EksklusifIndustriKomuniti

Tejas Pilihan LCA TUDM?

Kongsi di

Perbincangan empat mata antara Menteri Pertahanan India – Malaysia, Rajnath Singh dengan Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Isnin lepas merancakkan lagi perkembangan mutakhir perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (LCA/FLIT) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Berlangsung secara maya, kedua-dua pemimpin itu membincangkan hal kerjasama pertahanan dua negara dan sudah pasti tidak terkecuali tentang pesawat HAL MK1 Tejas.

Pada perbincangan menerusi sidang video itu, fokus termasuk berhubung penawaran pesawat Tejas bagi program LCA TUDM serta kerjasama penyelenggaraan pesawat Sukhoi Su-30MKM.

Seperti diketahui, India berhasrat menawarkan 18 buah pesawat Tejas bagi memenuhi keperluan TUDM.

Selain pakej kewangan yang menarik dalam perolehan tersebut, tawaran bagi kerjasama senggaraan dan pembekalan alat ganti untuk pesawat Sukhoi Su-30MKM dikatakan sebagai sangat menarik.

Dengan situasi konflik Rusia – Ukraine yang dijangka memakan masa panjang, TUDM perlu mencari negara yang memiliki keupayaan setanding untuk memastikan Sukhoi Su-30MKM terus terbang.

Dalam hal ini, sudah pasti India merupakan negara sahabat yang memiliki jalinan kerjasama sejak dahulu. Tambahan pula, pesawat Sukhoi Su-30MKI India mempunyai konfigurasi menyamai pesawat kita.

Sejak diumumkan beberapa tahun lalu, program perolehan ini telah meletakkan negara dalam radar firma-firma aeroangkasa apabila menawarkan calon menggantikan pesawat-pesawat BAe Hawk dan Aermacchi MB-339CM TUDM.

HAL Mk1 Tejas turut tersenarai antara pilihan TUDM dalam pencarian pesawat LCA dengan keperluan sekurang-kurangnya 36 buah pesawat.

Pesawat Sukhoi Su-30MKI IAF terbang beriringan bersama pesawat HAL Mk1 Tejas.

Tejas Kurang Popular?

Begitu pun, menerusi pandangan umum dalam laman maya berdasarkan komen-komen yang diberikan, pesawat buatan firma Hindustan Aeronautics Limited (HAL) ini mendapat persepsi rendah masyarakat Malaysia berbanding pesawat pesaing buatan Barat dan Korea Selatan.

Umum mungkin berpandangan India bukanlah negara peneraju dalam bidang aeroangkasa tidak seperti blok Barat walaupun negara Asia Selatan itu menguasai teknologi nuklear.

Ada juga pihak yang mempersoalkan mengapa Malaysia tidak membangunkan kerjasama membina pesawat dengan Turki, sebuah negara Islam yang industri pertahanannya sedang pantas membangun.

Sekiranya status sebagai sebuah negara Islan dijadikan kayu pengukur, Turki mempunyai 74.4 juta penduduk.

Sebaliknya Islam yang merupakan agama kedua terbesar di India mempunyai 200 juta penduduk Islam iaitu ketiga paling ramai selepas Indonesia dan Pakistan.

Mantan Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad semasa melihat pesawat Tejas ketika hadir pada pameran Aero India 2019.

Kerjasama pertahanan India – Malaysia

Perolehan pesawat MiG-29N TUDM pada tahun 1993 telah merapatkan lagi kerjasama pertahanan antara Malaysia – India disebabkan India merupakan negara pengguna terbesar pesawat tersebut selepas Rusia. 

India mengoperasikan kira-kira 69 buah pesawat MiG-29 sejak tahun 1985, di mana pesawat berkenaan adalah lebih berusia berbanding MiG-29N TUDM.

Malah, ia merupakan negara pengeluar komponen asal (OEM). Justeru, kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara bukanlah sesuatu yang baharu. 

