BeritaEksklusifIndustri

Gading Marine Industry Dianugerahkan Kontrak MRO dari Damen

Kongsi di

Damen Shipyards dari Belanda yang mendapat kontrak dari Penang Port Sdn Bhd untuk membina empat feri bagi menggantikan armada feri sekarang telah melantik Gading Marine Industry sebagai rakan kongsi tempatan rasminya untuk menyelenggara feri ini sebaik sahaja ia beroperasi menjelang pertengahan 2023.

Majlis menandatangani Kontrak telah dilakukan di Gading Marine Shipyard di Kg Acheh, Sitiawan, Perak pada Feb 9.

Damen dan Gading Marine Industry yang telah terlibat secara aktif dalam industri pembinaan kapal di Wilayah Asia Tenggara memperuntukkan Kontrak ini sebagai blok permulaan untuk kerjasama yang lebih besar dalam masa terdekat. Melalui Kontrak ini, Damen akan menyediakan pakej latihan untuk kakitangan Gading Marine Industry sebagai sebahagian daripada proses penyediaan.

Bastin Kubbe, Pengurus Perkhidmatan Serantau Damen (Asia Pasifik) menyatakan bahawa pakej latihan itu adalah komitmen mereka bukan sahaja untuk membina keupayaan Gading Marine Industry, tetapi juga sebagai sokongan berterusan kepada industri pembinaan kapal Malaysia. Tambahnya, ia bukan sahaja mengenai keuntungan, tetapi juga mengenai pembangunan industri tempatan.

“Kerjasama antara Damen dan Gading telah dimulakan kira-kira 3 tahun lalu. Kami telah bekerjasama sejak itu dan berhasrat untuk meneruskan pada masa hadapan untuk kemungkinan projek di Malaysia serta rantau ini. Kami percaya bahawa kedua-dua Damen dan Gading berkongsi matlamat yang sama iaitu untuk menyampaikan produk berkualiti kepada Pelanggan kami mengikut bajet dan masa yang diberikan”, tambahnya.

Damen Menjadi Pilihan Asia Tenggara

Sebagai rekod, Damen dan Gading Marine Industry bersama-sama mengambil bahagian dalam Pameran Defence Services Asia (DSA) pada Mac 2022 dalam mempromosikan produk mereka kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan pasukan keselamatan lain di rantau ini.

Gading Marine Industry dan Damen berminat untuk menyertai program Littoral Mission Ship bac kedua TLDM dan menawarkan kapal berasaskan kelas SIGMA 9113 dengan panjang 92 meter. Kapal yang ditawarkan lengkap bersenjata dan mungkin akan dibina sepenuhnya di Damen Shipyards.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebelum ini telah memilih kelas Damen OPV 1800 untuk dijadikan asas kepada OPV 1 dengan panjang 83 meter yang dibina TH Heavy Engineering (THHE) di pelabuhan Klang. Mengikut laporan 2022 majlis penyerahan kapal OPV 1 kepada Maritim Malaysia akan dibuat pada awal tahun 2023. Kapal ini akan dikenali sebagai kapal OPV kelas TUN FATIMAH.

OPV 1 untuk Maritim Malaysia

Damen terlibat dalam beberapa projek di Asia Tenggara termasuk menawarkan Landing Platform Dock kelas ENFORCER, korvet dan Offshore Patrol Vessel (OPV) kepada Tentera Laut Filipina di bawah keperluan yang digariskan dalam fasa program Horizon 2.

Damen di Vietnam dan Indonesia

Mengambil pengajaran dari insiden KRI NANGGALA TNI AL, Vietnam pula telah membangunkan kapal menyelamat kapal selam (submarine rescue ship) berasaskan Damen Rescue Gear MSSARS 9316. Kapal ini dibina di Factory Z198 milik Vietnam dan telah diterima oleh tentera laut Vietnam pada 30 Julai 2021. Kapal ini dinamakan YET KIEU (927). Vietnam mengoperasikan enam kapal selam kelas KILO (Project 636) iaitu antara angkatan kapal selam terbesar di Asia Tenggara.

YET KIEU (927)

Indonesia pula mengoperasikan empat kapal korvet dari kelas DIPONEGORO berasaskan SIGMA 9113, dan dua kapal frigat kelas MARTADINATA berasaskan SIGMA 10514. Kapal korvet kelas DIPONEGORO dilengkapi dengan sistem senjata MM40 Exocet Block III, manakala kapal frigat kelas MARTADINATA dilengkapi dengan sistem senjata MM40 Exocet Block III, VL-MICA dan Rheinmetall Millennium CIWS.

Sumber: Gading Marine Industry
Foto: MaxDefense Philippines, Mighty War FB, Khairul Anuar Ahmad Zainudin FB

#gadingmarineindustri

#damen

#MajalahPerajurit

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.