WAWANCARA BERSAMA PANGLIMA TENTERA UDARA, JENERAL DATO’ SRI MOHD ASGHAR KHAN TUDM

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyambut hari ulang tahun yang ke-64 pada 1 Jun 2022. Perajurit berkesempatan mewawancara Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Mohd Asghar Khan bin Goriman Khan TUDM untuk mengetahui perkembangan terkini TUDM.

Perajurit: Pertama sekali Perajurit ingin mengucapkan tahniah kepada Dato’ Sri atas pelantikan sebagai Panglima Tentera Udara pada bulan Mac yang lalu. Bolehkah Dato’ Sri berkongsi dengan pembaca Perajurit visi Dato’ Sri sebagai PTU?

Jen Dato’ Sri Mohd Asghar Khan: Terima kasih kepada Perajurit. Sebagai Panglima Tentera Udara ke-20 saya berazam akan meneruskan kecemerlangan TUDM yang telah dipelopori oleh kepimpinan panglima-panglima yang terdahulu dan meneruskan usaha demi menzahirkan TUDM sebagai sebuah Angkatan Udara yang moden, kredibel, bersepadu, tangkas dan berfokus bagi mendepani ancaman dari pelbagai spektrum dan berupaya mempertahankan kedaulatan negara.  

Demi menentukan visi dan misi TUDM dapat dicapai, saya telah menggariskan enam tonggak utama yang telah saya sampaikan melalui perintah ulung iaitu:

  1. Pemantapan Keupayaan dan Kesiagaan TUDM,
  2. Keunggulan Struktur dan Kecemerlangan Organisasi,
  3. Pemerkasaan dan Pengupayaan Warga Udara,
  4. Mengoptimumkan Pengurusan Sumber dan Meningkatkan Budaya Inovasi,
  5. Peningkatan Keupayaan TUDM Melalui Kolaborasi Bersama Industri Pertahanan Tempatan dan
  6. Kebajikan Sosial dan Kelestarian Warga.

Saya juga menggariskan 4 faktor utama kepada kejayaan atau key success factors yang perlu diberi perhatian dan penekanan:

  1. Modal Insan Berkualiti sebagai pemangkin keunggulan angkatan udara yang kredibel dalam mempertahankan ruang angkasa negara.
  2. Penjanaan Keupayaan Aset-aset Udara bagi meningkatkan kesiagaan aset-aset yang sedia ada dan membangunkan keupayaan masa hadapan sejajar dengan pelan strategik TUDM.
  3. Pengurusan Sumber Kewangan dilaksanakan dengan efektif dan efisien bagi menjamin pengoperasian aset-aset utama TUDM berada ke tahap yang optimum.
  4. Kualiti Kepimpinan Organisasi yang dapat memacu TUDM menjadi sebuah angkatan udara unggul.
Pesawat Sukhoi Su-30MKM dari No.12 Skuadron ialah aset pemukul utama TUDM (Sumber: TUDM)

Perajurit: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyambut Hari Ulang Tahun yang ke-64 pada 1 Jun tahun ini. Sudikah Dato’ Sri berkongsi apakah antara kejayaan-kejayaan yang telah dicapai oleh TUDM sepanjang kewujudannya?

Asghar Khan: Menyingkap kembali ke era awal penubuhan TUDM 64 tahun yang lalu, TUDM hanya sebagai sebuah pasukan bantuan kepada Tentera Darat di era insurgensi. Pemerkasaan terhadap pembangunan keupayaan TUDM terus menjadi keutamaan berdasarkan keperluan pertahanan yang diselarikan dengan persekitaran strategik dan ancaman semasa. Evolusi pembangunan TUDM kini adalah seiring dengan konsep keterangkuman pengoperasian pelbagai domain yang dijadikan sebagai landasan bagi angkatan ini mewujudkan perancangan strategik berasaskan ciri-ciri angkatan masa hadapan yang telah diaspirasikan di dalam Strategi Ketenteraan Negara (SKN).

