EksklusifIndustri

T-155 Firtina – Ribut Dari Turkiye

Kongsi di

T-155 Firtina ialah howitzer bergerak sendiri 155mm buatan Turkiye berasaskan K9 Thunder dari Korea Selatan, yang menampilkan pengubahsuaian mengikut keperluan yang digariskan oleh Kementerian Pertahanan Turkiye dan komponen yang dibangunkan di Turkiye seperti reka bentuk turet, bahagian casis, sistem kawalan tembakan, sistem navigasi dan sistem elektronik.

Pada tahun 2001, dua prototaip telah ditempah dan pengeluarannya telah dilancarkan pada tahun 2002.

Pada 23 Januari 2021, industri pertahanan Turkiye telah memperkenalkan Firtina 2, iaitu versi terbaharu howitzer bergerak sendiri Firtina 155mm buatan tempatan berdasarkan casis berperisai berunut. Pada Mei 2019, semasa pameran pertahanan IDEF di Turkiye, Kementerian Turkiye telah pun mempersembahkan versi howitzer 155mm Firtina yang dimodenkan.

Firtina 2, versi naik taraf bagi Firtina mempunyai persenjataan yang sama yang termasuk satu laras 155mm berkaliber 52. Howitzer Firtina serasi dengan peluru 155mm standard NATO. Firtina dipasang dengan sistem pemuatan peluru automatik dan howitzer ini boleh menembak pada kadar maksimum tiga das tembakan dalam 15 saat.

Versi baharu Firtina kini dilengkapi dengan stesen senjata yang dikendalikan dari jauh bersenjatakan satu mesingan berat 12.7mm yang dipasang di atas bumbung turet.

Sistem Kawalan Tembakan Generasi Baharu untuk howitzer bergerak sendiri T-155 telah dibangunkan mengikut maklum balas daripada medan perang, dengan mengambil kira perkembangan teknologi terkini serta keperluan baru yang muncul selari dengan konsep baharu di medan perang.

Firtina 2 juga dilengkapi dengan sistem penyaman udara baharu termasuk sistem pemanasan baharu yang dipasang di bahagian kiri hadapan menara. Bahagian atas ampaian (suspension) kini dilindungi oleh plat getah.

T-155 Firtina dilengkapi dengan enjin diesel disejukkan air MTU 881 Ka-500 yang menghasilkan 1,000hp, digandingkan dengan transmisi automatik penuh Allison X-1100-5 dengan empat gear hadapan dan dua gear undur. Firtina boleh bergerak pada kelajuan tertinggi maksimum 67 km/j dengan jarak kruis maksimum 360km.

Sistem Firtina digunakan semasa OP OLIVE BRANCH di Syria oleh tentera Turkiye.

Firtina Untuk Malaysia?

Dibangunkan berdasarkan teknologi sistem K9 Thunder yang terbukti, Firtina dijangka mampu memenuhi keperluan howitzer bergerak sendiri Tentera Darat Malaysia, namun perlu melalui proses ujian yang komprehensif untuk dinilai secara telus.

Sebarang program pemerolehan aset baru juga perlu dinilai secara holistik termasuk dari aspek politik, ekonomi, sosial, tawaran timbal balas dan lain-lain.

Diharapkan kerajaan akan dapat membuat keputusan yang terbaik untuk memastikan tahap keupayaan dan kesiagaan Tentera Darat Malaysia kekal di tahap yang tinggi.

Penerangan foto: Sistem Firtina digunakan semasa OP OLIVE BRANCH di Syria oleh tentera Turkiye.

Foto: Soner Kilinc/Anadolu Agency/Getty Images

Isaak Zulkarnaen

Isaak Zulkarnaen telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan sejak pertengahan 1990an dan hasil penulisannya dijadikan rujukan dalam beberapa penulisan akademik lain.

Isaak Zulkarnaen

Isaak Zulkarnaen telah berkecimpung dalam bidang penulisan pertahanan sejak pertengahan 1990an dan hasil penulisannya dijadikan rujukan dalam beberapa penulisan akademik lain.