EksklusifKomuniti

Tawanan Perang Konflik Ukraine – Rusia: Bidak Yang Tertawan

Kongsi di

Awal bulan Jun 2022, dua orang warga United Kingdom (UK), Aiden Aslin dan Shaun Pinner, berserta warga Maghribi, Saadun Brahim telah dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah Republik Donetsk yang pro-Rusia di atas tuduhan menjadi tentera upahan dalam konflik Ukraine – Rusia.

Ketiga-tiga individu tersebut yang ditawan dalam pertempuran di bandar Mariupol menjadi kontroversi kerana pentakrifan mereka sebagai tentera upahan oleh mahkamah tersebut yang dikatakan dikuasai oleh Rusia.

Tuduhan bahawa mereka ini adalah tentera upahan pula ditentang keras oleh Ukraine yang menyatakan bahawa individu-individu tersebut merupakan anggota tentera pasukan tetap Ukraine.

Dikatakan, ketiga-tiga individu ini kini berada di hujung tanduk dengan Aiden Aslin telah diberitahu bahawa hukuman matinya akan dijalankan pada masa terdekat.

Pada masa sama, isu ini dijangkakan boleh menjadi casus belli yang menarik kepenglibatan lebih mendalam bagi UK dan Amerika Syarikat (AS) secara khususnya, apabila dua warga AS yang berkhidmat dalam Tentera Ukraine turut ditawan oleh Tentera Rusia.

Apakah tindakan Rusia itu betul? Dan apakah implikasi tindakan tersebut untuk jangka masa panjang?

Konvensyen Geneva

Undang-undang antarabangsa yang mengurus tadbir urusan tawanan perang adalah termaktub di bawah Konvensyen Geneva, khususnya di bawah peruntukan pengurusan tawanan perang. Konvensyen sedunia ini yang terbaru diterimapakai pada Ogos 1949.

Dalam peruntukan Keempat Konvensyen ini, mereka-mereka yang layak diiktiraf sebagai tawanan perang adalah:

  1. Anggota-anggota pasukan bersenjata rasmi sesebuah negara yang terlibat dalam pertelagahan tersebut, termasuklah anggota militia dan sukarelawan yang membantu pasukan tentera rasmi.
  2. Anggota pasukan militia dan penentang, sekiranya mereka:
  • a) mempunyai struktur pemerintahan yang rasmi dengan individu yang bertanggungjawab ke atas anak-anak buahnya.
  • b) menggunakan pakaian berlambang yang boleh dikenali pada jarak yang tertentu.
  • c) membawa senjata secara terbuka.
  • d) melaksanakan operasi berdasarkan undang-undang dan adat peperangan.

Namun, jaminan ke atas hak asasi seseorang askar, biarpun terdapat jaminan dari segi Konvensyen Geneva, sering kali dilanggar.

Masalah ini bukan sahaja dihadapi oleh anggota pasukan tetap sesebuah negara yang telah ditawan, malahan juga oleh puak penentang dan pembebasan, khususnya sekiranya unit tersebut telah ditubuhkan secara tidak rasmi, atau tidak memiliki pakaian seragam yang memudahkan pengenalan.

Secara jujur, adalah agak sukar bagi kita mengenalpasti keadaan yang membawa kepada individu-individu ini berserta dua warga AS lain yang telah ditawan oleh Tentera Rusia ini.

Walaupun Ukraine secara rasmi mengatakan bahawa mereka adalah sebahagian daripada pasukan tetap Ukraine, laporan-laporan dari Ukraine sendiri mempunyai percanggahan di mana propaganda Ukraine sendiri melaporkan kewujudan unit-unit sukarela yang dianggotai oleh warga asing yang tidak diiktiraf oleh Tentera Ukraine sebagai sebahagian daripada ketumbukan rasmi Tentera Ukraine.

Ini menjadikan mereka ini sukar mendapat perlindungan di bawah perenggan pertama.

Perenggan kedua Konvensyen Geneva pula lebih bersifat bagi melindungi penduduk tempatan yang terlibat sebagai puak penentang kepada pendudukan negara lain, atau untuk melindungi hak pejuang kebebasan yang berjaya ditawan oleh pasukan kerajaan.