Kejayaan-kejayaan: Kini tahap pengoperasian TUDM dikembangkan bukan sahaja mampu melaksanakan operasi secara tunggal malah menjadi elemen penting di setiap domain yang lain. TUDM sentiasa mengekalkan kesiagaan tahap tinggi yang mampu menjamin kedaulatan negara sama ada semasa aman mahupun konflik. Di antara perkara yang boleh dikongsikan berkaitan kejayaan operasi yang telah dilaksanakan adalah:

  • Bergiat aktif di dalam mendukung inisiatif kerajaan memperkasakan pertahanan komprehensif di dalam negara. Eg: Op Daulat, National Task Force (Peneraju Operasi udara), Op Penawar dan Op Murni (Bantuan sumber dan aset) dan Operasi-operasi evakuasi.
  • Kejayaan pengoperasian TUDM juga diiktiraf di peringkat serantau dan global melalui beberapa misi dan operasi yang penting. Eg: Penerbangan HADR ke Kemboja, Filipina dan Indonesia semasa pandemik COVID-19, Op Piramid semasa krisis Mesir, Op Yaman di Saudi, Op Fajar di Somalia, Op Tsunami dan Op Palu di Indonesia, Op Orkim Harmoni di perairan Laut China Selatan dan lain-lain.
  • Misi-misi pengaman dan kemanusiaan di bawah naungan Bangsa-bangsa Bersatu seperti di Filipina, Congo, Sahara Barat, Sudan, Lubnan, Bosnia dan Kemboja.
  • Kolaborasi dan kerjasama serantau dan antarabangsa melalui kerjasama keselamatan seperti (ASEAN, FPDA, Bilateral dan Multi-lateral)

Perajurit: Pemodenan TUDM boleh dibahagikan kepada beberapa fasa, antaranya fasa semasa Darurat Kedua (1958 hingga 1989) dan fasa selepas Darurat Kedua tamat pada tahun 1989. TUDM telah berkembang daripada sebuah angkatan udara yang fokus kepada operasi melawan insurgensi (counter insurgency) kepada sebuah angkatan udara yang mampu melaksanakan operasi pelbagai spektrum. Sudikah Dato’ Sri berkongsi apakah pandangan Dato’ Sri tentang keupayaan TUDM masa kini, terutamanya dalam menghadapi ancaman semasa termasuk potensi konflik di Laut China Selatan dan dalam melaksanakan Non Combatant Evacuation Operation (NEO) seperti semasa pandemik COVID-19 dan konflik Ukraine-Rusia?

Asghar Khan: Perspektif geo-strategik di peringkat global, serantau dan domestik yang tidak menentu memerlukan TUDM mengkaji semula pelaksanaan operasi udara pada masa akan datang agar kekal kredibel dan relevan. Pembangunan keupayaan kuasa udara diselarikan dengan keperluan keselamatan dan pertahanan supaya TUDM sentiasa mampu mendepani sebarang ancaman. Keupayaan TUDM kini perlu dibangunkan berdasarkan aplikasi persenjataan moden, teknologi dan taktik pertempuran terkini.

Di dalam mendukung strategi Cegah Rintang Berpadu pertahanan  negara, peningkatan keupayaan TUDM memfokuskan 5 elemen utama iaitu:

  • Peningkatan tahap Intelligence and Situational Awareness angkatan udara
  • Penguasaan keupayaan terhadap Ruang Angkasa Negara
  • Pengaplikasian kuasa udara yang berkesan
  • Pemerkasaan terhadap kuasa udara di kedua-dua wilayah negara dan
  • Ketahanan kuasa udara

Isu-isu berkaitan konflik LCS, TUDM mengekalkan tahap kesiagaan tinggi agar kedaulatan dan segenap kepentingan negara dilindungi. Manakala pengoperasian yang melibatkan Operasi Ketenteraan Selain Daripada Peperangan seperti Non Combatant Evacuation Operation, TUDM akan sentiasa bersiaga untuk melaksanakan misi berdasarkan keperluan semasa (National Needs).

