BeritaEksklusifIndustriKomunitiSejarah

Kemelut LCS – Apa Nasib KD MAT KILAU?

Kongsi di

Kehebatan Mat Kilau

Kehebatan filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan arahan Syamsul Yusof yang mencipta sejarah apabila sehingga kini telah mencapai kutipan melebihi RM90 juta sejak ditayangkan pada 23 Julai lalu masih menjadi perbualan masyarakat

Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan dikatakan berjaya mencipta fenomena kerana digarap dan dihasilkan bersandarkan kisah perjuangan pahlawan Melayu Pahang itu yang kini mencetuskan aura kebangkitan semangat patriotik.

Ramai dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda terus bercakap-cakap tentang keperwiraan pahlawan Melayu ini atau nama sebenarnya Mat Kilau bin Imam Rasu, anak kelahiran Kampung Pulau Tawar, Jerantut, Pahang.

Malangnya, kehebatan pahlawan Melayu terbilang ini yang digambarkan pada layar perak sehingga menjadi kekaguman khalayak tidak sama dengan nasib kapal perang dinamakan sebagai KD MAT KILAU yang sepatutnya turut menjadi kebanggan negara.

Kekaguman pada kehebatan sosok Mat Kilau yang ‘garang’ menangkis dengan tindakan berani menerobos pihak lawan sepatutnya turut tertonjol pada KD MAT KILAU sekiranya kapal perang itu siap.

KD MAT KILAU, dengan nombor pennant 2506 adalah kapal tempur pesisir (LCS) terakhir dalam kelas MAHARAJA LELA.

Segah namanya, KD MAT KILAU jika siap sepatutnya telah belayar megah mengibarkan Jalur Gemilang untuk menghalau musuh yang cuba mengganggu gugat perairan negara.

Kekuatan LCS KD MAT KILAU dengan sistem pertahanan empat dimensi ini mempunyai daya tahan lasak mengatasi ancaman elektronik, udara, darat dan air serta sistem pengurusan peperangan yang terkini wajar digeruni.

Tinjauan fizikal Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara ke atas kapal LCS KD MAHARAJA LELA di Lumut.

Projek LCS Yang Penuh Kontroversi

Projek LCS yang terpalit kontroversi apabila masih gagal disiapkan mengikut jadual sehingga kini terus mendapat perhatian rakyat yang mahu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memiliki aset-aset moden dan kuat demi menjaga kedaulatan negara.

Bagaimana pun, hingga kini tiada satu pun LCS disiapkan dan diserah kepada TLDM walaupun kontrak yang dimeterai pada Januari 2014 menggariskan bahawa LCS pertama sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada April 2019.

Pembinaan kapal-kapal kelas MAHARAJA LELA ini merupakan antara kapal baharu yang sepatutnya melengkapi armada TLDM menerusi Pelan Transformasi 15 Kepada 5.

KD MAHARAJA LELA (2501) sepatutnya siap pada 2017 sebelum dilanjutkan pada 2019 bagi membolehkan kapal perang termoden dalam armada TLDM ini menyertai Pameran Udara dan Maritim Langkawi (LIMA 2019) pada masa itu. Malangnya ia gagal siap.

Kapal kedua dalam kelas ini pula ialah KD SYARIF MASAHOR (2502), KD RAJA MAHADI (2503), KD MAT SALLEH (2504), KD TOK JANGGUT (2505) dan terakhir, KD MAT KILAU. 

Bagaimana pun, KD MAHARAJA LELA dan KD SYARIF MASAHOR dikatakan telah pun siap pada kadar lebih 50 peratus, manakala tiga kapal lain pada angka 36 hingga 53 peratus.

Malangnya, tiada kerja-kerja pembinaan dilakukan pada KD MAT KILAU sepanjang tempoh tersebut, ini bermakna kapal tersebut belum lagi dibina.

Kapal kelas Gowind, AL AMARAT milik Tentera Laut UAE yang dalam pembinaan. Kegagalan LCS TLDM disiapkan tidak wajar berlaku.

Mengecewakan Rakyat

Kegagalan pembinaan LCS bukan sahaja mengecewakan rakyat yang mahukan negara memiliki keupayaan maritim yang jitu, malah sangat dirasai dalam kalangan veteran TLDM.

Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada Boustead Naval Shipyard (BNS) oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Mindef) dan sejumlah RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal berkenaan secara serentak.

Ironinya, kapal pertama, KD MAHARAJA LELA telah dilancarkan pada 24 Ogos 2017 yang disempurnakan oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim sambil disaksikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin  Muizzuddin Shah di Dermaga BNS di Pangkalan TLDM Lumut.

Semasa pelancaran tersebut, Menteri Pertahanan waktu itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam ucapannya berkata, pelancaran kapal itu membuktikan keupayaan dan kemampuan anak tempatan untuk bersaing dalam industri berat.

