EksklusifKomuniti

PERKASAKAN APMM KEKANG PENCEROHON MARITIM

Kongsi di

Angka RM6 bilion setahun kehilangan hasil perikanan negara kerana kerakusan kegiatan pencerobohan nelayan asing bukan isu remeh.

Ini merupakan isu nasional yang wajar diatasi secara strategik dan efisien kerana nilai sebesar itu sepatutnya menyumbang pada pendapatan negara.

Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) pada tahun 2021 yang memanfaatkan 8.1 juta orang misalnya membabitkan peruntukan RM6.5 bilion, manakala jumlah hampir sama atau lebih tepat RM6 bilion pula disediakan kerajaan untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) tahun lalu.

Pada tahun 2004, media melaporkan Malaysia kerugian kira-kira RM1 bilion sumber ikan setahun kerana pencerobohan nelayan asing dan sikap pengusaha bot laut dalam tempatan yang menjual hasil tangkapan mereka ke negara.

Dikatakan jumlah kerugian hasil laut yang dijarah nelayan asing sejak tahun 2010 hingga kini ialah kira-kira RM70 bilion. Jadi, jumlah kerugian ini meningkat saban tahun dan tanpa sedar boleh menjejaskan sekuriti makanan negara.  

Nelayan-nelayan asing juga sering menjadikan 155 kawasan pelantar minyak di perairan pantai timur sebagai lokasi menangkap ikan

Denda RM6 Juta

Sebab itu, Akta Perikanan 1985 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 9 Julai 2020 antara lain membolehkan denda maksimum dinaikkan bagi pemilik atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia iaitu daripada RM1 juta kepada RM6 juta, selain penalti bagi setiap anggota kru turut dinaikkan daripada RM100,000 kepada RM600,000.

Nelayan-nelayan asing juga sering menjadikan 155 kawasan pelantar minyak di perairan pantai timur sebagai lokasi menangkap ikan dan ia secara tidak langsung mendatangkan risiko keselamatan di kawasan berkenaan.

Pencerobohan nelayan asing khususnya dari Vietnam bukan isu baharu, malah seiring dengan perkembangan teknologi maritim mereka juga beroperasi secara lebih tersusun, terancang dan bukan lagi sebagai sekumpulan nelayan tradisional.

Memetik kajian National Institute for South China Sea Studies (NISCS) iaitu organisasi penyelidikan China yang berpangkalan di Hainan, para penganalisisnya mengkategorikan nelayan Vietnam ini sebagai sebuah angkatan laut atau militia yang terlatih dan dibentuk sebagai pasukan nelayan profesional. 

Ini kerana angkatan nelayan penting sebagai salah satu penyumbang pada hasil makanan negara berkenaan selain sumbangan ekonomi.

Mengikut statistik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 19 Mac hingga 22 Jun, sebanyak 88 bot nelayan Vietnam direkodkan menceroboh perairan negara

Pencerobohan Nelayan Asing

Sepertimana Malaysia, negara China turut berhadapan dengan pencerobohan militia nelayan Vietnam di perairan mereka. 

Kajian pihak NISCS pula menganggarkan militia nelayan Vietnam semakin membesar berbanding 12 tahun lalu dengan anggaran antara 46,000 hingga 70,000 orang yang dibahagikan mengikut wilayah operasi masing-masing. 

Sepanjang tahun ini dianggarkan sebanyak 474 bot nelayan Vietnam dikesan menceroboh perairan barat Malaysia sehingga ke kepulauan di Indonesia, lapor pihak South China Sea Strategic Situation Probing Initiative (SCSPI) di China.

Pada 24 Jun yang lalu, Agensi Pengukatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah diberi kebenaran oleh kerajaan untuk menguatkuasakan semula tangkapan ke atas perompak hasil laut negara yang menceroboh perairan negara, khususnya nelayan asing ini dengan melancarkan OPERASI KUDA LAUT.  

Mengikut statistik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan pada 19 Mac hingga 22 Jun, sebanyak 88 bot nelayan Vietnam direkodkan menceroboh perairan negara.

Berdasarkan trend, pencerobohan ini dilihat lebih tertumpu di perairan pantai timur Semenanjung dengan catatan sebanyak 55 kes yang telah diusir sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Nelayan Vietnam ini turut disokong oleh kapal-kapal induk yang berlabuh di luar sempadan perairan negara bertindak membekalkan sumber makanan dan bahan bakar serta hub pengumpulan tangkapan hasil laut negara.

Taktik atau modus operandi ini menyukarkan pihak penguatkuasa bertindak. Selain itu, turut dikesan ialah taktik bot nelayan asing menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan atau `bot klon’ bagi mengaburi penguat kuasa.

Sindiket bot klon ini turut didalangi oleh nelayan tempatan.

Sehubungan itu, APMM akan mencadangkan kepada Jabatan Perikanan untuk memperkenalkan peruntukan hukuman undang-undang yang lebih berat seperti sebatan ke atas kru bot nelayan asing Vietnam agar mereka benar-benar takut dan serik untuk menceroboh perairan Malaysia dan merompak hasil laut negara.

Hukuman yang terpakai pada masa ini iaitu denda, penjara dan melucutkan hak bot dilihat tidak menakutkan mereka untuk terus menceroboh.

Perolehan Kapal Induk

Sebab itulah, APMM sebagai agensi yang bertanggungjawab telah memohon dana daripada kerajaan untuk perolehan tiga buah kapal sokongan logistik pelbagai guna (MPMS) dengan kos hampir RM1.05 bilion. 

Agensi ini sejak tahun 2017 telah menegaskan keperluan kapal MPMS dalam pengoperasian untuk bertindak sebagai kapal induk dan pangkalan hadapan pada kapal peronda dan helikopter APMM mengisi bekal tanpa perlu pulang ke pangkalan.