Pesawat pengangkut Airbus A400M TUDM telah membuktikan keupayaannya dalam beberapa misi di dalam dan luar negara (Sumber: TUDM)

Perajurit: TUDM telah membentangkan pelan pembangunan yang komprehensif melalui pelan CAP55. Sudikah Dato’ Sri berkongsi status terkini pelan ini dan apakah aset terbaru yang akan diperolehi oleh TUDM dalam masa 5 tahun ke hadapan?

Asghar Khan: Fasa 1 CAP 55 telah dilaksanakan bermula Jan 2021. Fokus utama adalah meliputi 2 paksi utama iaitu penstrukturan keupayaan dan penjajaran organisasi sebagai inisiatif utama dalam pembangunan keupayaan dan kecemerlangan operasi TUDM.

Pendekatan strategik dwi-paksi ini adalah bagi:

  1. Mengurangkan jurang keupayaan bagi memenuhi keperluan pertahanan masa hadapan (pembangunan keupayaan).
  2. Menentukan aset-aset sedia ada diselenggara dengan baik.

Kedua-dua paksi ini penting dalam menyokong objektif keselamatan negara dan aspirasi yang dinyatakan di dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP) 2019 bagi ketiga-tiga tonggak strategi utama. Pembangunan yang berfokus ini melibatkan 7 program perolehan aset utama TUDM. Ianya akan meletakkan TUDM pada landasan yang ditetapkan untuk menjadi sebuah kuasa udara bersaiz optimum serta mampu mendepani cabaran pada dekad akan datang.

Status program perolehan aset utama yang dirancang:

  1. Penyewaan Helikopter utiliti berkeupayaan siang dan malam (inisiatif jangka masa pendek). TUDM telah menerima dan mengoperasikan 3 buah pesawat AW 139 yang ditempatkan di PU Butterworth. Sebuah lagi pesawat akan diterima pada Jun 2022.
  2. Perolehan Medium Altitude Long Endurance Unmanned Aerial System (MALE-UAS).  Program ini adalah di peringkat akhir proses tender. Pada masa ini sedang menunggu keputusan daripada Lembaga Perolehan, MINDEF.
  3. Maritime Patrol Aircraft (MPA). Tender terbuka antarabangsa bagi perolehan ini adalah di peringkat akhir proses perolehan. Penilaian Fizikal ke atas pembida-pembida telah dilaksanakan dan laporan lengkap akan dimajukan kepada Lembaga Perolehan MINDEF pada Jun 2022 untuk keputusan.
  4. Perolehan Fighter Lead- in Trainer/ Light Combat Aircraft (FLIT/LCA). Penilaian fizikal ke atas pesawat dijangka  akan diadakan pada Jun 22 dan Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada Ogos 2022. Enam buah pesawat diterima secara berperingkat mulai tahun 2025.
  5. Perolehan baharu dan penggantian Radar Pertahanan Udara Jarak Jauh. Program ini akan dilaksanakan secara berperingkat selaras dengan rancangan pembangunan RMKe-12 dan RMKe-13. Perkara ini telah dibentangkan di peringkat Kementerian dan menunggu kelulusan.
  6. Multi Role Combat Aircraft (MRCA) F/A-18C (opsyen perolehan daripada Tentera Udara Kuwait). TUDM telah memajukan perancangan ini ke peringkat Kementerian Pertahanan dan menunggu keputusan. Pada masa ini, TUDM terus mengoperasikan pesawat FA-18D yang sedia ada sehingga 2035.Penggantian pesawat MRCA hanya akan diimplementasikan pada RMKe-14 bagi penggantian pesawat FA-18D. Penggantian pesawat SU-30MKM hanya akan diimplementasikan pada RMKe-15.
  7. Sistem Misil Pertahanan Udara Jarak SederhanaMedium Range Air Defence Missile System (MERAD). Permohonan perolehan satu Bateri MERAD di dalam setiap RMK bermula RMKe-12 sehingga RMKe-15 bagi melengkapkan keperluan satu rejimen MERAD (4 Bateri). Buat masa ini permohonan 1 x Bateri di dalam RMKe-12 masih belum diluluskan di peringkat MOF.
Helikopter EC725 AP TUDM telah mencapai 20,000 jam penerbangan pada tahun 2022 (Sumber: TUDM)

