untuk generasi seterusnya. Pernah menulis untuk beberapa portal termasuk The Patriots. Minat topik sejarah termasuk keselamatan dan peperangan.