EksklusifSejarah

TLDM – Impian Blue Water Navy, Realiti Green Water Navy

Kongsi di

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyambut ulang tahun ke-88 nya pada tahun ini. Angkatan laut yang telah ditubuhkan pada tahun 1934 ini gah dengan mottonya “Sedia Berkorban”.  

Ini bukanlah suatu cakap kosong dan kesediaan warga Navy People untuk berkorban dalam perjuangan untuk mempertahankan negara telah dibuktikan berkali-kali dalam pelbagai penugasan dan operasi sejak ia mula ditubuhkan, semasa Konfrontasi, menghadapi ancaman semasa peperangan di Indochina sehinggalah sekarang.

Impian Menjadi Blue Water Navy

Tentera Laut Diraja Malaysia telah menyasarkan untuk menjadi blue water navy atau sebuah angkatan laut yang mampu menjalankan operasi secara sendiri di laut lepas ataupun laut dalam melepasi pelantar benua sejak sekitar penghujung 1990an.

Impian ini selari dengan hasrat kerajaan ketika itu untuk memodenkan angkatan tentera melalui pelan PERISTA.

Antara kapal tempur yang diperolehi oleh TLDM dalam era 1990an termasuk:

  • Korvet Kelas LAKSAMANA yang ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM bermula pada tahun 1997;
  • Frigat Kelas LEKIU yang ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM juga pada tahun 1997.

Antara rancangan yang dilaksanakan oleh pucuk pimpinan TLDM ialah menggantikan 18 buah kapal peronda 31 meter Kelas KERIS yang dibina oleh Vosper Ltd yang telah berkhidmat sejak tahun 1960an dengan kapal peronda luar pesisir generasi baru (Next Generation Patrol Vessel atau NGPV) yang lebih canggih, panjang, mampu dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan dan mampu beroperasi lebih lama pada jarak yang lebih jauh.

Rancangan awal ialah untuk membina 27 kapal kelas ini (yang kemudian dikenali sebagai Kelas KEDAH) untuk membolehkan TLDM mempunyai armada yang moden dan berkemampuan tinggi.

Namun, oleh kerana masalah pengurusan, program ini mengalami kelewatan dan akhirnya kerajaan memutuskan projek ini tamat dengan enam kapal sahaja.

Di sinilah bermulanya cabaran kepada impian TLDM untuk menjadi blue water navy, iaitu dengan kegagalan projek NGPV untuk disiapkan mengikut tempoh dan kos yang dirancangkan.

Malah boleh dikatakan kegagalan program ini telah menyumbang secara langsung kepada kegagalan projek seterusnya iaitu projek Littoral Combat Ship atau LCS.

Kapal peronda luar pesisir Kelas KEDAH dalam satu eksesais. Kapal ini dibina dengan konsep FFBNW (fitted for but not with). Kredit foto: TLDM

Kegagalan Projek LCS

Baru-baru ini negara dikejutkan dengan kegagalan projek LCS yang didedahkan melalui penerbitan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada Ogos 2022.

Walaupun sebenarnya isu ini sebenarnya sudah lama diketahui oleh komuniti pemerhati pertahanan kerana sebenarnya kapal pertama projek LCS iaitu MAHARAJA LELA dijadualkan untuk memasuki perkhidmatan pada tahun 2019 namun pendedahan melalui laporan tersebut telah membuka mata masyarakat umum tentang masalah yang dihadapi oleh TLDM dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Antara faktor yang dikatakan menyumbang kepada kegagalan projek LCS ini untuk menepati tempoh dan kos yang ditetapkan ialah:

  • Penghentian projek ini pada tahun 2018 selepas pertukaran kerajaan yang memerintah;
  • Sebahagian wang yang diperuntukkan untuk projek ini telah digunakan untuk membayar vendor projek NGPV.

Adakah wajar menggunakan wang yang diperuntukkan untuk projek yang masih berjalan untuk membayar hutang projek sakit sebelum ini, yang sebenarnya turut “diselamatkan” oleh kerajaan melalui pengambil-alihan syarikat?

Adakah ini bermakna kerajaan sekali lagi perlu “menyelamatkan” kontraktor utama melalui penganugerahan satu lagi projek dengan harga berkali ganda?

Kapal misi littoral kelas KERIS baru. Kapal ini hanya dilengkapi dengan meriam 30mm. Kredit foto: TLDM

TLDM Memerlukan Kapal Dengan Kadar Segera

Siapa pun yang bersalah dalam hal ini, yang pasti, yang menjadi mangsa ialah warga Navy People yang perlu ke laut menyabung nyawa dengan kapal-kapal tempur yang berusia di antara 25 tahun hingga 50 tahun, malah boleh dikatakan banyak kapal di dalam TLDM sekarang ini mempunyai pegawai memerintah yang lebih muda dari kapal yang diperintahnya.

Dan dengan kegagalan berganda projek NGPV dan projek LCS oleh kontraktor utama yang sama, maka terbantutlah impian TLDM untuk menjadi blue water navy yang telah dirancang sejak kira-kira 30 tahun yang lalu.

Kapal Kelas JERONG yang masih menabur bakti. Kredit foto: TLDM
:

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.

M Hanif Ismail

M Hanif Ismail telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan secara rasmi sejak 2007 dan kini merupakan Editor Perajurit. Topik yang diminati termasuk sejarah dan teknologi ketenteraan.