BeritaEksklusifIndustriKomunitiSejarah

Poland – Titik Hitam Sejarah Dunia

Kongsi di

Meriah! Perkataan yang paling sesuai untuk mengungkapkan kontrak-kontrak perolehan negara bekas Tirai Besi ini dalam tempoh masa kebelakangan ini.

Segar daripada pembelian 250 unit kereta kebal utama Abrams M1A2 SEPv3 daripada Amerika Syarikat, negara tersebut terkini baharu sahaja menandatangani pembelian 180 unit kereta kebal utama K2 Black Panther berserta 670 unit howitzer bergerak sendiri (SPH) K9 Thunder dan 48 unit pesawat tempur ringan FA50 Light Combat Aircraft (LCA) daripada Korea Selatan.

Dengan kereta kebal daripada Amerika Syarikat, Korea Selatan, Jerman (Leopard 2A4 dan A5), dan malahan kereta kebal utama buatan tempatan (PT-91), Poland dijangka menjadi kuasa besar ketenteraan darat di benua Eropah.

Kenapa Poland, negara yang suatu ketika dahulu pernah menjadi ibu pejabat kepada Pakatan Warsaw begitu beriya-iya memperbesarkan kekuatan ketenteraannya pada hari ini?  

Apakah negara berkenaan begitu ‘teruja’ untuk berhadapan dengan bekas sekutunya, Rusia? 

Sekiranya anda beranggapan bahawa tindakan Poland memperbesarkan angkatan tenteranya hari ini sambil pada masa sama mempersenjatakan Ukraine untuk berhadapan dengan Rusia adalah hasil hasutan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), maka anda adalah salah. 

Di sebalik pembelian kelengkapan perang oleh Poland berserta tindakan Poland membekalkan Ukraine aset ketenteraan dan bahan-bahan lain, Poland menyimpan titik hitam yang amat tragik dalam sejarah peradaban dunia.

1 September 1939: Tajuk utama dalam akhbar The Star pada hari Jumaat, 1 September 1939, mengumumkan pencerobohan Poland dan pengerahan tentera British dan Perancis. (Foto oleh Arkib Hulton / Getty Images)

Tersepit Antara Dua Kuasa

Secara geografi, negara berkenaan tersepit antara dua bangsa, yakni Jerman dan Rusia.  

Perang antara bangsa-bangsa ini dengan Poland tersepit di tengah-tengah meletup menjadi tragedi yang terlalu sukar diungkapkan apabila Nazi Jerman menyerang dan menawan negara tersebut pada 1 September 1939.

Tidak cukup dengan serangan daripada Jerman, pada masa sama negara berkenaan diserang dari belakang oleh Tentera Merah Kesatuan Soviet Rusia.

Serangan yang terlalu sukar dibendung itu tamat dalam tempoh masa tak sampai dua bulan.

Serangan ke atas Poland itu berlaku biarpun ketika itu, Poland mendapat jaminan bahawa Britain dan Perancis akan membantu mempertahankan Poland daripada ancaman Jerman. 

Namun, janji tinggal janji dan Poland gagal membendung serangan Jerman berserta sekutu-sekutunya.  

Daripada 1939 sehingga tamatnya Perang Dunia Kedua di Eropah pada Mei 1945, seramai enam juta rakyat Poland, atau hampir 20% daripada rakyat Poland sebelum tercetusnya perang menjadi korban kepada kerakusan perang.

Tragedi Pembunuhan Katyn

Antara tragedi yang cukup pedih di Poland adalah pembunuhan beramai-ramai Katyn di mana 14 ribu askar Poland berserta sekitar 8 ribu golongan bijak pandai yang menjadi tawanan perang telah dibunuh oleh Tentera Rusia yang ketika itu bersekutu dengan Jerman. 

Pembunuhan beramai-ramai itu merupakan antara kekejaman yang dilakukan oleh Tentera Merah Rusia terhadap warga Poland ketika itu. 

