Insiden Pengintipan Udara – Dari Perang Dingin ke Laut China Selatan
Ketika rencana ini ditulis, kita sudah melepasi dua minggu selepas Amerika Syarikat melemparkan tuduhan bahawa China telah menghantar sebilangan belon pengintipan ke dalam wilayah negara berkenaan untuk mengintip pangkalan-pangkalan tentera strategik negara berkenaan.
Pada 4 Februari 2023, Tentera Udara Amerika Syarikat telah mengambil tindakan untuk menembak jatuh belon pengintipan tersebut di kawasan perairan Carolina Selatan.
Tiga lagi pesawat terbang yang tidak dikenali dikesan dan ditembak jatuh dalam tempoh tiga hari berturut-turut tidak sampai seminggu selepas belon pertama ditembak jatuh.
Pada 17 Februari, Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah membuat kenyataan bahawa ketiga-tiga objek lain yang ditembak jatuh tidak mempunyai kaitan dengan insiden pertama dan berkemungkinan merupakan belon awam.
Sebagai rekod, ketiga-tiga objek berkenaan ditembak jatuh ketika dikesan pada ketinggian sekitar 20,000 kaki sehingga 40,000 kaki dan boleh menjadi ancaman kepada penerbangan awam.
Rencana ini ditulis dengan tujuan untuk melihat kejadian-kejadian lampau pengintipan aras tinggi berserta tindakan-tindakan yang diambil untuk menggagalkan percubaan pengintipan ini sama ada yang menggunakan belon pengintipan mahupun pesawat pengintip.


Penembakan Jatuh Pesawat U-2 Amerika Syarikat Dalam Ruang Udara USSR
Tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 menyaksikan kedua-dua Amerika Syarikat dan Union of Soviet Socialist Republics (USSR) cuba mendapatkan dominasi sedunia. Tindakan kedua-dua bekas sekutu dalam pihak Bersekutu menyaksikan perpecahan mereka berdasarkan garisan ideologi semasa Perang Dingin.
Pada asalnya, Amerika Syarikat telah mencadangkan supaya kedua-dua negara dibenarkan untuk membuat pengintipan aras tinggi secara bebas, tetapi cadangan tersebut telah ditolak oleh USSR.
Untuk meneruskan usaha mereka untuk melihat apa yang dibuat oleh USSR, Amerika Syarikat telah menghasilkan pesawat U-2 untuk penerbangan aras tinggi.

Pesawat yang dicipta oleh Lockheed Martin itu mendapat gelaran “Dragon Lady” dan ia berupaya untuk terbang setinggi 80,000 kaki atau 24,000 meter di atas paras laut.
Pesawat berkenaan dioperasikan oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan disamarkan sebagai pesawat di bawah milikan National Aeronautics and Space Administration (NASA).
Pada ketinggian 80,000 kaki, mereka beranggapan bahawa pesawat itu terbang terlalu tinggi untuk diterjah oleh pesawat Tentera Udara Soviet mahupun oleh peluru berpandu anti-udara. Tanggapan berkenaan merupakan satu kesilapan besar.
Francis Gary Powers
Pada 1 Mei 1960, juruterbang CIA bernama Francis Gary Powers berlepas dari Peshawar, Pakistan menggunakan sebuah pesawat U-2 dan memasuki ruang udara Soviet Russia tanpa kebenaran.
Tentera Udara Soviet menggerakkan pesawat Su-15 dan MiG-19 untuk menerjah pesawat U-2 berkenaan tetapi gagal. Kemudian, mereka menembak beberapa peluru berpandu darat ke udara jenis S-75 (kod NATO SA-2 Guideline) dan berjaya merosakkan pesawat U-2 berkenaan.
Malang bagi pihak Soviet, sebuah pesawat MiG-19 turut menjadi mangsa kepada peluru berpandu berkenaan dan mengorbankan juruterbang pesawat berkenaan.
Apabila menyedari bahawa pesawat berkenaan telah hilang, NASA telah mengumumkan bahawa mereke telah kehilangan sebuah pesawat ‘kaji cuaca’ di Russia dan juruterbang mereka telah terkorban.
Ini merupakan perangkap untuk memalukan Amerika Syarikat apabila mereka kemudiannya mengumumkan bahawa juruterbang Francis Gary Powers telah ditangkap setelah mereka menembak jatuh sebuah pesawat pengintipan Amerika Syarikat.

Juruterbang Francis Gary Powers dibebaskan beberapa tahun selepas insiden ini dalam program pertukaran pengintip yang berjaya ditangkap.
Pesawat U-2 USAF Ditembak Jatuh di Cuba
Ketika Krisis Peluru Berpandu Cuba, tentera Soviet yang dihantar ke Cuba telah berjaya menembak jatuh sebuah pesawat U-2 Tentera Udara Amerika Syarikat menggunakan peluru berpandu darat ke udara S-75.