Aiden, Shaun dan Saadun

Sebagai rekod, Aiden Aslin dikatakan menyertai Tentera Ukraine semenjak 2018 dan memegang kerakyatan Ukraine dan UK berserta tunangnya adalah warga Ukraine. Manakala Shaun Pinner juga menyertai Tentera Ukraine semenjak 2018 dan telah berkahwin dengan seorang warga Ukraine.

Saadun Brahim pula telah menyertai Tentera Ukraine semenjak 2020 dan telah mendapat kewarganegaraan Ukraine. Dua orang warga AS, Alexander Drueke dan Andy Huynh menjadi tawanan dalam pertempuran lain.

Tindakan mahkamah Republik Donetsk mengenakan hukuman mati ke atas mereka ini pula boleh dilihat sebagai melanggar peruntukan Ketiga Konvensyen Geneva yang melarang tindakan mahkamah diambil ke atas tawanan perang.

Walaupun status mereka ini sukar diputuskan sebagai tawanan perang yang menepati Peruntukan Keempat, adalah perlu diambilkira bahawa status mahkamah tersebut besar kemungkinan tidak diiktiraf kerana republik tersebut hanya diiktiraf oleh tujuh buah negara di seluruh dunia.

Ini berbeza dengan kes tentera Rusia yang dijatuhkan hukuman penjara di atas kesalahan membunuh warga awam Ukraine di Kyiv yang telah dihadapkan di mahkamah awam Ukraine.

Anggota tentera berkenaan telah dikenakan hukuman di sebuah mahkamah yang sememangnya telah diiktiraf oleh negara-negara lain termasuk Rusia sendiri.

Dan anggota tentera tersebut telah dilayan sebagai penjenayah kerana tindakan Rusia sendiri yang tidak mahu mengiktiraf tindakannya di Ukraine itu sebagai peperangan.

Tetapi, kenapa Rusia bertindak sedemikian?

Belajar Dari Amerika Syarikat

Boleh dikatakan Rusia beranggapan bahawa mereka boleh melakukan tindakan sedemikian kerana Amerika Syarikat berserta sekutu-sekutu mereka, termasuk Ukraine pernah melakukan tindakan sama terhadap pejuang-pejuang Taliban semasa Perang Afghanistan.

Para pejuang Taliban yang ditawan tidak diberikan pengiktirafan sebagai tawanan perang hanya kerana Tentera Taliban tidak mempunyai pakaian seragam yang memudahkan pengenalan, sekaligus, menjadi alasan kepada Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya untuk menidakkan hak pejuang Taliban.

Apakah implikasi tindakan Rusia ini? Implikasi tindakan Rusia ini bukan sekadar berkemungkinan memperlihatkan konflik ini menjadi semakin besar.

Sekiranya konflik ini menjadi semakin luas, dengan kata lain melibatkan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebagai pihak bertelagah langsung, negara-negara yang mempunyai ketumbukan warga asing sebagai tentera mereka berkemungkinan menghadapi risiko dituduh sebagai tentera upahan.

Perancis, UK, dan Sepanyol mempunyai ketumbukan Foreign Legion masing-masing (French Foreign Legion, Gurkha Regiment, Spanish Legion) dan mereka ini akan menghadapi risiko dihukum bunuh apabila ditawan.

Selain unit-unit ini, Tentera tetap Amerika Syarikat dan Tentera tetap UK juga menghadapi risiko ini kerana mereka turut menerima warga asing sebagai anggota tentera mereka (UK menerima warga Komanwel sebagai anggota tentera).

Ironi tindakan Rusia ini adalah anggota-anggota tentera Rusia sendiri berhadapan risiko sama. Tentera Rusia bermula pada tahun 2010 turut menerima permohonan warga asing untuk menyertai Tentera Rusia.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.

Danny Liew

Penulis adalah seorang pemerhati bebas sektor pertahanan, keselamatan, dan kewangan. Merupakan penulis bebas bersama Perajurit semenjak 2005/2006 dan kini merupakan penyumbang tetap kepada Malaysia Military Power.