EksklusifKomuniti

Isu Veteran: Survivabiliti Selepas Persaraan

Kongsi di

Umum mengetahui bahawa perkhidmatan bersama pasukan tentera baik Tentera Darat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mahupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tertakluk kepada kontrak perkhidmatan selama 12, 15 ataupun 18 tahun disamping umur persaraan wajib yang telah ditetapkan.

Dalam tempoh persediaan persaraan ini, anggota akan dibekalkan dengan kursus peralihan untuk persediaan menghadapi kehidupan selepas ketenteraan.

Latihan yang disediakan kebanyakannya adalah berbentuk amali atau berdasarkan kemahiran, sebagai contoh ada anggota yang menghadiri kursus juru elektrik yang dikendalikan oleh Perbadanan Hal Ehwal Bekas Tentera (PERHEBAT).

Durasi program ini selalunya adalah singkat dan tidak melebihi 12 bulan.

Seperti pengalaman penulis sendiri semasa menghadiri Latihan Askar Wataniah di salah sebuah kem di Pantai Timur Semenanjung. Jurulatih dan anggota yang ditempatkan kebanyakannya adalah anggota tetap yang menunggu masa untuk menamatkan perkhidmatan,selalunya dua tahun sebelum.

Salah seorang jurulatih penulis berpangkat Sarjan menghadiri kursus Juru Elektrik dan beliau merupakan anggota infantri dari unit Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD). Sepanjang pengamatan penulis, beliau banyak menghabiskan masa bersama unit wataniah dengan menguruskan latihan.

Disini penulis tidak nampak peluang untuk beliau mempraktikkan pembelajaran beliau di dalam kursus semasa di dalam perkhidmatan tentera mengenangkan beliau bukanlah dari unit pakar atau jurutera.

Apa yang hendak penulis timbulkan disini adalah, adakah sistem persediaan persaraan kita mencukupi?

Sejumlah 379 anggota tentera hadir ke Sesi Temuduga Latihan Peralihan PERHEBAT bagi Pengambilan Sesi Januari 2023.

Veteran ATM Berhimpun

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan perhimpunan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menuntut hak dari Kementerian Pertahanan (KEMENTAH) berkaitan kebajikan mereka yang terkesan dengan tekanan ekonomi walaupun tidak dinafikan ada unsur politik yang di sebalik gerakan tersebut.

Akan tetapi tidak boleh dinafikan ianya satu petanda yang membimbangkan dan menunjukkan satu petanda insecurity.

Ini kerana dari pengamatan penulis, rata-rata anggota lain-lain pangkat (LLP) memilih untuk bersara awal.

Persaraan awal ini sebenarnya membawa impak buruk sekiranya seseorang anggota tidak bersedia menghadapi kehidupan selepas perkhidmatan dan hanya bergantung kepada pencen semata-mata.

Jika dilihat di sekeliling kita terdapat ramai Pengawal Keselamatan adalah daripada bekas anggota tentera, bukan tujuan penulis untuk menjatuhkan taraf pekerjaan tersebut tetapi di sini kita boleh lihat kegagalan sistem persediaan persaraan yang disediakan.

Dari penglihatan penulis, majoriti mereka datang dari unit infantri bukan pakar. Bukan pakar disini bermaksud mereka bukanlah dari Unit Jurutera ataupun Tukang Masak di bawah Kor Perkhidmatan Diraja (KPD) sebagai contoh.

Bagi mereka yang datang dari unit pakar ini kebanyakan di antara mereka tidak mempunyai masalah untuk memulakan perniagaan sendiri seperti menjadi kontraktor ataupun menyediakan perkhidmatan katering.

Ini kerana mereka telah mempunyai pengalaman tersedia sepanjang perkhidmatan yang mana sepanjang tempoh itu mereka berhadapan pelbagai senario berkaitan bidang tersebut yang menjadikan mereka pakar dan survivabiliti mereka di dunia awam terjamin disebabkan permintaan ke atas kepakaran tersebut.

Pihak JHEV ATM membuat membuat lawatan siasatan Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada veteran / balu secara berkala dalam usaha menjaga kebajikan veteran.

Gig Economy Untuk Veteran?

Pada 23 Jun 2022 Panglima Tentera Laut Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany telah menyarankan bahawa veteran ATM untuk menyertai ‘Gig Economy’ untuk menjana pendapatan lumayan.

Sekali lagi Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) telah dipertanggungjawabkan untuk bekerjasama bersama dua syarikat swasta tempatan untuk tujuan ini.