Pada tahun 2007, MiG-29 IAF  dinaik-taraf yang dikenali dengan nama MiG-29UPG di mana program menaik taraf ini menggunakan pengalaman pihak MiG menghasilkan versi MiG-29 termoden iaitu MiG-29SMT tetapi dengan perkakasan bukan buatan Rusia.

Apa yang menarik, Rusia pada tahun 2011 telah menawarkan TUDM menyertai program menaik taraf MiG-29N di India sebagai tawaran meningkatkan keupayaan pesawat  tersebut untuk beroperasi tempoh lebih lama pada kos lebih kompetatif.

Malangnya, perkara tersebut tidak menjadi realiti apabila kerajaan kemudian memutuskan MiG-29N hendak dibersarakan.

India merupakan pengguna terbesar kapal selam Scorpene lantas menjadikan kerjasama pertahanan Malaysia – India memberi kelebihan kepada negara untuk bertukar-tukar pengetahuan.

India Berminat Dengan MiG-29N?

India pada 2017 turut menyatakan minat membeli pesawat MiG-29N dengan menaik taraf pesawat itu bagi kegunaan tentera udara negara itu.

Perdana Menteri masa itu, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, cadangan tersebut adalah antara aspek kerjasama ketenteraan yang dipersetujui antara Malaysia – India.

Dalam hal ini katanya, Kementerian Pertahanan dan TUDM akan melihat bentuk kerjasama termasuk pengendalian pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM dan peralatan ganti pesawat berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dalam lawatannya ke New Delhi semasa menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-India pada 2017 turut membincangkan tentang hasrat kedua-dua negara meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan termasuk mengadakan eksesais ketenteraan udara bersama dan menangani isu keganasan.

Najib dan Perdana Menteri India, Narendra Modi bersetuju mengadakan latihan ketenteraan udara bersama khususnya dalam penugasan taktikal pesawat Sukhoi.

Kedua-dua negara juga berharap dapat meningkatkan kerjasama antara angkatan tentera laut terutama sekali dalam aspek pertempuran kapal selam.

India membeli enam kapal selam Scorpene dari Naval Group di mana empat telah pun beroperasi sejak 2017 dan merupakan negara pengguna terbesar selepas Chile (dua), Malaysia (dua) dan Brazil (empat).

India kini merancang membina 12 buah lagi kapal selam buatan tempatan berdasarkan pengalaman serta penguasaaan teknologi yang diperolehi menerusi program pembinaan Scorpene ini.

Teknologi India

India berjaya membina pesawat tempur pelbagai peranan pertamanya, Tejas enam tahun lalu rentetan hasil usaha jurutera dan saintis India selama 33 tahun membuat kajian serta menempuh banyak kegagalan.

Ia merupakan projek nasional kerajaan bagi mengurangkan pergantungan pada pengeluar asing dan memajukan industri pertahanan skala tinggi negara tersebut.

Sebagai perbandingan, Amerika Syarikat (AS) adalah negara pertama membina pesawat tempur generasi keempat iaitu F-16 dan F-15 pada akhir tahun 1970-an, manakala China memiliki teknologi sama pada tahun 2000.

India juga merupakan negara Asia pertama yang membina pesawat serangan dan pengebom iaitu HAL HF-24 Marut pada tahun 1961. Sebanyak 147 buah pesawat ini dibina dan turut digunakan semasa Perang India-Pakistan 1971.

Tidak hairanlah sejak tempoh tersebut, India telah berdikari untuk membangunkan industri pertahanan aeroangkasa selangkah demi selangkah termasuk dalam bidang senggaraan dan baik pulih pesawat.

India – Kuasa Udara Keempat Terbesar di Dunia

India yang merupakan kuasa udara keempat terkuat di dunia selepas AS, Rusia dan Israel memiliki kira-kira 1,500 buah pesawat termasuk 270 Sukhoi Su-30MKI, 65 buah MiG-29, 36 pesawat Rafale, 45 buah Mirage 2000 dan 100 MiG-21.

Tejas yang dikelaskan sebagai pesawat tempur generasi keempat telah meletakkan India dalam kelab eksklusif pengeluar pesawat pejuang yang mana teknologi kejuruteraannya bukan dikuasai oleh banyak negara.