Perajurit: CAP55 dilihat kurang menyentuh tentang aspek pertahanan siber dan angkasa. Adakah TUDM mempunyai sebarang perancangan untuk memperkukuhkan pertahanan domain ini?

Asghar Khan: Kewujudan domain siber diaspirasikan oleh KPP pada tahun 2019. Sejajar dengan keperluan keupayaan di domain baharu ini, TUDM telah merangka satu strategi yang akan diwujudkan pada tahun ini iaitu RMAF Air Strategy (RAS). Peningkatan terhadap keupayaan  TUDM di dalam CAP55 akan dikemaskini berpandukan kepada RAS bagi mendukung inisiatif-inisiatif yang dirangka di peringkat ATM.

Perajurit: CAP55 ialah pelan pembangunan sehingga tahun 2055. Sudikah Dato’ Sri berkongsi sebab-sebab pelan pembangunan memerlukan tempoh sehingga lebih 30 tahun untuk disempurnakan?

Asghar Khan: CAP55 merupakan satu pelan jangka panjang yang merangka hala tuju pembangunan keupayaan TUDM untuk membentuk satu ketumbukan kuasa udara yang kredibel dalam tempoh tiga dekad mendatang dan akan melalui tiga fasa sehingga 2055.

Keupayaan aset legasi yang dimiliki kini telah mengalami keusangan dan sampai tempoh jangka hayat. Keadaan ini memerlukan TUDM mengambil langkah proaktif mencari jalan penyelesaian agar keupayaan TUDM dapat dikekalkan pada tahap yang optimum. Sebahagian daripada aset TUDM kini memerlukan Service life extension programme (SLEP) dan penggantian. Tempoh masa 30 tahun yang dirancang adalah satu jangka masa wajar dan rasional bagi menentukan kesinambungan pelan strategik dilaksanakan secara konsisten dan pendekatan yang holistik di samping dapat difahami dan direalisasikan oleh setiap warga TUDM. Inisiatif mitigasi dan penggantian aset ini adalah memerlukan tempoh masa yang tertentu. Proses ini melibatkan implikasi kewangan yang tinggi serta melibatkan birokrasi pelbagai peringkat.

Di dalam merangka perancangan strategik dan pembangunan keupayaan, faktor kemampuan ekonomi negara merupakan elemen penting untuk dipertimbangkan dan juga perlu diselarikan dengan polisi pertahanan negara. Komitmen kerajaan yang kosisten dan pelaburan pertahanan yang stabil serta mencukupi adalah amat diperlukan bagi memenuhi keperluan pembangunan angkatan di setiap RMK.

Perajurit: Adakah TUDM mempunyai perancangan untuk membina pangkalan udara untuk pesawat tempur di Malaysia Timur (Sabah dan Sarawak) untuk mengimbangi keperluan operasi kedua-dua wilayah?

Asghar Khan: Pembangunan keupayaan TUDM adalah mengambil kira konsep pengoperasian pertahanan pelbagai domain bagi membentuk satu Angkatan Masa Hadapan yang telah diaspirasikan di dalam KPP (Lima Ciri Angkatan Masa Hadapan Pertahanan Negara).

Bagi mengimbangi keperluan pertahanan udara di kedua-dua wilayah negara, Pangkalan Udara Labuan akan terus diperkasakan sebagai lokasi pengoperasian pesawat tempur TUDM.

