EksklusifModelOperasiSejarah

Pertempuran Bertam Nesai 1987 – PKPT Tetap Unggul

Kongsi di

No. 3 Terup daripada Skuadron Sierra 11 Rejimen Gerak Khas (11 RGK) telah ditumpangkan kepada Pasukan Khas Perisikan Tempur (PKPT) yang ditugaskan dalam OPERASI PAKSI INDERA 4/87 di bawah pengawasan Military Intelligence Officer (MIO) Pahang Barat pada 17 Julai 1987.

Terup ini dipecahkan kepada tiga Ronda Kumpulan Kecil (RKK) untuk diaturgerakkan di Sektor Bravo 13 untuk mengesan pengganas Komunis (PGK) di kawasan bukit Bertam Nesai, Pahang. (Satu RKK sekitar enam orang)

Semasa melaksanakan rondaan pada 22 Julai 1987, jam lebih kurang 1200, No. 1 RKK yang diketuai Lt Ali telah menemui kesan tapak kasut, dahan pokok ditetak dan jerat babi kepunyaan PGK.

Dengan kepakaran menjejak, mereka telah berjaya menemui sebuah kem PGK berkekuatan 20-30 orang anggota PGK yang diketuai oleh Central Committee Member (CCM) Choon Choi.

Mereka diarahkan untuk menyerang kem tersebut setelah menghubungi Markas Taktikal 11 RGK. Mereka berjuang dengan semangat keperwiraan yang tinggi serta sanggup berkorban nyawa meskipun keanggotaan mereka sedikit berbanding kekuatan musuh. (6 vs 20-30)

Dengan kebijaksanaan Lt Ali, beliau telah merancang serangan dengan membahagikan RKK kepada tiga kumpulan iaitu Kumpulan Serangan yang terdiri daripada Lt Ali bin Amir dan LKpl Zamani bin Kassim, Kumpulan Keselamatan 1 yang terdiri daripada Tpr Zahari bin Jonid dan Tpr Jamaen bin Sarikun dan akhir sekali Kumpulan Keselamatan 2 yang terdiri daripada Sjn Hamzah bin Othman dan Tpr Che Wan Nazri bin Che Wan Daud.

Pada 26 Julai 1987, jam lebih kurang 0700, serangan dimulakan dengan tembakan Lt Ali diikuti LKpl Zamani bagi menggempur kubu musuh. Serangan berjaya menggugat pihak musuh yang bertindak berundur meninggalkan kem.

Sebahagian daripada PGK yang berundur telah bertembung dan berbalas tembakan dengan kumpulan RKK Sjn Yahaya bin Othman yang tiba membantu kumpulan Lt Ali.

Dianugerahkan Pisau Tempur

Dalam pertempuran tersebut tiga anggota mengalami kecederaan ringan manakala kumpulan Lt Ali tidak mengalami sebarang kecederaan.

Semasa melakukan penggeledahan, mereka menemui mayat seorang anggota PGK wanita yang disorok di celahan batu serta kesan darah di persekitaran kem yang yang membuktikan ramai anggota PGK cedera.

Atas sifat keberanian dan semangat juang yang jitu, Lt Ali bin Amir telah dianugerahkan Pisau Tempur Tentera Darat manakala anggota yang lain dianugerahkan Sijil Perkhidmatan Cemerlang pada Perbarisan Hari Ulang Tahun Tentera Darat.

TETAP UNGGUL

Sumber: 21 GGK / 11 RGK
Foto dan diorama: Syed Hidayat Al-Qudsi
Lokasi diorama: 11 RGK

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.