Kapal tempur terbesar dalam armada TLDM itu nanti mempunyai reka bentuk halimunan dan sukar dikesan menerusi radar. Ia juga memiliki keupayaan peperangan empat dimensi serta sistem pengurusan peperangan yang terkini.

Apa yang difahamkan, pembinaan kapal secara serentak dalam projek berskala mega dan membabitkan peruntukan besar itu dikenal pasti antara punca kegagalan menyiapkan LCS mengikut jadual.

Sekiranya program pemulihan semula projek LCS ini berjalan sepertimana dirancang, dikatakan kapal-kapal seterusnya bakal siap mengikut anjakan masa. Kapal LCS KD SYARIF MASAHOR dikatakan siap pada 2026 iaitu setahun selepas KD MAHARAJA LELA.

Tiga kapal lain pula iaitu KD RAJA MAHADI pada 2027, KD MAT SALLEH (2028), KD TOK JANGGUT (2029) dan KD MAT KILAU (2030). Bagaimana pun, tiada maklumat sahih berhubung perkara ini melainkan andaian industri sahaja.

SEJARAH. Industri pembinaan kapal perang negara telah bermula lebih 40 tahun lalu dan sepatutnya menjadi industri yang besar hari ini.

Mengapa Kebolehan Industri Kita Tidak Sehebat Dahulu?

Sebenarnya, kemajuan industri maritim negara untuk berdikari telah pun dipelopori lebih awal apabila Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dengan bangganya telah melancarkan pembinaan kapal ronda KD JERUNG di Limbungan Hong Leong Lurssen, Butterworth, Pulau Pinang pada 28 Julai 1975.

Ia merupakan peristiwa bersejarah apabila pertama kalinya kapal perang TLDM dibina di dalam negara. Limbungan Hong Leong Lurssen adalah kerjasama syarikat tempatan dengan firma perkapalan Lurssen, Jerman.

Dikategorikan sebagai kapal serang laju, kapal jenis ini merupakan evolusi baharu dalam angkatan laut pada dekad tersebut kerana faktor kelajuan, saiz selain kos operasi yang rendah untuk tugas rondaan dan pengawasan.

Kesemuanya enam buah kapal dibina di sini termasuk KD TODAK, KD PAUS, KD YU, KD BAUNG dan KD PARI. Ia dilengkapi dengan dua laras meriam iaitu Bofors 57 milimeter (mm) dan Bofors 40mm.

Kapal-kapal ini berjaya disiapkan mengikut jadual dan diserahkan kepada TLDM dua  tahun kemudian.

TLDM juga mengoperasikan lapan lagi kapal perang jenis sama tetapi dilengkapi peluru berpandu anti kapal iaitu Kelas HANDALAN yang dibina di Sweden dan Kelas PERDANA buatan Perancis.

KD JERUNG, kapal perang berusia 45 tahun masih beroperasi sebagai inisiatif TLDM menampung keperluan aset susulan kawasan pantai timur Sabah yang luas dan mencabar. 

Khidmat kapal-kapal tua yang sepatutnya ditamatkan apabila enam LCS disiapkan nampaknya akan terus ditagih.

Pisang Berbuah Dua Kali

Isu kelewatan menyiapkan kapal perang juga bukanlah kali pertama dihadapi TLDM kerana ia berlaku semasa pembinaan dua buah frigat kelas LEKIU di Glasgow, United Kingdom pada tahun 1994.

Pada masa itu, kelewatan disebabkan masalah integrasi pada sistem kapal telah menyebabkan kerja-kerja menyiapkan frigat ini melangkaui setahun berbanding jangkaan asal.

Pada Mei 1997, kerajaan menerusi Mindef dikatakan telah mengemukakan tuntutan ganti rugi kelewatan yang dianggarkan sebanyak AS$29 juta.

Kapal pertama, KD LEKIU akhirnya ditauliahkan pada 7 Oktober 1999 dan belayar pulang ke Malaysia sebulan kemudian. 

Banyak pihak meletak harapan bahawa program LCS sebagai kesinambungan daripada program kapal peronda generasi baharu (NGPV) apabila firma tempatan diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan misi nasional tersebut.

Walaupun pembinaan NGPV pernah terpalit isu hampir sama, namun rakyat telah meletakkan sepenuh kepercayaan kerana yakin terhadap kemampuan firma perkapalan tempatan.

Tender pembinaan NGPV dimeterai kerajaan pada September 1998 dengan jangkaan kapal pertama siap enam tahun kemudian, malangnya hanya sebahagian kapal yang siap sebelum terpaksa diselamatkan kerajaan.

Impian Menuju Angkatan Laut Biru

Awalnya program ini dikenali sebagai pembinaan kapal ronda pesisir (OPV) yang dirancang seawal tahun 1994 iaitu bagi memiliki 27 buah kapal sebagai persediaan untuk TLDM menjadi sebuah angkatan laut biru.

Kapal-kapal ini bagi menggantikan bot-bot peronda jenis Vosper Thornycroft yang dibeli pada tahun 1960an.