Kekejaman Tentera Merah Rusia itu terbongkar ke seluruh dunia selepas OPERASI BARBAROSSA dilancarkan Jerman terhadap Rusia, di mana kerajaan Nazi Jerman membuat pendedahan terjumpanya kubur mangsa pembunuhan tersebut Hutan Katyn .

Namun, pendedahan yang dibuat oleh kerajaan Nazi Jerman itu bukanlah untuk mendapatkan keadilan untuk mangsa-mangsa berkenaan tetapi untuk dijadikan propaganda kenapa Jerman berperang melawan Rusia.

Tragedi Auschwitz

Selepas Poland dikuasai Nazi Jerman, negara berkenaan menjadi tapak kepada kem-kem tahanan Auschwitz di mana Holocaust menjadi kenyataan.

Berhasilan daripada polisi Final Solution, atau Penyelesaian Terakhir, dipercayai 1.1 juta mangsa yang terdiri daripada warga Yahudi Eropah, puak Gipsi, Romani, dan tawanan perang Tentera Merah Rusia menemui maut di kem-kem tahanan Auschwitz.  

Jumlah 1.1 juta ini adalah antara sejumlah 6 juta mangsa Holocaust yang terkorban dalam kem-kem tahanan serupa di seluruh Eropah.

1944: Pada tahun 1944 Poland bangkit menentang Nazi di Warsaw, mengetahui bahawa Tentera Merah hanya berjarak sembilan batu. Tetapi orang Rusia yang telah menyeru untuk pemberontakan, berhenti dan meninggalkan Poland untuk berperang sendirian. Anggota Tentera Home Army Poland, memakai pakaian seragam Jerman yang ditawan, dengan jalur lengan merah dan putih dalam warna Poland, menembak milikan paling berharga mereka, senapang mesin. Terbitan Asal: Catatan Gambar – 9259 – Pictures from the Grave – terbitan 1957 (Foto oleh Picture Post / Arkib Hulton / Getty Images)

Tragedi Kebangkitan Warsaw

Tidak cukup dengan pembunuhan Katyn dan tragedi di kem-kem tahanan Auschwitz, ibu kota Poland, iaitu Warsaw menyaksikan kebangkitan berdarah wargs-warga Poland menentang pendudukan Nazi Jerman.

Home Army Poland, iaitu pergerakan penentangan bawah tanah serupa dengan pergerakan Maquis Perancis bertindak melancarkan serangan untuk menawan balik negara mereka daripada tangan Nazi Jerman pada 1 Ogos 1944.

Namun, kebangkitan tersebut menemui kegagalan di tangan Tentera Wehrmacht dan Tentera SS. 

Memburukkan keadaan adalah SS Nazi yang berada di Warsaw ketika itu adalah dari ketumbukan Dirlewanger Brigade yang diketuai SS-Oberführer Dr Oskar Dirlewanger. 

Kerajaan Poland Bebas dalam buangan di Britain bekerja keras merayu bantuan daripada kerajaan-kerajaan Berikat namun gagal kerana bantahan daripada Rusia, atas alasan tindakan Home Army Poland itu adalah semberono.

Malahan, permintaan Briged Payung Terjun Poland Bebas Pertama di bawah pimpinan Mejar Jeneral Stanisław Sosabowski untuk diberi kebenaran untuk diterjunkan di Warsaw untuk membantu rakan-rakan seperjuangan mereka dihalang.

Peranan Rusia dalam menggagalkan kebangkitan Warsaw diburukkan dengan tindakan Tentera Merah Rusia yang dikatakan sengaja berhenti di luar bandar raya Warsaw pada minggu pertama kebangkitan itu. 

Tindakan tersebut dikatakan di atas arahan Joseph Stalin kerana kebangkitan Warsaw itu dipelopori oleh Home Army yang berpaksikan kepada kerajaan Poland dalam buangan.

Biarpun pada hari ini, pandangan ini disanggah oleh ahli sejarah Perang Dunia Kedua, pandangan rakyat biasa Poland masih beranggapan bahawa kebangkitan tersebut telah disabotaj oleh Rusia, khususnya oleh Joseph Stalin.

