KomunitiOperasi

OP BENTENG: KESINAMBUNGAN TUGAS MENJAGA KESELAMATAN SEMPADAN NEGARA

Kongsi di

PENGENALAN

Serangan di Tak Bai , Selatan Thailand yang berlaku pada 25 Mei yang lalu telah mengakibatkan 3 anggota polis Thailand cedera. Serangan tersebut dipercayai dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan raifal dan bom tangan. Susulan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengetatkan kawalan di sempadan negara dengan rondaan dan pemantauan helikopter serta dron oleh Pasukan Gerakan Udara (PGU).

OP BENTENG

OP BENTENG yang dilancarkan pada bulan Mei 2020 bertujuan untuk mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke dalam negara. Operasi ini juga pada masa yang sama menghalang penyebaran virus COVID 19 ketika itu.

Antara agensi yang terlibat  dalam OP BENTENG ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan lain-lain agensi keselamatan yang berkaitan.

ASET YANG DIGUNAKAN

PDRM melalui Pasukan Gerakan Udara (PGU) telah menggunakan dron DJI MAVIC 2. Dron ini dilengkapi kamera infra merah dan pembesar suara bagi tujuan pemantauan  serta ketenteraman awam. Dengan penggunaan dron ini, ramai penyeludup dan pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya dicekup.

Tentera Darat (TD) Malaysia pula dibekalkan dengan kenderaan All Terrain Vehicle (ATV) dan motosikal scrambler 300cc bagi tugas rondaan di sempadan darat khususnya di sempadan Malaysia-Thailand dan di Sabah serta Sarawak.

Tentera Darat khususnya Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (KAD) telah mengatur gerak kereta perisai Gempita AV8 untuk penugasan di timur negeri Johor bagi mengekang kemasukan PATI. Dalam hal ini, radar milik AV8 digunakan bagi mengesan bot penyeludup yang ingin memasuki pantai Johor. Kenderaan yang diatur gerak jenis AV8 Surveillance dan AV8 Command Vehicle. Kenderaan ini dilengkapi radar dan sistem sensor untuk beroperasi pada malam hari.

Pada Jun tahun lepas, sebuah helikopter milik APMM jenis AW 139 telah ditempatkan di pulau Langkawi bagi menghadapi kemasukan pelarian Rohingya dari negara jiran. Helikopter tersebut yang dilengkapi sensor mampu untuk beroperasi pada siang dan malam.Selain aset udara, aset maritim dan radar juga digunakan bagi memastikan tiada pergerakan yang mencurigakan berlaku di sekitar  perairan Langkawi.

Di pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula, pembelian bot pemintas laju (FIC) sebanyak enam buah telah melonjakkan keupayaan TLDM untuk bertindak balas terhadap penyusupan PATI dalam OP BENTENG. Bot-bot ini  ditempatkan di pangkalan utama TLDM di seluruh negara. Pada masa akan datang, kerajaan bercadang bagi memperoleh sebanyak 13 lagi buah bot dengan kos sebanyak RM130 juta.

JUMLAH TANGKAPAN DAN RAMPASAN DALAM OP BENTENG

Seramai 12,087 PATI dan 922 tekong berjaya ditangkap dari bulan Mei 2020 hingga Februari 2021. Manakala, kenderaan darat yang dirampas pula sebanyak 1,465 buah. Kapal atau bot pula sebanyak 319 buah. Jumlah kesemua rampasan dianggarkan RM306 juta.

KESINAMBUNGAN OP BENTENG?

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata bahawa satu kaedah baharu akan menggantikan OP BENTENG yang dilaksanakan sejak Mei 2020 memandangkan operasi ini akan ditamatkan pada bulan Jun tahun ini.

Beliau berkata lagi bahawa apa sahaja perancangan yang dilakukan menggunapakai good practices yang ada dalam OP BENTENG itu sendiri. Tambah beliau lagi, apa yang penting, kaedah ini  boleh dilaksanakan bagi memantapkan lagi kawalan sempadan negara.  

Pada pandangan penulis, usaha dan kesinambungan OP BENTENG perlu diteruskan sampai bila-bila. Apatah lagi dengan geopolitik dan cabaran semasa terutamanya di negara yang berjiran dengan Malaysia dan juga ancaman di Laut China Selatan. Apa yang kerajaan perlu lakukan adalah dengan memperoleh lebih banyak aset rondaan dan pemintasan seperti kapal ronda, pesawat maritim, dan pesawat tempur.

Kita sedia maklum bahawa Malaysia mempunyai sempadan laut dan udara yang luas. Sudah tentu aset yang sedia ada dibebankan dengan tugasan yang berpanjangan. Hal ini sudah pasti akan meletihkan anggota keselamatan yang terlibat malah aset juga akan lebih kerap untuk diselenggara.

KESIMPULAN

OP BENTENG ternyata membuahkan hasil dan salah satu usaha menjaga sempadan negara yang tidak sia-sia. Operasi ini perlulah diteruskan bagi memastikan keamanan dan ketenteraman negara berada pada tahap terkawal. Janganlah leka dengan keadaan sekarang kerana siapa tahu di hutan, laut dan ruang udara di sempadan negara, ada ‘mata’ yang mengintai peluang untuk melaksanakan agenda mereka yang sudah semestinya tidak berniat baik.

Kapsyen gambar: FCB 1124 menahan bot PATI yang berjaya dipintas (Foto: TLDM)

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.

Mohammad Syahir Luqman

Mohammad Syahir Luqman ialah seorang penulis tamu untuk majalah Perajurit dari 2013-2015. Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan Antarabangsa di Universiti Utara Malaysia (UUM). Penulisannya merangkumi analisis keselamatan dan pertahanan di dalam dan luar negara.

One thought on “OP BENTENG: KESINAMBUNGAN TUGAS MENJAGA KESELAMATAN SEMPADAN NEGARA

  • Assalamualaikum. Terima kasih Perajurit SHP Media menyiarkan artikel saya ini.
    Insyaallah, saya akan terus menyumbang rencana mengenai aspek keselamatan negara dan luar negara walau berbeza platform media.
    Dulu di media cetak, sekarang dalam media elektronik. Semoga Perajurit SHP Media terus maju jaya.

Comments are closed.