Ini sekali gus boleh menjimatkan masa proses ulang bekal dan membolehkan kapal ronda terus berada di kawasan tanggungjawab masing-masing selain dapat meningkatkan lagi keberkesanan kehadiran kapal ronda.

Ciri-ciri kapal berkenaan ialah dengan saiz sepanjang 100 meter, berat sekitar 3,000 hingga 4,000 tan dan dikendalikan 15 kru. Dengan kelajuan sehingga 15 knot, MPMS mampu beroperasi sehingga 30 hari berterusan.

Bagi perlindungan, kapal ini dilengkapi dengan mesingan dan meriam kaliber 30mm. Sebagai kapal induk, ia mesti mempunyai dek pendaratan helicopter, mampu melancarkan pesawat udara tanpa pemandu atau dron.

MPMS ini boleh membawa lima buah bot pemintas laju sepanjang 12 meter dan dua buat bot RHIB serta memiliki ruang kargo yang besar cukup untuk menampung operasi kapal-kapal kecil

MPMS juga turut dilengkapi ruangan perubatan moden, sistem pengisian bahan api dan sistem radar pengawasan.

Kapal induk ini dicadang untuk diletakkan di perairan Beting Patinggi Ali dekat Laut China Selatan serta di perairan Pantai Timur yang merupakan lokasi strategik maritim. 

Bertambah sulit apabila APMM yang sepatutnya telah menerima tiga buah kapal rondaan luar pesisir pantai (OPV) pada tahun lalu terpaksa menunggu lebih lama disebabkan berlaku kelewatan penyerahan.

Kelewatan OPV Rencatkan Operasi APMM

Tiga OPV kelas KOTA BAHRU ini mula dibina pada 2017 dengan kos RM 738.9 juta apabila kerajaan menganugerahkan kontrak kepada TH Heavy Engineering Sdn Bhd yang juga anak Syarikat Lembaga Tabung Haji. 

Kapal OPV yang direkabentuk mengikut rekaan Damen 1800 itu berkeupayaan melaksanakan operasi di laut dalam tempoh maksimum 21 hari tanpa ulang bekal. 

Namun kerjasama dua syarikat ini menghadapi masalah pada 2018 dan 2019 apabila aset serta anak syarikat Lembaga Tabung Haji diletakkan di bawah pengurusan khas oleh kerajaan sehingga mengganggu aliran tunai THHE Destini dan menyebabkan projek pembinaan kapal peronda OPV ini mengalami kelewatan penyerahan.

Mengikut saiznya, kapal sepanjang 83 meter ini berkemampuan melakukan pengawasan jarak jauh sehingga ke kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) serta kawasan di luar jangkauan kapal-kapal kecil.

Perolehan kapal induk untuk APMM adalah sesuatu keputusan yang tepat untuk memperkasakan keselamatan kepentingan maritim nasional.

Seperti mana kita semua sedia maklum, elemen APMM adalah kritikal dalam menguatkuasakan kepentingan maritim lebih-lebih lagi apabila kawasan tersebut mempunyai tuntutan bertindih seperti Laut China Selatan.

Dengan adanya kapal induk, aset tersebut boleh diaturgerak ke kawasan strategik untuk dijadikan sebagai pangkalan hadapan atau ‘seabasing‘ untuk mempertahankan keselamatan sesuatu perairan.

Kapal ronda boleh memperolehi bekalan dari kapal induk tanpa perlu berlayar kembali ke pelabuhan atau pangkalan masing-masing.

Sebagai perancangan jangka masa panjang, kapal induk tersebut perlu mempunyai ciri-ciri melaksanakan pelbagai fungsi khasnya operasi sokongan logistik agar APMM lebih mampu berdepan dengan cabaran maritim yang kompleks.

Selain OPV, APMM juga menjangkakan menerima enam bot pemintas laju (FIC) menjelang akhir tahun ini bagi meningkatkan pemantauan dan mengawal perairan terutama daripada pencerobohan nelayan asing.

Ketika ini APMM mengoperasikan 10 jenis kapal dengan jumlahnya dianggarkan sekitar 70 buah selain 190 bot pelbagai jenis.

Sebahagian besar kapal-kapal ini adalah aset terpakai bekas kegunaan agensi penguatkuasaan lain dan dalam keadaan usang serta tidak kos efektif.

Kapal OPV Kelas LANGKAWI seberat 1,300 tan bekas kepunyaan Tentera Laut Diraja Malaysia

Hanya Empat Kapal Besar

Bagaimana pun, daripada jumlah ini hanya empat kapal bersaiz besar iaitu kapal OPV Kelas LANGKAWI seberat 1,300 tan bekas kepunyaan Tentera Laut Diraja Malaysia dan dua kapal masing-masing KM PERWIRA dan KM PEKAN bekas kepunyaan Pasukan Pengawal Pantai Jepun dengan berat 1,000 tan.

Sehubungan itu, keberkesanan operasi maritim seperti di Laut China Selatan pada masa hadapan amat mengkehendaki APMM memiliki aset yang setanding serta mampu melaksanakan operasi rondaan untuk tempoh yang panjang.   

Kos pembelian kapal ini walaupun besar tetapi bersifat jangka panjang. Lebih penting ialah negara tidak kehilangan sumber marin disebabkan eksploitasi nelayan asing.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu.

Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.

Zaki Salleh

Zaki Salleh merupakan bekas wartawan dan juga penganalisis pertahanan yang telah menulis dalam bidang ini sejak 24 tahun lalu. Beliau pernah menjawat sebagai penolong pengarang berita di sebuah akhbar sebelum menjadi penulis bebas.