EksklusifKomuniti

Perubahan Dalam Rancangan 15-to-5 TLDM – Adakah Kapal Kelas Keris Bakal Tumbuh Gigi Baru?

Kongsi di

Baru-baru ini, telah berlaku perubahan dalam tampuk pemerintahan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di mana Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob telah diperkenankan oleh DYMM Yang DiPertuan Agong untuk mengambil alih tugas Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany sebagai Panglima Tentera Laut ke-18. 

Dalam ucaptama Laksamana Datuk Abdul Rahman sebagai Panglima Tentera Laut pada 30 Januari lalu, beliau telah mengumumkan rancangan beliau untuk menghidupkan kembali TLDM dan membawa armada tersebut kembali ke era kegemilangannya. 

Beliau mengenalpasti tiga program utama sebagai pengisian kepada teras pertama, iaitu meningkatkan kesiagaan armada. 

Tiga program tersebut adalah Obsolescence programme (program pengusangan), Repowering Programme (program pemberian kuasa semula), dan Refit Programme (Program Pemasangan Semula). 

Pada masa sama, beliau juga mengenalpasti bahawa program transformasi 15-to-5 TLDM perlu diteruskan, tetapi perlu melalui pengubahsuaian. 

Antara perancangan beliau dalam meneruskan program transformasi 15-to-5 ini adalah dengan meminta kerajaan untuk mendapatkan kapal Littoral Mission Ship (LMS) bac kedua yang bersifat sebagai kapal penggempur dalam masa terdekat. 

Apabila diamati, perancangan ini menandakan perubahan konsep kepada operasi yang dijalankan oleh kapal-kapal LMS, dalam hal ini, kapal kelas KERIS. 

Perancangan Transformasi 15-to-5 TLDM

Perancangan transformasi 15-to-5 TLDM ini adalah hasil buah fikiran mantan Panglima Tentera Laut ke-16, Laksamana (B) Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin. 

Dalam perancangan tersebut, beliau telah mengilhamkan untuk mengurangkan jenis kapal-kapal TLDM daripada 15 jenis kapal berlainan jenis kepada hanya lima jenis kapal utama.  Pada masa sama, bilangan bagi setiap jenis kapal ini ditambah. 

Beliau merencanakan bahawa langkah tersebut akan mengurangkan kos pengoperasian TLDM di mana program latihan dipermudahkan serta memudahkan jaluran logistik kepada hanya lima jenis aset utama. 

Lima jenis aset yang dikenalpasti itu adalah kapal Multi-Role Support Ship (tiga buah), 12 buah kapal Littoral Combat Ship (LCS – kelas MAHARAJA LELA), 12 buah New Generation Patrol Vessel (NGPV – kelas KEDAH), 18 buah kapal LMS, berserta empat buah kapal selam (kelas PERDANA MENTERI). 

Dalam perancangan ini, aset yang bersifat penggempur adalah kapal LCS, NGPV, manakala kapal LMS bersifat kapal peronda dengan fungsi utama adalah pemantauan serta membantu dalam misi kemanusiaan dan bencana alam (HADR Humanitarian Assistance and Disaster Relief) seperti operasi carilamat (SAR – Search and Rescue). 

Disebabkan penugasan inilah, yang membolehkan kerajaan ketika itu untuk memperoleh kapal kelas KERIS daripada China, walaupun Malaysia mempunyai pertindihan tuntutan dengan China di Laut China Selatan, suatu isu yang boleh menjadi batu api antara hubungan kedua-dua negara. 

Adalah menjadi kurang bijak untuk menggunakan aset yang dibina negara tersebut untuk berhadapan dengan negara itu sendiri sekiranya tercetus konflik kerana dikhuatiri ketika itu terdapat peranti-peranti elektronik ada dipasangkan pada kapal-kapal berkenaan. 

Penerusan Perancangan Transformasi 15-to-5 yang Diubahsuai

Seperti dimaklumkan awal tadi, perancangan 15-to-5 dijangkakan akan mengalami perubahan.  Antaranya pembelian kumpulan kapal kelas LMS yang akan diperkasakan untuk tujuan sebagai aset penggempur. 

Sekiranya perancangan 15-to-5 juga diteruskan, ini bermakna besar kemungkinan jenis kapal yang sama akan diperoleh. 

Sekiranya dipadankan dengan program refit yang menjadi sebahagian daripada perancangan dalam teras pertama, ini bermakna kapal-kapal kelas KERIS sedia ada juga berkemungkinan untuk ‘tumbuh gigi baru’. 

Cabaran

Sekiranya itu adalah langkah yang akan diambil, ada kemungkinan TLDM boleh menggunakan platform-platform sedia ada yang diperoleh untuk ‘mempergigikan’ kapal-kapal LCS. 

Namun, di situlah cabaran terbesar dalam program ini.  Kapal LCS telah dipadankan dengan platform-platform daripada Barat, dan ini mungkin menjadi cabaran untuk disesuaikan dengan kapal buatan China tersebut. 

Sesetengah pengeluar senjata Barat meletakkan syarat untuk tidak mengizinkan peralatan daripada negara China dipadankan dengan produk mereka. 

Platform-platform dari negara China, walaupun telah meningkat daripada segi kualiti dan keupayaan, bukanlah pilihan yang baik memandangkan kemungkinan untuk konflik di Laut China Selatan boleh tercetus. 

Ini secara tidak langsung memudahkan tugas tentera laut China (PLA Navy) untuk menangani ancaman daripada TLDM kerana sudah tentu mereka mempunyai counter-measures terhadap senjata-senjata buatan mereka sendiri. 

Sekiranya kapal-kapal LMS ini diperkasakan juga, dan dioperasikan sebagai aset penggempur, terdapat juga kemungkinan untuk aset berkenaan untuk berhadapan dengan negara pengeluar mereka sendiri. 

Walaupun pihak China menjaminkan bahawa kapal-kapal tersebut bebas daripada penderia pengintipan mereka, jaminan tersebut hanya sebaik masa aman sahaja. 

Patah Sayap Bertongkat Paruh

Daripada ucaptama Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob, boleh dibaca bahawa beliau membawa konsep patah sayap bertongkat paruh

Dalam keadaan TLDM serba kekurangan ini, sudah tentu TLDM perlu mengoptimumkan segala aset yang ada. Dan ini termasuklah menambahkan gigi kepada kapal-kapal kelas KERIS. 

Kredit gambar: TLDM

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.