Pesawat U-2 tersebut telah dihantar untuk mengintip pangkalan peluru berpandu nuklear yang pihak Soviet cuba bekalkan kepada rejim di bawah Fidel Castro. Juruterbang, Mejar Rudolph Anderson terkorban dalam kejadian tersebut.
U-2 Republic of China Ditembak Jatuh PLA
Selain Amerika Syarikat, Tentera Udara Republic of China (Taiwan) juga turut mengendalikan pesawat yang sama dengan sokongan daripada CIA. Pesawat berkenaan digunakan untuk mengintip kedua-dua Republik Rakyat China (PRC) dan Vietnam Utara.
Antara tahun 1961 sehingga 1974, sebanyak lima buah pesawat berkenaan telah ditembak jatuh oleh Tentera Rakyat Republik China, menyaksikan dua juruterbang terkorban dan tiga lagi telah ditangkap.
Pesawat MiG-25R Foxbat Tentera Udara India Mengintip Islamabad
Pada Mei 1997, sebuah pesawat MiG-25R Foxbat milik Tentera Udara India telah terbang di atas ruang udara Islamabad untuk mengambil gambar pangkalan tentera strategik di ibu negara Pakistan.
Setelah menyelesaikan misinya, juruterbang pesawat berkenaan mencabar Tentera Udara Pakistan dengan melakukan terjahan yang menghasilkan sonic boom di atas ruang udara Islamabad.
Tentera Udara Pakistan telah cuba menggerakkan pesawat F-16 mereka tetapi pesawat MiG-25R Foxbat berkenaan telah pun kembali ke ruang udara India.
Sebagai rekod, Tentera Udara India turut menggunakan pesawat yang sama bagi mengintip dan mengambil gambar pengkalan tentera penting milik China.
Mempertahankan Kedaulatan Ruang Udara
Tugas mempertahankan keselamatan ruang udara adalah tugas hakiki bagi mana-mana tentera udara. Oleh itu, adalah hak bagi sesebuah negara untuk menjatuhkan mana-mana ancaman daripada negara asing.
Tugas-tugas menghalang pencerobohan ini biasanya tamat tanpa diketahui ramai, tetapi ada kalanya berakhir dengan tragedi, sama ada kepada pasukan pertahanan mahupun penceroboh.
KAL-902
Pada 20 April 1978, sebuah pesawat Korean Air Line KAL-902 berlepas dari Paris ke Seoul melalui Anchorage, Alaska telah terbabas masuk ke dalam ruang udara Soviet Union kerana berlaku gangguan magnetik ke atas kompas di atas pesawat berkenaan.
Sebuah pesawat Su-15 Tentera Udara Soviet telah berjaya menerjah pesawat berkenaan. Apa yang berlaku seterusnya adalah sama ada suatu salah faham ataupun hasil daripada tindakan cuba menutup kesilapan masing-masing.
Pesawat Su-15 berkenaan telah melepaskan sebutir peluru berpandu jarak dekat, dipercayai dari jenis R-60. Letupan daripada peluru berpandu tersebut memaksa pesawat KAL902 untuk membuat pendaratan cemas dalam wilayah Russia.
Dua orang penumpang telah terkorban dalam kejadian berkenaan.
KAL-007
Pada 1 September 1983, sebuah lagi pesawat Korean Air Line, KAL-007 daripada jenis Boeing 747-230B dalam perjalanan dari Paris ke Seoul melalui Anchorage, Alaska secara tidak sengaja telah memasuki ruangan udara Soviet.
Tentera Udara Soviet telah menggerakkan dua buah pesawat Su-15 untuk memaksa pesawat berkenaan untuk mendarat. Ketua unit Su-15 berkenaan, Mejar Gennadiy Osipovich telah melepaskan 200 tembakan amaran sebelum diarahkan untuk menembak jatuh pesawat Boeing berkenaan.
Kesemua 23 kru dan 246 penumpang terkorban dalam kejadian ini. Sebagai rekod, seorang mangsa dikenalpasti sebagai rakyat Malaysia.
Rekod Soviet menunjukkan bahawa pesawat berkenaan telah ditembak jatuh selepas meninggalkan ruangan udara Soviet dan telah terhempas di dalam perairan antarabangsa.

Dalam apa yang mungkin ditafsirkan sebagai percubaan untuk menutup kesilapan mereka, Soviet Union telah berusaha untuk mengganggu operasi mencari dan menyelamat.
Hanya selepas beberapa hari barulah mereka mendedahkan bahawa mereka yang bertanggunjawab menembak jatuh pesawat malang berkenaan.
PLA Navy Mengherdik Pesawat EP-3 Aries II Tentara Laut AS Berkaitan Hainan
Pada 1 April 2001, tentera laut China (PLA Navy) telah mengesan kehadiran sebuah pesawat pengintip Lockheed EP-3 Tentera Laut Amerika Syarikat pada kedudukan 70 batu dari Pulau Hainan. PLA Navy bertindak menggerakkan dua buah pesawat J-8 untuk mengherdik pesawat berkenaan.
Ketika pesawat-pesawat tersebut bertembung, salah sebuah pesawat J-8 telah terbang terlalu hampir kepada pesawat EP-3 berkenaan dan pertembungan ini mengakibatkan sayap pesawat berkenaan telah patah.
Juruterbang pesawat J-8 tersebut, Lt Komander Wang Wei terpaksa menggunakan kerusi lenting dan kali terakhir dilihat di atas permukaan Laut China Selatan. Status rasmi beliau adalah dianggap sebagai terkorban.

Kerosakan pada pesawat EP-3 tersebut memaksa pesawat tersebut untuk mendarat di Pulau Hainan. Kedua-dua kru dan pesawat berkenaan kemudiannya dipulangkan kepada Amerika Syarikat, dengan pesawat berkenaan dipercayai telah diperiksa sepenuhnya oleh perisikan China.
Krisis Hari Ini
Krisis penembakan jatuh belon yang disyaki sebagai belon pengintipan China cumalah satu daripada insiden pesawat pengintipan aras tinggi dalam sejarah dunia. Kedua-dua pihak sepatutnya sedar bahawa akan ada kesan timbal balas akibat tindakan masing-masing.
Dan mereka juga tidak perlu berpura-pura terkejut sekiranya pihak yang diintip akan mengambil tindakan untuk menembak jatuh pesawat pengintipan mereka.
Besar kemungkinan bahawa mereka sebenarnya menyedari bahawa mereka juga akan melakukan perkara yang sama sekiranya mereka berada dalam kedudukan yang sama.
Oleh itu, kita berharap bahawa keadaan akan kembali normal.

Danny Liew
Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.