Ia merupakan aspirasi daripada kepimpinan TLDM pada masa itu yang membayangkan keperluan strategik agar angkatan laut negara bersedia mendepani cabaran akan datang.

Mengikut perancangan, program OPV akan dibina mengikut empat fasa dengan sasaran enam buah kapal disiapkan pada setiap lima tahun untuk tempoh projek yang dijangka mengambil masa selama 20 tahun.

Ini bermakna, kapal pertama akan mula digunakan pada tahun 1998 dan menjelang tahun 2005, TLDM telah memilik armada lengkap 27 buah kapal peronda baharu.

Cita-cita tinggi negara dan TLDM ini mendahului negara-negara berjiran seperti Filipina dan Indonesia yang ketinggalan daripada aspek kekuatan maritim pada masa itu.

NGPV Batch II – Mimpi Di Siang Hari

Pada tahun 1997, firma German Blohm + Voss telah terpilih untuk mereka bentuk dan membina kapal-kapal ini berasaskan korvet MEKO 100 menerusi kerjasama dengan syarikat tempatan yang dilantik iaitu PSC Naval Dockyard di Lumut, Perak.

PSC Naval Dockyard kemudian diambil alih firma Boustead dan berjaya menyiapkan kerja-kerja tersebut secara berfasa dengan kapal terakhir ditauliahkan pada 28 Disember 2010 iaitu KD SELANGOR menyertai Skuadron PV ke-17.

Kapal-kapal lain dalam kelas ini ialah KD KEDAH, KD PAHANG, KD PERAK, KD TERENGGANU dan KD KELANTAN. Begitu pun, cadangan untuk pembinaan baki kapal-kapal NGPV seterusnya atau Batch II tidak dilakukan kerajaan.

Ini kerana perubahan polisi kemudian yang mahukan TLDM dibekalkan dengan kapal-kapal perang berteknologi mutakhir berbanding rekabentuk NGPV menyaksikan Mindef memutuskan pelaksanaan program LCS.

Sekiranya Mindef pada masa itu memeruskan program fasa kedua NGPV, kebarangkalian kapal-kapal ini sudah pun belayar membelah samudera mengawasi perairan negara.

Soal rekabentuk sebenarnya adalah satu perkara yang subjektif dalam kejuruteraan kapal perang, apatah lagi rekaan NGPV sebenarnya masih lagi relevani sekiranya kapal-kapal tersebut dilengkapi sistem persenjataan dan pertahanan terbaharu.

Pahlawan Melayu terbilang, Mat Kilau.

Siapkah KD MAT KILAU?

Ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar di Dewan Rakyat pada November 2021, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau mengambil pendekatan inklusif untuk melibatkan semua pihak berkepentingan seperti Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Boustead Holdings Bhd untuk menyelesaikan masalah dalam perolehan kapal LCS tersebut.

Katanya, Kementerian Pertahanan menjangkakan TLDM memperoleh kapal LCS yang pertama pada 2025.

Inisiatif penyelesaian itu menggariskan dua komponen utama iaitu penstrukturan semula korporat dan pengumpulan dana yang turut melibatkan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri.

Kerajaan telah bersetuju meluluskan permohonan perolehan LCS di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) dan RMK11 dengan tempoh pelaksanaan perolehan adalah selama 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023. 

Namun, sehingga 31 Oktober lepas, kemajuan kerja bagi LCS adalah 57.05 peratus berbanding jadual perancangan kerja asal iaitu 96.57 peratus.

Secara keseluruhannya, perolehan berkenaan telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau bersamaan dengan 43 bulan.

Secara logik, jika program LCS dibatalkan ia akan memberi isyarat bahawa industri pertahanan tempatan termasuk vendor tiada kemampuan.  LCS jika disiapkan dapat  memenuhi keperluan TLDM yang pada masa ini berhadapan dengan isu kekurangan kapal-kapal perang.

LCS pertama, KD MAHARAJA LELA yang dilaporkan hanya siap 60 peratus.

Kelewatan Membawa Keperitan

Bukanlah rahsia lagi bahawa armada TLDM terpaksa bergantung pada kapal-kapal perang yang berusia lebih 40 tahun di mana ada sebahagian besar aset terpaksa melalui proses menaik taraf komponen-komponen kritikal.

Isu lain, jika projek LCS tidak diteruskan ia menyebabkan kekurangan pembabitan vendor tempatan lantas dibimbangi memberi kesan berganda terhadap ekonomi negara.

Pada 20 April lalu, Kabinet sebulat suara bersetuju meneruskan perolehan LCS untuk TLDM dan akan memantau dengan teliti tempoh mobilisasi enam bulan untuk memulakan semula projek itu. Berpegang kepada komitmen tersebut, rakyat sudah pasti mahu melihat KD MAT KILAU disiapkan. Persoalannya, boleh atau tidak?

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.