Namun di sini tiada tatacara khusus yang ditekankan oleh ATM untuk anggota mereka menghadapi kehidupan selepas persaraan.

Anggota masih lagi diberi tugas berkaitan ketenteraan walau bukan sepenuhnya dan konsep latihan atau kursus yang diberikan adalah tidak mencukupi kerana umum tahu kursus atau jurusan berkaitan kemahiran ini memerlukan latihan amali yang mencukupi untuk seseorang itu bersedia atau digelar sebagai pakar.

Selain itu, anggota ini hanya menghadiri kursus tersebut dalam tempoh yang singkat tanpa ada latihan industri untuk mereka mempraktikkan ilmu yang telah dipelajari.

Secara jujurnya ketika anggota menghadapi keadaan ini mereka sudah berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun. Di mana mereka keluar ke dunia awam tanpa sebarang pengalaman pekerjaan dunia awam pada umur tersebut!

Jangan lupa mereka juga perlu bersaing untuk merebut pekerjaan dalam bidang tersebut bersama graduan pengajian awam dan kolej teknikal yang lain dan ini masih belum mengambil kira persaingan dari buruh asing yang sanggup bekerja dengan bayaran di bawah kadar pasaran.

Disebabkan ini juga kebanyakan anggota akan menghadapi masalah keyakinan diri disebabkan kegagalan mendapatkan pekerjaan.

Ada di antara mereka juga tidak yakin untuk bergerak sendiri kerana pengalaman yang mereka ada adalah tidak berkaitan dan apa yang mereka boleh berikan adalah sijil penyertaan untuk kursus yang mereka duduki untuk tiga bulan!

Pengarah Urusan The Weststar Group, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim semasa melawat Weststar Aviation Services di Miri pada Julai 2020. Tan Sri Dr Syed Azman merupakan antara contoh veteran tentera yang berjaya dalam perniagaan.

Keadaan Ekonomi Yang Tidak Menentu

Masalah ini membawa kepada insecurity kepada anggota tersebut ditambah dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu mereka akan merasakan seperti tidak dihargai dan mengharapkan bantuan dari pihak berwajib untuk menjamin kemandirian mereka di dalam dunia awam yang serba mencabar.

Ini membawa persepsi bahawa bekas anggota tidak mampu berdikari di kalangan masyarakat awam.

Oleh itu pada pandangan penulis, KEMENTAH bersama JHEV dan PERHEBAT boleh bekerjasama dan menyediakan modul khas seperti Skim Latihan 1 Malaysia (SL1M) anjuran Kementerian Sumber Manusia untuk membantu graduan mendapat pekerjaan dengan memberikan pengalaman dunia sebenar.

Di sini anggota yang mahu menamatkan perkhidmatan boleh diberikan peluang seperti SL1M pada tahun terakhir perkhidmatan. Ini juga dapat mengurangkan tekanan kepada anggota dalam persediaan sebagai orang awam di kemudian hari.

Ini juga dapat menerapkan sedikit konsep korporat yang mana mengamalkan ‘Garden Leave’ untuk yang berjawatan tinggi dengan tujuan dapat menjaga rahsia syarikat dari jatuh ke tangan pesaing, akan tetapi ini lebih kepada persediaan anggota itu sendiri dan tidak berkait dengan faktor keselamatan negara.

Jika cadangan ini dipraktikkan penulis percaya ianya dapat mengubah lanskap kehidupan veteran ATM menjadi lebih mapan dan berdaya saing.

Peningkatan ekonomi veteran juga dapat meningkatkan ekonomi negara yang mana daya tenaga sumber manusia dan peningkatan kuasa membeli akan dapat diterjemahkan dalam bentuk perolehan dalam negara kasar dan cukai untuk negara.

Perkara ini perlu dihalusi supaya usaha yang digerakkan untuk membantu anggota yang hendak bersara ini bukanlah seperti melepaskan batuk di tangga.

Mohd Amirul Asraf

Beliau berasal dari Johor dan merupakan seorang graduan kewangan dari Universiti Tenaga Nasional. Berkhidmat sebagai perunding IT dan juga merupakan seorang anggota simpanan Wataniah. Hidup bahagia bersama dua cahaya mata dan seorang isteri.

Mohd Amirul Asraf

Beliau berasal dari Johor dan merupakan seorang graduan kewangan dari Universiti Tenaga Nasional. Berkhidmat sebagai perunding IT dan juga merupakan seorang anggota simpanan Wataniah. Hidup bahagia bersama dua cahaya mata dan seorang isteri.