Pembangunan pangkalan udara yang baharu bagi pengoperasian pesawat tempur di wilayah Timur perlu diimbangi dengan hala tuju dasar pertahanan dan kemampuan ekonomi negara. TUDM mengambil langkah strategik mewujudkan satu pangkalan udara di Bintulu, Sarawak berkonsepkan Pangkalan Operasi Berkala (POB atau Bare Airbase) dan akan beroperasi selewat-lewatnya pada tahun 2025.  POB yang diwujudkan akan mengoptimumkan penggunaan, lapangan terbang Bintulu yang sedia ada dan hanya membuat penambahan infrastruktur dan kemudahan bagi memenuhi keperluan operasi TUDM. Lokasi ini adalah signifikan kepada kawasan berkepentingan negara, intensiti ancaman ruang udara negara dan impak geostrategik semasa dan akan datang.

Helikopter Leonardo AW139 merupakan aset terbaru TUDM walaupun hanya aset sewaan (Sumber: Weststar Group)

Perajurit: Keperluan pesawat tempur TUDM dilihat semakin mendesak selepas MiG-29N dibersarakan dari perkhidmatan. Pesawat Hawk dan F/A-18D pula semakin dimamah usia manakala Su-30MKM mungkin menghadapi tempias konflik Ukraine Rusia dari segi alatganti. Apakah pelan terdekat TUDM dalam menangani isu ini?

Asghar Khan: TUDM di dalam proses membuat perolehan pesawat FLIT-LCA bagi menggantikan pesawat MiG29N dan Hawk. Manakala pesawat F/A-18D pula sedang dalam proses menjalani Service Life Extension Programme (SLEP) dan program peningkatan keupayaan sistem untuk memastikan pesawat ini kekal relevan selari pemodenan teknologi semasa. Pesawat SU-30MKM pula sedang menjalani proses SLEP dan akan selesai pada tahun 2023.

Berkaitan konflik Russian-Ukraine, secara amnya dunia sedia maklum apabila berlaku peperangan/konflik di mana-mana, akan terdapat rangkaian implikasi kepada negara-negara serantau. TUDM akan terus-menerus mencari jalan dan alternatif melalui perbincangan bagi mengatasi masalah-masalah yang mungkin timbul.

Perajurit: Adakah TUDM melihat aset terpakai sebagai alternatif untuk memenuhi keperluan pesawat tempur (contohnya Hornet Kuwait) dan helikopter?

Asghar Khan: Penggunaan aset terpakai bagi menampung keupayaan tempur TUDM adalah merupakan sebahagian daripada alternatif yang boleh dipertimbangkan sebagai gap filler keupayaan TUDM. Perbincangan dan kajian telah dibuat berkaitan perolehan pesawat F/A-18C Kuwait di peringkat perkhidmatan dan masih menunggu keputusan daripada pihak kerajaan.

Perancangan khusus terhadap peningkatan keupayaan helikopter TUDM telah di gariskan di dalam Pelan Strategik CAP55 iaitu melalui 2 inisiatif utama.

  • Sewaan helikopter bagi perancangan jangka pendek sehingga 2025
  • Perolehan helikopter baharu bagi penggantian pesawat Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatan

Perajurit: Akhir kalam, apakah harapan Dato’ Sri sebagai PTU?

Asghar Khan: Memartabatkan TUDM sebagai angkatan udara yang disegani di peringkat serantau dan global disamping kredibel di dalam berperanan melindungi kedaulatan dan keutuhan wilayah negara. TUDM akan terus perkasa dan mampu berperanan dengan berkesan melalui aplikasi keupayaan yang jitu di setiap kawasan berkepentingan negara. Pemantapan TUDM diperkasakan melalui dua elemen yang amat penting iaitu, warga yang berkapasiti tinggi dan keupayaan peralatan ketenteraan yang dievolusikan seiring kemodenan teknologi semasa.

perajurit

Pentadbir Laman Perajurit