Tragedi Kebangkitan Warsaw menyaksikan hampir 21 ribu anggota Home Army dan pasukan penentang Poland terkorban dengan seramai 200 ribu orang awam dibunuh dalam kempen penghapusan dari rumah ke rumah oleh anggota SS.

Hampir 85% bandar raya bersejarah Warsaw turut dimusnahkan bagi menghancurkan penentangan warga Poland.

Penjajahan Komunis Selepas Perang Dunia Kedua

Keluar daripada mulut buaya, masuk ke mulut harimau. Begitulah ibarat nasib Poland. Apabila Tentera Merah Rusia mengusir Tentera Jerman Nazi dari Poland, mereka bukan masuk sebagai pembebas. 

Dengan Tentera Home Army musnah ketika Kebangkitan Warsaw, giliran Rusia pula menjajah Poland. Walaupun Poland ditadbir oleh Parti Komunis Poland, tetapi hakikatnya parti tersebut berkiblat Moscow.

Tindakan penindasan golongan pro-demokrasi berlaku hampir serta-merta. Ini memaksa ramai warga Poland sekali bangkit mengangkat senjata untuk menentang saudara mereka sendiri yang berpegang kepada fahaman komunis. 

Penentangan ini berlanjutan seawal November 1944 sehingga tahun 1956, dengan memakan korban seramai 8,700 puak penentang dalam pertempuran bersama-sama 12 ribu warga Poland pro-komunis. 

Seramai 5 ribu lagi anggota puak penentang dihukum bunuh, dan 21 ribu lagi menjadi korban dalam tahanan di Siberia.  Pada masa sama, seramai 10 ribu orang awam turut terkorban. 

Ramai antara yang terkorban adalah wira-wira perang Poland semasa era Perang Dunia Kedua. Poland hanya akan mengecapi kemerdekaan sepenuhnya apabila Tirai Besi tumbang.

Tragedi Kebangkitan menentang komunis ini hanya diiktiraf pada tahun 2001. Bermula tahun 2011, 1 Mac diiktiraf sebagai Hari Peringatan Tentera Disumpah, yakni memperingati mereka yang terkorban menentang penjajahan komunis.

Kesimpulan

Menelusuri sejarah Poland, sudah pasti akan memahami tindakan Poland menaikkan perbelanjaan pertahanan mereka ke 3% Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mereka berserta dengan pembelian aset-aset perang ini. 

Kerana Poland amat menghargai kebebasan mereka. Mereka sedar dan ingat lagi tragedi-tragedi berdarah yang mereka terpaksa lalui akibat kegagalan terdahulu, khususnya bergantung kepada bantuan kuasa luar.

Malangnya, pengalaman berdarah Poland ini pula tidak menginsafkan Malaysia.  Pentadbiran demi pentadbiran telah gagal memastikan Angkatan Tentera Malaysia berdaya untuk mempertahankan negara dengan memodenkan pasukan berkenaan. 

Malahan, bukan sahaja pentadbiran-pentadbiran ini mempolitikkan perbelanjaan pertahanan, mereka telah gagal memantau pemerolehan pertahanan yang telah dibuat sehingga timbulnya isu kapal kelas MAHARAJA LELA yang belum dapat disiapkan. 

Lebih memburukkan, kita berjaya memastikan pokok pisang berbuah dua kali.

Dengan sikap Malaysia yang terlalu bergantung terhadap diplomasi sebagai senjata pertahanan kita, sejarah telah berulang kali membuktikan bahawa pergantungan terhadap bantuan ketenteraan kuasa luar adalah tindakan yang amat tidak bijak, dan Poland telah menerima tempias buruk polisi pertahanan ini. 

Tetapi dengan Perang Ukraine – Rusia ini telah merungkaikan kembali sempadan dunia kepada paksi Barat dan Rusia, apakah kita sudah terlambat mengorak langkah mengukuhkan persediaan kita?

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.