Pasukan Udara Tentera Darat Dapat Empat Black Hawk Secara Sewaan
LANGKAWI – Tentera Darat Malaysia akan menerima empat buah helikopter Sikorsky UH-60A+ Black Hawk untuk memenuhi kepeluan Tim Nukleus bagi tujuan latihan dan tugasan penerbangan operasi melalui sewaan daripada Aerotree Defence and Services Sdn Bhd.
Persetujuan antara Kementerian Pertahana Malaysia dan Aerotree Defence and Services telah dimaterai pada 25 Mei dalam satu sesi tandatangan LOA / LOI / MOU di acara Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition (LIMA ’23). Kontrak ini dilaporkan bernilai RM187 juta.
Aerotree Defence and Services dilaporkan mendapat bantuan kewangan dari SME Bank melalui MOU yang juga ditandatangani pada 25 Mei di satu acara lain.
Empat buah helikopter ini dipercayai akan dioperasikan oleh tim nukleus Skuadron 882 Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) yang berpangkalan di Pangkalan Udara Butterworth. Sebelum ini, tim nukleus ini menggunakan helikopter Sikorsky S-61A-4 “Nuri” yang diserahkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum helikopter itu digantung perkhidmatan pada tahun 2019.
Aerotree Defence and Services mempunyai rekod yang baik dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada agensi-agensi kerajaan termasuk kepada TUDM dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sejak sekian lama. Aerotree juga baru diiktiraf sebagai salah satu Approved Maintenance Organisation oleh Directorate General Technical Airworthiness (DGTA) untuk helikopter Leonardo A109 LOH yang dioperasikan oleh Rejimen 881 PUTD. –perajurit/mhi (Foto: Halim Othman FB)