Tentera Udara India (IAF) menjadi pengguna pertama pesawat HAL Tejas Mk1 sejak 2016 sehinggalah ia menerima status layak untuk beroperasi dua tahun lalu. Ketika ini IAF mengoperasikan dua skuadron Tejas berjumlah kira-kira 20 buah pesawat.

Pada Februari tahun lalu, kerajaan India memuktamadkan keputusan untuk memperoleh 83 pesawat LCA Mk1A Tejas termasuk 10 versi latihan dan merupakan perolehan terbesar dibuat negara itu.

Ini menjadi pemangkin pada kemajuan ekosistem industri aeroangkasa negara itu kerana turut melibatkan kira-kira 500 buah syarikat tempatan.

Menariknya, status operasional Tejas diperoleh tidak lama sebelum pesawat itu membuat penampilan sulung pada pertunjukan udara antarabangsa iaitu semasa Pameran Aerongkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019.

BrahMos Bisa Pada Tejas

Gabungan teknologi barat dan tempatan menyaksikan ramai dalam kalangan pemerhati pertahanan luar menyifatkan Tejas sebagai sebuah pesawat tempur ringan yang lebih baik berbanding pesawat pesaing buatan China.

Hampir 60% komponen pesawat itu adalah buatan tempatan, melainkan tiga komponen utama iaitu enjin buatan AS jenis General Electric F404-GE-IN20, radar dan sistem peperangan elektronik pesawat.

Walaupun mempunyai jarak operasi terhad tetapi Tejas boleh membawa beban tempur hampir sama seperti pesawat pejuang moden sedia ada meliputi peluru berpandu antipesawat jarak jauh, bom panduan laser dan bom konvensional.

Namun, bisa sebenar HAL Tejas Mk1 adalah keupayaannya untuk melancarkan peluru berpandu anti kapal supersonik BrahMos NG yang kini sedang dipertingkatkan dan dijangka boleh diintegrasikan dua tahun lagi. BrahMos NG adalah versi termaju peluru berpandu BrahMos A yang boleh menembak sasaran sejauh 290 kilometer.

Tejas turut membuat penampilan buat pertama kali semasa Singapore Airshow pada Februari lalu sebagai usaha memasarkan pesawat berkenaan pada pengguna rantau sebelah sini.

Tejas yang teruji pada keadaan cuaca panas yang melampau di India dikatakan menepati dengan persekitara cuaca di Asia Tenggara. Tiga pesawat Tejas diterbangkan termasuk sebuah yang membuat pameran statik.

Begitu juga HAL yang bersedia untuk membina pusat MRO, malah akan melakukan pelaburan besar sebagai tawaran kepada negara.

Dikatakan juga Tejas mendahului lain-lain pesaing kerana ciri-ciri yang ada pada pesawat tersebut menepati spesifikasi yang diketengahkan TUDM.

Sawit Menjadi Tukaran

Sekiranya tukaran dagang menjadi sandaran, India sebagai negara pengguna minyak sawit terbesar dunia iaitu kira-kira 20% daripada bekalan global ada kelebihan.

Negara itu mengimport komoditi tersebut dari Indonesia dan Malaysia iaitu kira-kira sembilan juta tan setahun. Dalam konteks Malaysia pula, India adalah pengimport minyak sawit terbesar negara diikuti Belanda, Pakistan, China dan AS.

Eksport sawit ke India pada tahun 2020 menyumbang sebanyak RM7.2 bilion dan RM8.9 bilion tahun sebelumnya dengan pendapatan keseluruhan negara hasil minyak sawit pada 2020 adalah RM36.87 bilion.

Bagaimana pun, semua pihak hanya mampu berteka-teki sehinggalah pesawat yang benar-benar menambat hati kerajaan Malaysia dan pemutus keputusannya diumumkan kelak. Sekiranya benar Tejas, ia juga akan membuka lembaran baharu dalam industri aeroangkasa India dan sudah pasti membina jalinan lebih akrab buat Malaysia.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.