RIMPAC 2022: Misil LEKIR Tepat Ke Sasaran
Hawaii, 16 Julai: Ex-USS RODNEY M. DAVIS, sebuah Guided Missile Frigate daripada kelas Oliver Hazard Perry (OHP) yang merupakan kapal sasaran untuk latihan ini terkena tembakan peluru berpandu MBDA Exocet MM40 yang dilancarkan oleh Kapal Diraja (KD) LEKIR milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Misil EXOCET MM40 tepat ke sasaran di perairan Hawaii, Amerika Syarikat dalam siri latihan SINKING EXERCISE (SINKEX) semasa fasa di laut EKSESAIS RIM OF THE PACIFIC (RIMPAC) 2022 sejak 12 Julai 2022 lalu yang melibatkan unit-unit dari Australia, Kanada, Malaysia dan Amerika Syarikat.
Fasa latihan di laut selama 22 hari bermulai 11 Julai yang melibatkan 38 buah kapal, empat buah kapal selam dan lebih daripada 170 buah pesawat milik 26 negara.
KD LEKIR sebelum ini juga telah berjaya melancarkan misil dari jenis yang sama iaitu pada 22 Mei 2022 yang lalu semasa EKSESAIS TAMING SARI 21/22 di Perairan Selat Melaka Utara.
KD LEKIR dari kategori kapal frigat yang membawa peluru berpandu (FFG) yang pertama membuat penembakan misil di luar perairan Malaysia.

Kelas Kasturi Masih Berbakti
Kapal korvet kelas Kasturi seberat 1,500 tan (1,850 tan berat penuh) merupakan perolehan 1983 / 1984 bersama sebuah lagi KD KASTURI yang masih berfungsi dengan baik.
Kejayaan ini sekali gus telah meletakkan nama baik TLDM khususnya dan Malaysia umumnya di persada antarabangsa kerana keupayaan Navy People menjaga aset yang agak berusia ini dengan baik dan masih berupaya bersaing dengan kapal-kapal dari luar negara.
Penembakan tersebut telah disaksikan oleh Panglima Tentera Laut; Laksamana Tan Sri Mohd Reza bin Mohd Sany dan Timbalan Panglima Armada Barat; Laksamana Pertama Farizal Myeor di K. Mark Takai Pacific Warfighting Center di Ford Island, Hawaii.
“RIMPAC menyediakan platform terbaik untuk meningkatkan interoperabiliti di antara angkatan laut yang mengambil bahagian. Penyertaan ini merupakan satu pengalaman yang menambah nilai profesionalisme kru KD LEKIR,” ujar Panglima Tentera Laut.

Ex USS RODNEY M. DAVIS
Ex USS RODNEY M. DAVIS (FFG-60) ialah frigat peluru berpandu kelas Oliver Hazard Perry dari Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang dinamakan sempena Sarjan Marin Rodney Maxwell Davis (1942–1967), yang telah dianugerahkan Medal of Honor atas kepahlawanannya dalam Perang Vietnam.
Pembinaan RODNEY M. DAVIS telah dimulakan pada 8 Februari 1985 di Todd Pacific Shipyards, California. Ia telah dilancarkan pada 11 Januari 1986; dan dinamakan oleh Puan Judy P. Davis, Balu Sarjan Davis.
Kapal ini ditauliahkan pada 9 Mei 1987, Komander Craig R. Heckert sebagai Pegawai Memerintah.
Kapal ini berpangkalan di Yokosuka, Jepun selama beberapa tahun semasa ditugaskan ke Skuadron Pemusnah 15. RODNEY M. DAVIS telah ditamatkan perkhidmatan di NS Everett pada 23 Januari 2015.
Ia telah ditenggelamkan dalam latihan SINKEX dengan tembakan oleh unit dari Australia, Kanada, Malaysia dan AS di perairan sedalam kira-kira 15,000 kaki 50 batu nautika di utara Kaui.

Nostalgia: Kelas Oliver Hazard Perry Pernah Ditawarkan Kepada Malaysia
Sekitar tahun 2012, terdapat laporan yang mengatakan sama ada Amerika Syarikat menawarkan frigat kelas Oliver Hazard Perry dan kapal pendaratan dok (LSD) kelas Whidbey Island untuk menggantikan kapal KD SERI INDERAPURA yang terbakar pada tahun 2009.
Kapal KD SERI INDERAPURA juga merupakan kapal ex USS SPARTANBURG COUNTY Tentera Laut AS yang dibina pada tahun 1970 dan diperolehi oleh TLDM pada tahun 1995. Setelah terbakar dua kali pada tahun 2002 dan 2009, ia telah dinyahtauliah pada 21 Januari 2010.
Selain Tentera Laut AS, pengguna Kelas Oliver Hazard Perry (ex Tentera Laut AS) termasuk Bahrain, Mesir, Pakistan, Poland, Taiwan dan Turkiye.